TUN M VS TUN SALLEH ABAS : SIAPA DI PIHAK YANG BENAR?

TUN M VS TUN SALLEH ABAS : SIAPA DI PIHAK YANG BENAR?
KISAH EPIK KRISIS DIANTARA EKSEKUTIF DAN BADAN KEHAKIMAN..
Semester ini saya diamanahkan untuk mengajar para pelajar di salah sebuah universiti tempatan subjek Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Antara subjek yang menarik yang diajar bagi minggu ini adalah berkenaan dengan pengasingan kuasa antara eksekutif dan kehakiman.
Seringkali sesi soal jawab antara para pelajar dan saya adalah berkenaan dengan episode hitam krisis Perlembagaan Negara antara bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan Tun Dr Mahathir Mohamed. Adakah amalan doktrin pengasingan kuasa adalah menyeluruh (absolute) di Malaysia?
Sebagai permulaan, Pembahagian Kuasa atau dalam bahasa Inggeris dipanggil ‘Separation of Powers’ adalah penting dalam sistem pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan negara kepada tiga cabang utama: Pemerintah (Eksekutif), Perundangan (Legislatif) dan Kehakiman.
Dalam sebuah Negara Berperlembagaan, mahkamah hendaklah, tanpa merasa takut atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak, mempunyai kebebasan yang menyeluruh dalam menjalankan tanggungjawabnya demi menegakkan keadilan. Para Hakim perlulah bebas dalam membuat sebarang penghakiman demi mencapai keadilan, walaupun penghakiman yang diputuskan tidak berpihak kepada pihak yang sedang berkuasa.
Dalam pengamatan saya, adalah menarik untuk kita memahami bahawa prosedur pemecatan hakim mahkamah persekutuan adalah termaktub di dalam Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan yang mana Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara setelah berbincang dengan Perdana Menteri hendaklah mengemukakan representasi tentang hal ini kepada Yang di Pertuan Agong.
Kemudian Yang di Pertuan Agong akan menubuhkan sebuah tribunal yang akan menyiasat dan membuat laporan serta syor tentang perlucutan itu kepada Yang di Pertuan agong. Bukankah, Perdana Menteri adalah ketua badan eksekutif? Di mana pengasingan kuasa? Ini bermaksud perkara 125 Perlembagaan Malaysia memberi suara kepada badan eksekutif dalam proses pemecatan pihak badan kehakiman.
Suka saya untuk mengupas krisis Tun Salleh Abas ini, terdapat banyak insiden yang menyumbang kepada krisis ini antaranya adalah berkaitan dengan kritikan Tun Dr Mahathir ke atas badan kehakiman. Secara ringkas, isu ini bermula apabila pihak kehakiman dengan beraninya membuat keputusan yang tidak memihak kepada pihak Kerajaan.
Ianya bermula pada November 1986, apabila Mahkamah Agung mengetepikan keputusan kerajaan membatalkan permit kerja Berthelsen dengan alasan bahawa peluang untuk didengar harus diberikan kepada wartawan itu.
Pada ketika itu, Tun Mahathir mula memberi kritikan yang serius ke atas badan kehakiman yang mentafsir undang-undang tidak selari dengan kehendak Parlimen.
Kemudian, pada Febuari 1988, penghakiman ke atas tindakan guaman oleh “UMNO 11” berkenaan dengan sekumpulan ahli UMNO yang membawa kepada pengharaman UMNO oleh Hakim Mahkamah Tinggi.
Dalam keputusan yang amat mengejutkan banyak pihak, Hakim Tan Sri Harun Hashim dengan beraninya memutuskan beliau tiada pilihan melainkan mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan 1966. Umno pun diharamkan.
Bermula daripada peristiwa tersebut, banyak tindakan kerajaan yang kerap dicabar oleh keputusan Mahkamah terutamanya kes sensitif politik yang melibatkan Akta seperti Akta ISA, sebagai contoh, kes mendiang Karpal Singh yang mana Hakim Peh Swee Chin telah membenarkan permohonan untuk habeas corpus dan memerintahkan supaya Karpal Singh dibebaskan dan dilepaskan dari tahanan ISA dengan serta merta
Kes mula menjadi serius apabila pada Mac 1988, sewaktu perbentangan rang undang-undang pindaan perlembagaan, Tun Mahathir mula mengkritik secara terbuka di parlimen yang mana menyebabkan Tun Salleh Abas menggunakan dua persidangan antarabangsa mengenai Appellate Judges dan Chief Judges demi mempertahankan autonomi kehakiman dan kebebasan badan kehakiman.
Akibat tekanan daripada para hakim, pada Mac 1988, Tun Salleh Abas, sebagai ketua hakim Negara pada ketika itu mengadakan pertemuan dengan 20 orang hakim dan bersetuju untuk mengetuai dan melaporkan secara surat kepada YDPA dan Ahli Majlis Raja-Raja Melayu untuk memaklumkan tentang adanya ketegangan antara badan kehakiman dan eksekutif. Sebahagian daripada isi surat tersebut adalah :
“All of us (the judges) are disappointed with the various comments and accusations made by the Prime Minister against the judiciary not only outside but inside Parliament.”
Rentetan daripada itu, sebelum sempat mendengar rayuan bagi kes Umno 11, pada Mei 1988, Tun Mahathir telah menulis surat kepada YDPA untuk menasihatkan Baginda supaya Tun Salleh Abas dipecat kerana salah laku dan mencadangkan supaya tribunal ditubuhkan bagi membicarakan Tun Salleh Abas.
Pada Jun 1988, Tribunal Pertama yang diketuai oleh Tan Sri Abdul Hamid Omar telah ditubuhkan di bawah Perkara 125 (4) Perlembagaan Persekutuan. Namun, peguamcara Tun Salleh Abas telah menulis surat kepada setiusaha tribunal pertama memaklumkan bahawa panel tribunal tersebut iaitu Tan Sri Abdul Hamid Omar mempunyai konflik kepentingan dan Tun Zahir yang merupakan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada ketika itu adalah bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa namun surat tersebut tidak diendahkan.
Oleh demikian, Tun Salleh Abas telah memfailkan permohonan ke Mahkamah Tinggi bagi memperoleh Perintah Pergantungan Prosiding yang menahan tribunal daripada mengemukakan cadangan dan nasihat kepada YDPA dan permohonan tersebut telah dibenarkan secara sebulat suara oleh lima orang hakim pada Julai 1988.
Akibat daripada keputusan para hakim tersebut, pada bulan yang sama, kelima-lima orang hakim tersebut telah digantung tugas dan Tun Salleh Abas telah dipecat selepas laporan daripada tribunal dihantar kepada YDPA.
Pada Septeber 1988, tribunal kedua telah memutuskan bahawa Tan Sri Wan Suleiman dan Datuk George Seah bersalah dan wajar dipecat manakala Tan Sri Azmi, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah tidak bersalah dan dikembalikan jawatan asal mereka.
Satu perubahan dilihat mengambil tempat dalam badan kehakiman dan keyakinan terhadap badan tersebut adalah dipersoal. Ada yang menyokong tindakan Tun Mahathir dan ada yang melihat kehakiman menjadi sebahagian daripada badan eksekutif.
Pada April 2008, Kerajaan memberikan Ex-gratia berjumlah 10.5juta kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Muhamed Salleh Abas serta lima lagi hakim kanan yang terbabit ketika krisis kehakiman pada tahun 1988.
Pembayaran ex-gratia itu diumumkan Perdana Menteri pada ketika itu sebagai menghargai sumbangan bekas hakim-hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman tersebut dan merupakan langkah kerajaan memulihkan semula kewibawaan badan kehakiman.
Persoalannya, krisis yang berbangkit berkenaan dengan pencabulan ke atas pembahagian kuasa yang dijamin di bawah perlembagaan persekutuan telah lama dipersoalkan. Adakah ianya benar-benar dijamin di bawah Perlembagaan?
Krisi Tun Salleh vs Tun M, siapa dipihak yang benar? Anda boleh bagi pandangan di ruangan komen. Ohya, nak tahu bagaimana ketua hakim pula dilantik? Nanti saya akan ceritakan..

COMMENTS