Umno cemburu PAS mesra bersama PN

Umno cemburu PAS mesra bersama PN

Ketika Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) bekeluh kesah tentang perpaduan dalam BN dan Perikatan Nasional (PN), Setiausaha Kelab Veteran Umno pula berkata, Umno dan Pas sudah tidak tidur berpelukan lagi atau berpusing punggung.

Semuanya berpunca dari perubahan sikap Pas selepas merasa nikmat berada dalam kerajaan bersama dengan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tan Sri Annuar Musa menerusi facebook beliau membuat tulisan panjang berkeluh kesah tentang keperluan perpaduan dalam BN, PN dan dan juga Muafakat Nasional (MN).

“Seketika dulu kita cemas dan rimas dengan cara pemerintahan DAP-led PH..Justeru kita ketepikan segala sentimen, kita muafakat.. Umno, Pas, PPBM @ TSMY, PKR @ AA, MCA, MIC, PBRS, PBS, Star, [email protected] mereka. Dengan majoriti yang tipis kita jadi kerajaan.

“Kini tidakkah kita perlu kuatkan lagi muafakat kita, perikatan kita, barisan kita? Atau kita kembali berpecah?”

“Malangnya kini terdapat tanda tanda muncul pihak yang mahu berpecah belah,” kata Annuar lagi dalam tulisan itu.

Bagi Annuar, segala-galanya adalah salah DAP dan parti itu tetap menjadi sasaran.

“DAP dan rangkaian kembali mendapat rentak seperti sebelum PRU14 iaitu pecahkan kesatuan kita, kerana yang paling di takuti mereka ialah jika Umno, Pas dan PPBM bersatu dan menentang PH secara dua penjuru,” tulis beliau lagi dan mengajak kesemua rakan-rakannya kembali bersatu.

Di satu pihak lain pula, veteran Umno juga melihat perkara yang sama, Umno dan Pas sudah tidak seintim dahulu lagi selepas mendapat tempat dalam kerajaan.

Setiausaha Agung Kelab Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, hubungan erat itu kini semakin renggang sejak kebalakangan ini, lapor Malaysiakini.

Mustapha berkata, perubahan itu berlaku apabila Pas mula mendapat tempat dalam kerajaan PN.

“Ya, hubungan antara Pas dengan Umno tidak seintim dulu lagi. Khususnya selepas Pas mendapat jawatan dalam kerajaan.

“Orang kata kalau umpama orang yang baru kahwin, tidur tidak lagi berpelukan.

“Kita nampak dan kita sedar hubungan itu kini sedikit renggang, namun tidak ada pergeseran,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam Dewan Rakyat pula, Umno dan Pas bertembung apabila mereka membincangkan Belanjawan 2021.

Ketika Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBBC), Datuk Seri Najib Razak memberikan sokongan bersyarat kepada Belanjawan 21, ahli Parlimen Pas menyifatkan Najib umpama Puteri Gunung Ledang ketika memberikan syarat untuk menolak pinangan Sultan Melaka.

Ahli parlimen Pasir Mas dari Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyerang syarat-syarat Najib itu.

Ekoran itu, pemimpin dan penyokong Umno menyerang balas Fadhli yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas itu.

— MalaysiaDateline

COMMENTS