Ulamak Pas hajat bina jambatan emas, BN sokong bersyarat?

Ulamak Pas hajat bina jambatan emas, BN sokong bersyarat?

KUALA LUMPUR – Memperjuangkan nasib rakyat yang terkesan teruk akibat Covid-19 bukan cerita dongeng.

Moratorium automatik dan pengeluaran daripada Akaun 1 KWSP juga bukan cerita hikayat.

Sebaliknya, kata Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi, semua itu adalah suara rakyat untuk kesenangan rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, lagipun cadangan berkenaan tidak melibatkan pertambahan perbelanjaan.

“Akaun 1 adalah duit rakyat. Moratorium automatik pula hanyalah penangguhan sementara membayar pinjaman kepada bank yang masih untung,” katanya yang mengulas tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas yang menyifatkan menyifatkan ‘sokongan bersyarat’ Barisan Nasional (BN) terhadap Belanjawan 2021 yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, beliau tidak pelik pun bila Ahmad Fadhli Shaari dari parti Pas menyindir sokongan bersyarat BN terhadap Belanjawan 2021 yang dibahaskan secara berfakta oleh Najib.

”Tiba tiba ia disanggah dengan fakta dongeng dan hikayat oleh YB PAS dari Pasir Mas. Teruk dia dibelasah oleh netizen.

”Kita tidak pelik kerana dia ahli parti politik. Mereka juga mahu kuasa. Mereka ada jawatan dalam PN (Perikatan Nasional). Sebab itu kita faham bila YB Pasir MAS sokong Bajet tanpa syarat.

“Syarat Puteri Gunung Ledang adalah sindiran jangan jaga kepentingan diri tetapi jaga rakyat susah. Sokongan bersyarat BN ialah untuk rakyat. Bukan kerana kesenangan dan kuasa.

”7 dulang hati kuman dan 7 dulang darah anak sendiri bukan syarat BN,’ tegas Mohd Puad.

Sebaliknya BN mahu “hati” rakyat senang dan “darah” keringat rakyat dihargai memandangkan dalam situasi pandemik ramai hilang kerja dan bankrap.

Hakikatnya, rakyat semakin susah.

”Apakah YB Ahmad Fadhil mahu tukar Pasir Mas kepada Jambatan Emas seperti dalam cerita dongeng itu demi menjaga kepentingan kelompok sendiri bukan rakyat?,” soalnya. – MalaysiaGazette

COMMENTS