Saka Hantu Tinggi bahagian Kedua (Terakhir)

Saka Hantu Tinggi bahagian Kedua (Terakhir)
HANTU TINGGI
BAHAGIAN TERAKHIR
Tanpa membuang masa datuk Min mula melangkah dan cuba untuk melarikan dirinya dari hantu tinggi peliharaannnya itu. Dia cuba meredah apa sahaja yang ada di hadapannya.
Pada ketika itu dia tidak menghiraukan duri atau binatang buas atau binatang berbisa yang mungkin ingin menyerangnya.
Yang penting pada ketika itu dia ingin balik ke rumah kerana menurut fikirannya yang kacau bilau itu, mungkin di rumahlah tempat yang paling selamat baginya untuk sementara waktu.
Malam itu penduduk di kampung tempat datuk Min tinggal digemparkan dengan kisah datuk Min yang menjerit mengelilingi kampung sebelum pulang ke rumah.
Sesampainya di rumah, isiterinya iaitu nenek Min dan ahli keluarga mereka yang lain cuba untuk menenangkan datuk Min tetapi gagal.
Tetapi akhirnya mereka terpaksa menangkap dan memasungnya di tengah ruang tamu rumah. Di situ agak luas dan sedikit selesa walaupun semuanya itu tidak memberi sebarang erti buat datuk Min yang terpaksa dipantau setiap masa.
Sepanjang beberapa minggu datuk Min diserang rasa ketakukan yang teramat sehinggakan datuk Min deman selama beberapa minggu. Dia meracau, menangis dan ketawa seperti orang gila.
Para dukun, bomoh silih berganti berusaha untuk merawat datukn Min tetapi datuk Min masih lagi seperti itu. Bahkan keadaan datuk Min semakin teruk.
Sehinggakan pada suatu hari kisah penyakit misteri datuk Min yang menggemparkan beberapa buah kampung di pesisiran sungai Bintulu pada ketika itu telah sampai ke pengetahuan iman Masjid Daerah Bintulu pada ketika itu iaitu Allahyarhan Tuan Haji Safiee bin Mustaz khan.
Tuan Haji Safiee bin Mustaz khan inilah yang berusaha untuk merawat penyakit misteri yang dideritai oleh datuk Min dengan bacaan Al Quran dan doa dari Rasulullah.
Setelah beberapa hari mendapatkan rawatan dari Tuan Haji Safiee bin Mustaz khan, akhirnya datuk Min sembuh seperti sedia kala. Seluruh ahli keluarga datuk Min mengucapkan syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Tuan Haji Safiee atas segala usaha beliau merawat datuk Min.
Tetapi badan datuk Min sudah terlalu lemah. Begitu juga dengan fikiran dan jiwanya. Akhirnya sebelum saat-saat terakhir dia dijemput Allah, datuk Min sempat bertaubat kepada Allah atas segala kesilapan yang pernah dilakukannya.
Dan akhirnya dengan izin Allah, datuk Min meninggal dunia. Sebelum itu datuk Min juga sempat meminta anak-anaknya untuk mengembalikan cincin batang nibong yang merupakan syarat perjanjian dia dan hantu tinggi peliharaannya itu untuk dimusnahkan dan dibuang di laut tidak jauh dari kawasan pantai menuju ke Similajau.
Kerana menurut orang tua-tua, Pantai Similajau ini sangat-sangat jauh pada ketika itu dari kawasan perkampungan asal penduduk Bintulu. Tetapi sekarang untuk ke pantai Similajau cuma mengambil masa tidak sampai setengah jam dengan menggunakan kereta.
Kalau berjalan kaki mungkin seharian masa yang diperlukan untuk sampai. Kalau merangkak, tahun depan baru sampai ke Kidurong dan setahun lagi untuk sampai ke pantai Similajau. Jadi kesimpulannya jangan membuang masa anda untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah.
(Kisah ini diceritakan sendiri kepada saya oleh ibu kepada Min iaitu anak perempuan kepada datuknya semasa saya bertandang ke rumah mereka pada Hari Raya beberapa tahun yang lepas)
Menurut ibu Min, abang sulung ibunya yang telah diamanahkan untuk menghancurkan dan mengembalikan cincin tadi ke tengah laut. Paling tidakpun cukuplah sekadar membuangnya di laut dari arah tepi pantai.
Mungkin juga hantu itu jugalah yang pernah menjadi makhluk suruhan arwah datuknya dulu dan sekarang mungkin syaitan itu ingin mencari tuannya yang baru dan menganggu Wan dan Min semasa berada di kebun milik keluarga mereka sehari sebelum itu.
“Lebih kurang macam tulah kisahnya Malik.”
“Hm..Menarik jugak cerita kamu ni Min. Jadi cincin tu dah dimusnahkan, dikembalikan dan ditanam di pantai Similajau bukan?”
“Belum lagi Malik.”
“Hah..Belum lagi? Astaghfirullahal azhim. Kan tadi kamu bagitau yang cincin tu dah diserah kepada abang sulung mak kamu untuk ditanam di pantai Similajau tu.”
“Siapa kata dah? Kan aku kata cuma dah diserahkan kepada abang sulung mak untuk dikembalikan ke pantai Similajau. Itu je.”
“Jadi cincin tu belum dihantar pulanglah?”
“Belum..”
“Selama puluhan tahu ni belum lagi dikembalikan ke?”
“Belum.”
“Adoi..Kenapa tak hantar cincin tu?”
“Abang mak tak berani. Adik beradik mak yang lain jugak tak berani.”
“Sampai sekarang tak ada adik beradik ke, anak buah ke, sepupu ke yang berani hantar?”
“Tak ada. Sekarang ni sepupu aku semua-semua tu tak percaya dah benda ni. Sekarang nikan ramai dah ada pegangan agama. Diorang dah faham. Sebab tu diorang tak peduli dah benda ni walaupun diorang percaya apa yang berlaku kat atuk dulu.”
“Ok..Ok..Aku faham Min. Tapi benda ni kena musnahkan jugak. Kalau tak keluarga kau sampai bila-bila jadi huru-hara nanti. Secara adabnya benda ni kena musnahkan dan kita cuba halau benda ni dari menganggu korang kat kebun tu.”
“Aku rasa macam tu jugak Malik. Aku nak hidup normal macam manusia biasa. Aku tak nak hidup macam ni dah.”
“Aku faham Min.”
“Jadi apa rancangan kau Malik?”
“Mana cincin tu sekarang?”
“Ada kat simpanan mak. Termasuk semua barang-barang dan pakaian peninggalan atuk dulu. Semua mak simpan.”
“Ok. Aku nak cincin tu je.”
“Mak kau dan adik beradik mak kau ok ke kalau aku musnahkan cincin tu?”
“Diorang ok je. Diorang jugak yang cadangkan supaya kau musnahkan cincin tu.”
“Oklah. Senanglah kalau macam tu.”
“Wan, kamu ada apa-apa ke nak cakap?”
“Ada Malik. Bila kau nak pergi kat pantai Similajau tu? Kau sorang ke yang pergi?”
“Mak oi. Bestnya kau punya imaginasi. Tak. Nanti kau dengan Min temankan aku. Kalau sorang-sorang aku tak nak. Aku takut.”
“Kau penakut ke Malik?”
“Haah. Dari dulu.”
“Aku tak paham kenapa orang macam kau ni penakut sedangkan kau ada jugak ubat orang kena rasuk. Hahahahaha..”
“Penakut tu tetap penakut. Nak tolong orang tu aku tetap kena tolong jugak.”
“Tak paham aku kau ni Malik.”
“Kau tak perlu paham aku sekarang Wan. Suatu hari nanti kau akan tau jugak. Dalam dunia ni ada ramai lagi orang yang lebih pelik dari aku.”
“Jadi apa rancangan kau Malik?”
“Balik nanti kau ambik cincin tu dari mak kamu Min. Petang esok ambik aku kat rumah. Lepas tu kita pergi ke pantai Similajau tu. Kita musnahkan cincin tu.”
“Kenapa tak musnahkn cincin tu kat mana-mana tempat je? Kenapa mesti di pantai Similajau jugak? Ada pantang apa-apa ke?”
“Semua ni takda pantang apa-apa. Aku cuma tak nak kalau benda nii dibuang sebarang, suatu hari nanti bomoh akan jumpa cincin ni. Diorang akan manfaatkan cincin ni lagi dan digunakan untuk menyakiti orang lain pulak. Syaitan yang berbentuk hantu tinggi tu akan menyusahkan orang lain lagi nanti. Itu yang aku tak nak. Sebab tu kita kena buang benda ni kat tempat yang jauh. Kat laut Similajau tu pun boleh. Tak jauh dari kebung korang. Asal jangan orang tau kat mana kita buang benda tu. Benda ni cuma kita bertiga je yang tahu nanti kat mana cincin ni dibuang.”
“Ok. Kalau macam tu aku setuju. Aku faham. Balik nanti aku dan Min akan singgah kat rumah mak Min. Nak ambik cincin tu. Esok kitorang bagi kat kau.”
“Jangan malam ni. Pagi esok kau ambik.”
“Kenapa?”
“Aku tak nak berlaku apa-apa nanti masa korang ambik cincin tu.”
“Ada pantang jugak ke?”
“Ni yang aku malas kat kau ni Wan.”
“Salah aku jugak ke?”
“Tak. Esok korang pegi ambik. Lepas asar ambik aku kat rumah. Lepas tu kita pegi kebun korang. Jangan lewat sangat. Lepas isya aku nak ubat orang kat Bangunan Martabat pulak.”
“Ok..Ok..Kalau macam tu kitorang balik dulu. Lepas asar kau tunggu kat rumah. Nanti kitorang jemput.”
“Ok Wan, Min. Hati-hati balik.”
“Ok Malik. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Selepas itu Wan dan Min meninggalkan saya sendirian. Saya sempat meminta kawan saya iaitu Mahli untuk menghantar Wan dan Min keluar hingga ke parkir kereta. Kemudian saya berjumpa dengan seorang tauke Cina dan beberapa orang yang saya rasakan pekerjanya.
Tauke Cina itulah yang menghantar beberapa orang pekerja yang kerasukan yang sedang dirawat oleh kawan-kawan saya tadi. Setelah beberapa minit berbual, saya sempat berehat sebentar di bilik rawatan kami untuk memikirkan apa yang perlu untuk saya lakukan pada petang esok.
Entah kenapa saya sempat tertidur sebentar sementara menunggu kawan-kawan saya menyelesaikan urusan mereka merawat pesakit-pesakit yang sedang mendapatkan rawatan dari kami.
Setelah beberapa ketika tiba-tiba saya dikejutkan dengan suara perempuan menjerit. Saya lalu membuka mata dan cuba mencari arah suara jeritan itu. Di luar pintu bilik rawatan kami saya terpandang Mahli dan beberapa orang perempuan yang saya tidak kenal sedang memapah perempuan yang sedang histeria.
Dia cuba memberontak untuk melepaskan dirinya dari ditahan oleh kawan-kawannya. Dari apa yang saya dengar mereka sebenarnya dalam perjalanan pulang ke Bintulu selepas balik dari Miri atas urusan kursus.
Oleh kerana kursus yang mereka hadiri itu tamat lebih awal, jadi mereka mengambil keputusan untuk balik ke Bintulu. Sepanjang perjalanan pulang tidak ada apa yang berlaku hinggalah apabila mereka hampir sampai di simpang masuk jalan ke Similajau.
Mahli kemudiannya memanggil saya untuk berjumpa dengan mereka. Saya segera bangun dan terus memberi salam kepada mereka dan merekapun menjawab salam lalu bertanyakan sesuatu kepada saya.
“Ustaz Amir ada tak bang?”
“Ustaz Amir balik awal tadi.”
“Sham Belacan?”
“Sham Belacan?”
“Haah. Abang Sham.”
“Sham ada kat dalam. Masuklah. Kenapa dengan kawan awak ni?”
“Kena rasuk.”
“Kat mana?”
“Kitorang ‘on the way’ balik Bintulu. Lepas balik kursus dari Miri. Kitorang malas nak bermalam. Jadi kitorangpun plan nak balik terus.”
“Lepas tu?”
“Masa nak sampai kat simpang Similajau tu tiba-tiba kawan kami ni menjerit. Semua kitorang terkejut. kawan saya ni cuba nak terjun keluar dari kereta.”
“Kenapa?”
“Sebab dia kata dia tengok macam ada hantu tinggi tengah menyeberang jalan depan kitorang. Lepas tu dia terus menjerit. Kitorangpun tak tau nak buat apa. Lepas tu ‘try’ bawak dia ke sini. Tengok-tengok pusat rawatan ni bukak. Alhamdulillah.”
“Nasib baik korang tak tanggar hantu tinggi tu. Kalau tak patah dua kaki hantu tu. Korang yang lain tak nampak ke hantu tu?”
“Na’udzubillah bang. Tak berani kitorang nak tengok bang.”
“Ada tengok tak?”
“Tak ada.”
“Oklah kalau macam tu. Bawak kawan korang masuk ke dalam. Nanti kitorang cuba selesaikan masalah kawan korang ni.”
“Ok bang. Ustaz Malik ada tak?”
“Ada. Dia kat dalam. Tengah baring.”
“Tak ada orang baringpun kat dalam tu bang?”
“Kejap lagi. ada kejap tu nanti.”
Mereka mula terpinga-pinga memandang ke dalam lalu memandang ke arah saya dan saya cuma tersenyum sahaja. Mungkin pada ketika itu mereka merasa pelik dengan jawapan saya tadi.
“Oklah kalau macam tu. Terima kasih bang. Tadi pakcik kat luar tu suruh jumpa dengan Ustaz Malik. Tapi kami terjumpa abang pulak.”
“Sama-sama. Takda masalah tu.”
Selepas itu saya cuma memerhatikan mereka memapah kawan mereka yang sedang kerasukan itu masuk ke pusat rawatan kami. Sambil itu saya memanggil abang sulung saya yang lebih dikenali dengan Sham Belacan itu merawat kawan mereka yang kerasukan tadi.
Selepas itu saya tersenyum. Kedua abang saya iaitu Ustaz Amir dan Sham Belacan biasanya lebih dikenali di kalangan pesakit dan keluarga mereka berbanding dengan saya.
Kalau Ustaz Amir mungkin kerana imej kemasnya yang membuatkan dia lebih mudah dikenali. Sebagai seorang ustaz. Sham Belacan pula lebih dikenali dengan lawak spontan dan imejnya sebagai seorang ‘badut sarkis’ yang selalu menghiburkan pesakit dan keluarga mereka dengan telatah lucunya.
Sedangkan saya pula cuma seperti seorang ‘apek’. Kalau ada adalah. Kalau tiada tiadalah. Ada atau tiada dunia tetap akan berputar tepat pada masanya. Tidak akan cepat dan lambat waima sesaat sekalipun. Begitulah tragisnya kisah saya ini. Hahahahaha..
Selepas itu saya berjalan ke arah tempat saya baring tadi. Saya duduk lalu dengan perlahan-lahan saya berbaring di atas lantai. Sungguhh nikmat pada masa itu. Saya tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling. Yang penting saya mahu tidur sebentar untuk menghilangkan rasa mengantuk.
Saya cuma sempat mendengar suara jeritan perempuan tadi memenuhi seluruh ruangan pusat rawatan kami. Tetapi semuanya tidak menganggu perasaan saya. saya juga sempat memandang ke arah kawan-kawan perempuan yang kerasukan tadi.
Mereka seperti sedang berbisik-bisik sambil memandang ke arah saya. mungkin mereka telah terjumpa juga dengan Ustaz Malik. lalu kemudiannya saya kembali menyambung tidur saya beberapa ketika sehinggalah saya terdengar dari mulut perempuan tadi. Dia berkata;
“Mana Malik? Mana lelaki dan perempuan tadi? Mereka berdua akan aku bunuh kalau mereka berani untuk kembali lagi ke sana. Apa lagi mereka ingin memusnahkan perjanjian ini. Aku akan tunggu mereka berdua mulai dari selepas aku keluar dari badan perempuan ini nanti. Aku cuma ingin meyampaikan ini sahaja pada Malik? pada mereka berdua. Aku akan menunggu mereka. Hahahahaha..”
Itu sahaja yang sempat saya dengar. Selebihnya saya tidak tahu apa yang berlaku kerana saya telah tertidur. Setelah menikmat tidur yang singkat, saya dikejutkan oleh kawan-kawan saya. Saya memandang ke arah sekeliling. Semua pesakit dan keluarga mereka telah balik. Yang tinggal cuma kami sahaja.
Pusat rawatan kami kembali sunyi seperti sedia kala. Udara segar di luar menyusup masuk melalui celahan tingkap yang terbuka mula menimbulkan suasana yang seram apabila udara yang berlaga dengan tingkap itu tadi menghasilkan bunyi deruan angin yang sangat menyeramkan.
Bunyinya seolah-olah seperti suara orang berbisik dan berlagu dengan nada yang tidak difahami tetapi suara angin itu seolah-solah sedang berbicara kepada kami tanpa kami sedari. Mungkin juga sebagai sebuah tanda pesanan. Atau amaran. Mungkin juga sebuah peringatan.
Sehinggalah apabila kami semua berlalu meninggalkan pusat rawatan kami di Bangunan Martabat, deruan angin itu masih lagi menghantui kami. Bahkan melodi dari muziknya juga tetap menemani tidur saya pada malam itu.
Keesokan harinya selepas solat asar saya terus menunggu kehadiran Wan dan Min di perkarangan rumah saya. Sementara menanti kehadiran mereka untuk menjemput saya, saya sempat membaca zikir Al Ma’ tsurat dan juga mengulangi bacaan ayat-ayat ruqyah sebagai bekalan dan ikhtiar untuk meminta pertolongan kepada Allah.
Sambil itu saya juga sempat memerhati kedua orang anak saya iaitu Aleesya dan Sarah The Destroyer yang sedang asyik bermain dengan jiran di sebelah menyebelah rumah kami. Tidak beberapa lama kemudian muncul sebuah kereta Avanza berwarna hitam.
Saya tahu kereta berjenama Avanza itu adalah miliik Wan dan Min kerana sebelum ini apabila terserempak dengan mereka di mana-mana, memang mereka berdua akan menggunakan kereta Avanza mereka ini.
Saya memerhati sahaja Wan da Min tersenyum sambil memandang ke arah saya. Lalu keduanya turun dari kereta dan memberi salam kepada saya. Setelah bercerita lebih kurang, kami bertigapun memulakan perjalanan ke kebun milik keluarga Min di Jalan Similajau.
Sebelum itu saya sempat memanggil Aleesya dan Sarah dan berpesan kepada mereka berdua untuk balik ke rumah sebelum azan maghrib kerana pada waktu menjelang maghrib inilah syaitan akan berkeliaran menganggu manusia dan Rasulullah juga melarang untuk keluar rumah pada saat-saat seperti ini. Sabda Rasululah SAW;
“Daripada Jabir r.a bahawa Nabi SAW bersabda; Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” (HR. Bukhari dan Muslim)
Menurut pendapat Imam An Nawawi, beliau menyatakan bahawa hadis ini mempunyai banyak faedah berkaitan kebaikan dan adab yang melibatkan maslahah akhirat dan dunia.
Maka, Nabi SAW mengajar adab-adab ini yang merupakan sebab terselamatnya daripada kejahatan syaitan dan Allah SWT menjadikan sebab-sebab ini agar menjadi penyebab terselamatnya kita daripada kejahatan atau keburukan syaitan ini.
Di samping itu juga, maksud menahan anak adalah melarang mereka daripada keluar pada waktu. Ini kerana, dibimbangi anak tersebut terkena kejahatan syaitan itu disebabkan banyaknya mereka (syaitan). (Al Minhaj Syarh Sahih Muslim, 185/13)
Perkara ini juga disebut oleh Imam Khatib As Syarbini (977 H) bahawa sunat menutup pintu ketika masuknya senja. (Mughni Al Muhtaj, 139/1).
Antara hikmah mengapa dilarang melepaskan budak-budak pada waktu senja adalah disebabkan syaitan berkeliaran pada waktu itu dan pergerakan syaitan lebih aktif berbanding siang hari kerana kegelapan itu akan menambahkankan kekuatan syaitan berbanding waktu yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh Al Hafiz Ibn Hajar Al Asqalani (852 H). (Fathul Bari, 31/6)
Atas alasan inilah, sebagai soerang bapa, saya sangat marah sekiranya Aleesya dan Sarah balik ke rumah apabila azan maghrib hampir berkumandang. Aqila pula baru-baru ini sahaja saya dan isteri benarkan dia bermain di luar rumah bersama rakan-rakan barunya.
Sepanjang perjalanan ke kebun milik mereka, kami lebih banyak menghabiskan masa bercerita tentang kisah pengalaman kami bertiga semasa terlibat secara aktif dengan Kelab Rakan Muda di bawah Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Bintulu suatu ketika dulu.
Kisah-kisah lama benar-benar mencuitkan hati kami bertiga sehinggakan pada ketika itu kami cuma ketawa dan langsung tidak terfikir tentang apa yang bakal kami hadapi sebentar nanti.
Tidak sampai setengah jam, akhirnya kami sampai di simpang masuk ke jalan Similajau. Suasana yang ceria tadi tiba-tiba bertukar menjadi dingin. Entah kenapa secara tiba-tiba sahaja kami bertiga terdiam semasa Wan memberhentikan keretanya lalu memandang ke arah laluan jalan Similajau.
Perhatian kami bertiga tertumpu pada laluan jalan kecil bertar menuju ke kebun mereka. Laluannya jauh ke dalam dan di penghujung jalan inilah yang menempatkan Taman Negara Similajau Bintulu. Cuma kebun Wan dan Min terletak jauh di luar dan terletak beberapa km dari simpang tempat kami berhenti tadi.
“Malik, Min. Aku dah mula rasa tak sedap hati sekarang.”
“Aku macam tu jugak Wan. Malik, kau macamana?”
Saya cuma terdiam sahaja. Kerana itulah jawapan yang menunjukkan diri saya pada ketika itu. Saya tidak tahu apa yang berlaku nanti. Cuma di dalam hati doa saya kepada Allah sentiasa saya hadirkan.
“Aku tak tau nak cakap apa. Kita tak tau apa yang ada kat dalam sana. Tengok laluan nak ke dalam sanapun aku rasa macam seram je.”
“Jadi macamana ni Malik? Nak patah balik tak?”
Saya kembali memandang ke arah jalan menuju ke penghujung laluan ke kebun Wan dan Min. Entah kenapa sepertinya kami bertiga melihat laluan itu seperti ada sesuatu yang kami sendiri tidak tahu apa tetapi sedang menunggu kedatangan kami.
Cuma saya tidak tahu sama ada mereka hendak meraikan kehadiran kami ataupun sebaliknya atau menanti kami dengan penuh rasa dendam.
Tetapi yang jelas dan peliknya saya sendiri tak tahu kenapa laluan di hadapan kami ini lebih suram dan gelap walaupun sinar cahaya petang jelas menerangi apa yang ada di sekeliling kami.
Dan sinar cahaya tersebut juga telah menembusi tingkap kereta Avanza Wan hingga memancar ke arah kulit kami bertiga sehingga peluh mula jatuh perlahan-lahan. Mungkin titisan peluh itu disebabkan oleh sinar panas yang menembusi kulit kami ataupun juga disebabkan rasa takut yang mula menguasai diri.
“Macamana Malik?”
“Kebun korang jauh tak masuk ke dalam?”
“Dalam 4 ke 5 km je ke dalam. Pertengahan jalan nak ke taman negara tu. Lepas tu nak masuk dari tempat kita letak kereta nanti dalam dua, tiga minit je berjalan kaki ke dalam.”
“Cincin tu mana?”
“Ada kat aku.”
“Ok. Min, kau pegang dulu cincin tu. Nanti aku mintak masa kat sana nanti.”
“Ok Malik. Jadi, macamana plan kita sekarang?”
“Nanti sampai kat sana aku akan bacakan cincin ni ayat-ayat ruqyah. Lepas tu kita hancurkan cincin tu. Lepas tu kita buang ke laut. Dah selesai semua tu kita terus balik. Maghrib dah tak lama lagi ni. Tak sampai dua jam lagi. Aku tak nak sampai maghrib kita kat sana. Susah nak cari jalan balik nanti. Akupun ada urusan nak rawat pesakit lagi malam ni.”
“Ok..Ok..Kitorang faham. Kita gerak sekarang.”
“Nanti dulu.”
“Ada apa lagi Malik?”
“Kita baca doa dulu. Jangan sesekali lupa berdoa kat Allah. Kita tak tau apa yang akan kita hadapi nanti.”
“Ooo..Ok..Ok..”
Selepas itu saya membaca doa perlindungan seperti berikut;
“Bismillahilladzi laa yadhurru ma’asmihi syai un fil ardhi wa laa fis samaa’ie wa huwas samii’ un alim.”
“Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan NamaNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
“Rasulullah SAW didengari berkata sesiapa yang berdoa; Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat akan sesuatu yang di bumi dan yang di langit (selagi) bersama dengan NamaNya dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya dan barangsiapa membacanya ketika waktu subuh sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya. (HR. Abu Daud, At Tirmizi dan Ahmad)
“A’uudzu bi kalimaatillaahit taammaati min syarri maa khalaq.”
“Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang diciptakanNya.” (HR. Muslim)
Diriwayatkan dari Sa’d bin Abi Waqqash r.a, ia berkata; Aku mendengar Khaulah binti Hakim As Salamiyah r. ha berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda;
“Siapa yang singgah di suatu tempat, lalu ia membaca, A’uudzu bikalimaatillaahit taammaati min syarri maa khalaq (Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kejahatan makhluk yang diciptakanNya) maka tak ada sesuatupun yang membahayakannya sehingga ia beranjak dari tempatnya tersebut. (HR. Muslim)
“Bismillahi tawakkaltu ’ala Allah. Laa haula wa laa quwwata illaa billaah.”
“Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah.”
Dalam hadis dari Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW menjelaskan keutamaan doa ini,
“Apabila seseorang keluar dari rumahnya kemudian dia membaca doa, “Bismillahi tawakkaltu ’ala Allah. Laa haula wa laa quwwata illaa billaah.”
Maka disampaikan kepadanya; ‘Kamu diberi petunjuk, kamu dicukupi keperluannya dan kamu dilindungi.’ Seketika itu syaitan-syaitan pun menjauh darinya. Lalu salah satu syaitan berkata kepada temannya, ‘Bagaimana mungkin kalian dapat mengganggu orang yang telah diberi petunjuk, dicukupi, dan dilindungi.’ (HR. Abu Daud, no. 5095; Turmudzi, no. 3426; dinilai sahih oleh Al Albani)
Selepas membaca ketiga-tiga doa ringkas tadi, kami bertiga meneruskan perjalanan kami. Wan mula menekan minyak keretanya dengan perlahan-lahan sambil menumpukan pandangannya ke hadapan.
Min pula sempat memandang ke arah sekeliling sambil mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Al Quran.
Sedangkan saya pula tetap mengikat diri saya kepada Allah sambil memerhati tindak tanduk Wan dan Min kalau ada sesuatu yang mencurigakan saya. Maksud curiga di sini adalah kalau-kalau mereka berdua mula diganggu oleh syaitan semasa berada di dalam kereta.
Dan mungkinmereka sendiri tidak tahu kalau-kalau pada ketika itu yang mereka mula diganggu. Jadi mudahlah untuk saya merancang sesuatu kalau berlaku apa-apa nanti.
Entah kenapa perjalanan yang cuma mengambil masa dua tiga minit sahaja untuk sampai ke tempat letak kereta di kebun mereka terasa amat jauh. Dalam masa dua tiga minit itu sudah beberapa kaili saya memandang ke arah jam tangan saya.
Perjalan tersebut rasanya terpaksa dilalui selama sejam. Tetapi Alhamdulillah. Setelah itu kami sampai ke tempat biasa Wan dan Min meletakkan kereta mereka. Cuma pada ketika kami turun dari kereta, kami merasa sedikit pelik saling berpandangan.
“Wan, Min. korang ada masa pelik tak?”
“Ada Malik. Aku rasa kat sini macam gelap. Tak macam kebiasaannya. Sekarang ni jam lebih kurang nak dekat pukul lima ni. Sepatutnya masih terang lagi sekarang ni. Aku dan Min memang kenal benar tempat ni. Biasanya jam-jam camni hari masih terang lagi walaupun hujan ke ribut ke.”
“Itu yang aku hairan tadi.”
“Aku risau syaitan cuma nak mempermainkan kita saja. Kita tak tau mungkin lepas ni hari makin gelap. Jadi pandangan kita mudah diganggu oleh syaitan.”
Selepas itu tiba-tiba di dalam kawasan hutan tidak jauh dari kebun Wan dan Min, kami bertiga terdengar seperti suara anjing merintih. Bunyi tersebut benar-benar sangat menyeramkan. Betul-betul di dalam kawasan kebun Wan dan Min di hadapan kami. Lalu kami bertiga terdiam.
Pandangan mata kami cuma tertumpu pada kawasan kebun mereka. Kerana di situlah bunyi anjing tadi merintih. Cuma yang menghairankan kami biasanya bunyi anjing merintih seperti itu biasanya berlaku pada akhir malam dan bukannya pada petang hari.
“Malik, bunyi suara anjing tu sama macam bunyi semasa aku dan Min kat kebun sebelum kami terserempak dengan hantu tinggi tu. Cuma masa tu kami berdua tak peduli. Kami ingat mungkin bunyi anjing biasa.”
“Tu mungkin bunyi anjing biasa je Wan. Aku tak berani nak kata yang bunyi tu bunyi anjing yang kononnya peliharaan hantu tinggi tu ke atau apa. Aku tak pernah tengok anjing peliharaan hantu tinggi ni. Semua tu cerita dari orang-orang tua lama kita. Kita tak tau sejauh mana kebenarannya. Tapi kalau dari hadis Rasulullah mungkin disebabkan pada waktu tu anjing tu tengah melihat syaitan. Tapi kalau petang-petang camni ada bunyi suara anjing merintih camtu, itu yang tak faham sangat.”
Sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah r.a, beliau bersabda;
“Jika kalian mendengar ringkikan keledai, maka mohonlah perlindungan kepada Allah dari godaan syaitan kerana sesungguhnya ia sedang melihat syaitan. Dan jika kalian mendengar kokok ayam, maka mintalah keutamaan dari Allah SWT, kerana ayam itu sedang melihat malaikat.”
Di dalam hadis lain, disunahkan juga memohon perlindungan kepada Allah ketika mendengar anjing merintih atau melolong. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Jabir bin ‘Abdillah dan terdapat di antaranya dalam Sunan Abi Dawud;
“Jika kalian mendengar anjing melolong dan himar (keledai) meringkik, maka bermohonlah perlindungan kepada Allah kerana sesungguhnya dia melihat apa yang tidak kalian lihat.”
“Kita kena banyakkan membaca doa perlindungan sebelum masuk ke dalam kebun korang Wan, Min. Jom kita masuk dalam. Gelap kat sini lain macam. Boleh hilang kita nanti.”
“Allahu Rabbi. Betul ke Malik?”
“Yelah. Hari dah nak gelap. Mana orang nampak kita. Hahahahaha..”
“Ni yang aku tak suka nak bercerita dengan ustaz sembelih ‘manok’ ni.”
“Hahahahaha..”
Selepas itu kami betiga mula melangkah masuk ke dalam kebun Wan dan Min. Jarak untuk masuk ke dalam cuma mengambil masa dua tiga minit sahaja kerana kebun mereka terletak dekat dengan laluan jalan bertar.
Suara anjing merintih tadi semakin jelas kedengaran. Apa yang merisaukan kami bertiga adalah bunyi anjing itu bukan cuma seekor tetapi dua. Sehinggakan saya terbayang mitos kisah hantu tinggi yang dikatanya memelihara dua ekor anjing setinggi paras manusia dewasa berdiri itu.
Tetapi semua itu tidak menghalang kami untuk terus masuk ke dalam. Langkah kami sedikit perlahan dan penuh dengan berhati-hati. Dan setelah melalui kawasan belukar kecil, akhirnya kami sampai di kebun milik keluarga Min.
Kami memandang ke arah sekeliling. Suasana semakin gelap sedangkan di luar simpang masuk jalan baru Bintulu Miri tadi panas matahari masih lagi menyinar dan bahangnya meresap masuk ke dalam kulit tubuh.
“Kalau nak ke pantai jauh lagi ke jaraknya Wan?”
“Mungkin dalam belasan minit jugak kalau berjalan.”
“Kalau macam tu kita kena cepat. Nanti kalau dah maghrib kita nak nampak apa-apa.”
“Ok Malik..”
Selepas itu kami bertiga mula melangkah menuju ke arah tepi laut Pantai Similjau. Pada mulanya kami melangkah seperti biasa. Tetapi dengan secara tiba-tiba kawasan hutan kecil tempat kami lalui itu seperti diserang oleh ribut.
Cuma yang peliknya ribut itu sepertinya bergerak perlahan dari kawasan hutan sebelah kiri dan menuju ke arah kami dan ribut itu jagak bersaiz kecil jika dibandingkan dengan ribut biasa. Lolongan anjing yang pada mulanya tadi merintih mula berubah.
Dan berubah menjadi suara sepasang anjing yang sangat besar sedang menyalak kuat ke arah kami dan saya tidak dapat mengagak dari mana arah datangnya suara salakan anjing tersebut. Suasananya agak riuh rendah ketika itu.
Ribut kecil itu kemudiannya terus menuju ke arah kami dan menyebabkan Wan dan Min saling berpelukan. Saya pula pada ketika itu sedang berpaut pada sebatang pokok kecil di sebelah saya.
Kemudian dalam keadaan cemas seperti itu saya dikejutkan dengan suara Min memanggil-manggil nama saya.
“Malik..Malik..Tengok kat sana. Macam hantu tinggi.”
“Mana? Aku tak nampak.”
“Sebelah kiri sana. Tempat ribut tu datang tadi. Tengok sebelah sana. Macam ada benda yang tengah langgar pokok-pokok besar kat sana.”
“Kat mana Min?”
“Sana. Kat sana..”
Saya memandang ke arah tempat yang ditunjuk oleh Min tadi. Saya tidak dapat melihat apa-apa disebabkan padangan mata saya diganggu oleh debu-debu dan tanah-tanah yang berterbangan.
Cuma saya sempat memandang ke arah sesuatu yang kurang jelas. Bayangan hitam setinggi pokok kelapa mungkin atau lebih dari itu rasanya. Bunyi suara anjing merintih dan menyalak juga menemani perjalanan bayangan hitam itu tadi menuju ke arah kami.
Kehadiran bayangan hitam yang tinggi itu juga turun membawa sekali pemandangan gelap di sekeliling kami sehinggakan saya menjadi ragu sama ada hari sudah maghrib atau belum. Ini kerana baru sebentar tadi hari masih lagi siang.
Saya sempat memandang ke le arah langit. Walaupun pada ketika itu langit sedikit tertutup disebabkan oleh batang-batang pokok dan dedaunan lebat yang menutup langit.
Apa yang menghairankan saya adalah saya masih lagi dapat melihat matahari yang bersinar yang mula kelihatan rendah berhampiran kawasan tepi laut walaupun saya tak dapat melihat di mana kedudukan tepat laut Similajau ini.
Walaupun cahaya sihar matahari masih jelas kelihatan tetapi suasana di sekeliling kami semakin gelap. Bukan disebabkan hari hampir malam atau di sekeliling kami dipenuhi dengan pokok-pokok hutan tapi sepertinya ada sesuatu kegelapan yang sedang membelenggu kami pada ketika itu.
Bahkan pada ketika itu matahari yang saya lihat tadi juga sepertinya suram dan sinar cahayanya yang menerangi kami tadi bertukar menjadi gelap.
Pada ketika itu barulah saya tahu bahawa matahari yang saya lihat tadi adalah betul-betul matahari. Cuma pada ketika itu saya tidak tahu sama ada pandangan mata saya dikaburkan oleh syaitan atau memang pada ketika itu dengan izin Allah syaitan yang menganggu kami menampakkan wujud suasana seperti itu.
Selepas itu saya segera memandang ke arah Wan dan Min dan memberi arahan kepada mereka untuk segera berlari secepat mungkin ke arah pantai. Saya tidak mahu tahu apa yang saya lihat tadi betul-betul hantu tinggi atau hantu rendah.
Tetapi saya sedikit risau apabila terpandang ke arah Wan dan Min yang tba-tiba sahaja kaku memandang ke arah bayangan hitam yang tinggi sedang menuju ke arah kami.
Alhamdulillah pada ketika itu mata saya masih lagi terasa sakit apabila dihujani dengan debu-debu yang berterbangan tadi. Sehinggakan saya tidak dapat melihat makhluk apa yang sedang berjalan ke arah kami. Itupun kalau makhluk itu benar-benar ada.
Cuma yang saya perasan tanah tempat kami berpijak tadi terasa akan gegarannya sehinggakan dedaunan yang tumbuh meliar di atas pokok mula gugur dengan jumlah yang agak banyak.
Tanpa membuang masa saya terus bergerak pantas ke arah Wan yang kelihatan seperti sedang tersampuk. Lalu saya bacakan Ayat Kursiy dan menghembuskannya pada tapak tangan saya lalu kemudiannya saya menampar dahi Wan sekuat hati.
Akibat dari tamparan tadi Wan lalu jatuh terlentang lalu tersedar dari khayalannya. Wan memandang saya dengan rasa terkejut sambil fikirannya agak terganggu pada ketika itu.Mmungkin Wan tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
“Bangun cepat Wan. Kau bacakan Ayat Kursiy lepas tu kau tiup kat muka Min. Lepas tu jangan banyak tanya. Kita bawa terus Min kat tepi pantai. Lekas.”
Dalam keadaan terpinga-pinga Wan segera bangun dan terus bergegas ke arah Min lalu membaca Ayat Kursiy. Pada mulanya bacaannya agak lintang pukang. Selepas itu Wan segera meniup wajah Min dengan kuat sehingga Min tersedak lalu muntah.
“Lekas Wan. Kita bawa Min keluar cepat dari tempat ni. Kita pergi arah pantai sekarang. Beg sandang Min nanti aku yang bawak. Kau cuma pegang tangan Min dan papah dia hingga ke tepi pantai. Sekarang Wan.”
“Ooo..Ok Malik..Bismillah..”
Selepas itu kami bertiga mula melangkah meredah kebun dan hutan untuk sampai ke tepi pantai. Ada beberapa kali juga saya terpaksa menunggu Min yang masih lagi seperti tidak sedarkan diri sehingga Wan terpaksa memapah Min sehingga mereka jatuh tersungkur beberapa kali.
Untuk tidak membuang masa, saya terpaksa melepaskan beg Min yang saya gendong di belakang tadi. Beg itu kemudiannya saya minta kepada Wan untuk pasangkan di belakang Min. Selepas itu saya minta Wan untuk terus memapah Min dan sesekali menarik tangannya agar tidak terlalu lambat bergerak.
Saya pula cuba untuk memaksa Min bergerak cepat dengan cara menarik beg yang digunakan oleh Min tadi ke arah tepi laut. Jarak untuk sampai ke tepi laut mungkin tinggal beberapa minit lagi tetapi bunyi lolongan anjing semakin lama semakin dekat.
Juga bunyi pokok-pokok di belakang kami yang sepertinya diredah oleh sesautu yang besar dan tinggi sehingga kami dapat mendengar dengan jelas bunyi kayu-kayu besar yang dipijak sehingga hancur di atas tanah dan juga bunyi dahan-dahan yang patah kerana dilanggar oleh sesuatu.
Dalam keadaan segenting ini saya cuma berharap kepada Allah agar menyelamatkan kami dari segala ancaman dan mara bahaya. Lalu saya secara terus menerus membaca sebuah doa melalui hadis sahih yang berbunyi;
Dari Anas bin Malik, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Allahumma laa sahla illa maa ja ’altahu sahlaa, wa anta taj ’alul hazna idza syi ’ta sahlaa.”(Ya Allah! Tiada kesenangan kecuali yang Engkau permudahkan; Dan Engkaulah menjadikan kesedihan (kesukaran), jika Engkau mengkehendakinya pasti akan menjadi mudah).”
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam sahihnya (3/255). Diriwayatkan juga oleh Ibnu Abi ‘Umar, Ibnus Sunni dalam ‘Amal Yaum wal Lailah’. (Jaami’ul Ahadits, 6/257, Asy Syamilah)
Setelah itu, saya merasakan seolah-olah yang kami telah mendapat sebuah kekuatan baru. Bahkan rasanya lebih bersemangut untuk sampai ke tepi laut.
Wan pun kelihatan lebih yakin dan Min pula seperti baru tersedar dari lamunannya sehinggakan beberapa kali dia bertanya kepada Wan dan saya tentang kedudukan kami di mana pada ketika itu dan apa yang berlaku.
Saya dan Wan tidak mahu untuk menjawab dengan panjang lebar kerana kami perlu untuk sampai ke tepi laut dan menyelesaikan semuanya secepat yang mungkin. Alhamdulillah Win cuma mengangguk tanda faham dan mengikuti sahaja rancangan kami berdua Wan.
Mungkin Wan dan Min tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku sebenatar tadi. Bagaiman penat lelah kami tadi tiba-tiba sahaja seperti muncul suatu kekuatan baru. Tetapi saya yakin. Dengan doa tadi serta keizinan dari Allah, maka Allah mudahkan segala urusan kami pada ketika itu.
Setelah beberapa ketika akhirnya kami bertiga sampai ke tepi laut. Cahaya mentari yang mula kemerahan hampir benar terbenam ‘menyentuh’ laut. Cahaya kemilau laut juga kelihatan terang kerana terkena cahaya remang mentari senja.
Cuma pada ketika itu kami masih lagi merasa pelik kerana gelap hari tetap berlainan dari kebiasaannya. Cuma bunyi anjing yang mengejar tadi juga sudah tiada tetapi digantikan dengan suara lolongan anjing yang menyedihkan.
Juga bayangan mahkluk berwarna hitam dan tinggi tadi juga telah tiada dan ribut kecil yang mengejar kami tadi juga cuma masih berlegar-legar di dalam hutan tadi.
Untuk sementara waktu kami bertiga merasa agak selamat dan kami terbaring sebentar di atas pasir-pasir pantai di sekeliling kami untuk menghilangkan rasa penat dan terkejut kami. Selepas beberapa minit saya segera memanggil Wan dan Min yang kedudukan mereka sedikit jauh dari saya.
“Min, mana cincin tadi?”
“Ada dalam beg.”
“Bagi aku sekarang.”
Selepas itu Min segera menyelongkar begnya sambil dibantu oleh Wan. Setelah beberapa ketika cincin itu diserahkan kepada saya. Cincin itu saya ambil lalu saya genggam dan sengaja saya bukakan sedikit ruang pada genggaman tangan saya lalu saya bacakan Surah Al Fatihah, Ayat Kursiy dan tiga Qul.
Kemudian saya tiup pada cincin itu sambil di dalam hati saya berserah kepada Allah agar Allah musnahkan segala pengaruh jahat yang ada pada cincin itu dan memeliharasaya sekeluarga, Wan, Min dan keluarga mereka dari gangguan syaitan.
Setelah itu saya meminta kepada Wan dan Min untuk menyediakan dua buah batu besar yang mungkan ada di sekitar kami. Setelah beberapa saat kemudian, Wan membawa dua buah batu yang dijumpainya tidak jauh dari tempat kami berada. Lalu batu itu diserahkan kepada saya dengan segera.
Batu yang bersaiz lebih besar saya letakkan di atas pasir. Cincin yang ada pada saya tadi saya letakkan di atas batu tadi. Kemudian dengan menggunakan sebuah lagi batu yang ada pada saya, saya memukul cincin tadi sekuat-kuatnya berulang kali sambil membaca ayat;
“Katakanlah: Ya Tuhan yang memiliki segala kekuasaan.Engkau berikan kekuasaan kepada barang siapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kekuasaan dari barang siapa yang Engkau kehendaki dan Engkau muliakan barangsiapa yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau atas tiap-tiap sesuatu adalah Maha Kuasa. Engkau masukkan malam kepada siang dan Engkau masukkan siang kepada malam, dan Engkau keluarkan yang hidup dari yang mati, dan Engkau keluarkan yang mati dari yang hidup. Dan Engkau memberi rezeki siapa yang Engkau kehendaki dengan tidak berkira.” (Surah Ali Imran: 26-27)
Dalam beberapa kali pukulan sahaja cincin dari batang pohon nibong itu tadi hancur menjadi tiga bahagian. Satu bahagian saya ambil dan dua bahagian lagi saya simpang di dalam poket seluar saya. Wan dan Min cuma memerhati sahaja apa yang saya lakukan.
Mungkin mereka tidak berani untuk bertanya atau mempersoalkan apa yang sedang saya lakukan. Untuk menghilangkan keresahan yang mungkin mereka cuba untuk sembunyikan di dalam diri, akhirnya saya jelaskan kepada mereka apa yang berlaku.
“Cincin ni sengaja aku hancurkan jadi beberapa bahagian. Tak semestinya tiga bahagian, empat atau lima bahagian. Yang penting cincin ni mesti dimusnahkan agar tidak ada lagi di dalam bentuk asalnya.”
“Kau nak buat apa cincin tu?”
“Lepas ni potongan cincin yang ada kat aku ni aku akan buang ke laut. Dua bahagian lagi aku akan buang kat sungai.”
“Kenapa tak buang sekali kat sini?”
“Aku ta nak orang jumpa lagi cincin ni selamanya. Kalau bomoh jumpa cincin ni balik, kita risau dengan bacaan menteranya dan juga dengan izin Allah, syaitan-syaitan lain akan datang dan kembali menganggu keluarga korang.”
“Aku faham. Kau buatlah apa yang kau rasa bagus untuk kitorang.”
Selepas itu saya memandang kembali potongan cincin yang agak hancur di atas tapak tangan saya. Lalu dengan bacaan Ayat Kursiy saya melontar sejauh mungkin potongan cincin itu tadi betul-betul pada arah matahari tenggelam.
Tiba-tiba pasir pantai di sekeliling kami terasa kembali bergegar. Dengan tiba-tiba juga bunyi ribut kembali muncul dari arah hutan di belakang dan bergerak pantas menuju ke arah kami. Saya segera melarang Wan dan Min untuk memandang ke arah belakang agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Wan dan Min cuma mengangguk. Jelas kelihatan raut kerisauan terpampang pada wajah mereka berdua. Saya sempat meminta mereka untuk membaca Ayat Kursiy sebanyak yang mungkin dan jangan pedulikan apa yang berlaku.
Selepas beberapa ketika getaran pada pantai di sekeliling kami semakin kuat sehinggakan air laut saya perhatikan juga seperti kelihatan bergerak dan berombak. Getaran itu berulang beberapa kali dan seolah-olah getaran itu berpunca dari seperti sepasang langkah kaki yang besar.
Dan akhirnya saya rasakan sepasang kaki tadi benar-benar berada di belakang kami dan disertakan sekali dengan amukan ribut yang menerbangkan pasir dan dedaunan yang ada di sekitar kami bertiga.
Saya cuba untuk menutup mata agar pasir-pasir yang berterbangan tidak akan kembali masuk ke dalam kelopak mata saya sekali lagi.
Dan pada ketika itu jugalah kami merasakan seperti ada sepasang kaki yang besar sedang melangkah di atas kepala kami lalu kemudiannya masuk ke dalam air laut di hadapan kami. Kami cuma terdiam sahaja sambil terus menerus membaca Ayat Kursiy.
Kami tidak dapat melihat secara tepat adakah itu hantu tinggi yang menganggu Wan dan Min atau juga cuma khayalan mata kami bertiga sahaja ataupun boleh jadi juga memang pada ketika itu angin deras sedang melanda ke arah kami.
Apa yang menghairankan kami, kalau memang betul sekalipun ada ribut yang melanda pada ketika itu, masakan ianya berlaku secara tiba-tiba sahaja sedangkan di kawasan yang lain suasananya tetap tenang dan tidak ada apapun dilanda ribut seperti apa yang berlalu di tempat kami berdiri.
Semasa kami merasakan seperti ada sesuatu yang sedang melangkah tadi tiba-tiba pada ketika itu juga kami seperti dihujani dengan ratusan duri-duri dari batang pokok nibong yang muncul dari langit. Lebih tepatnya semasa sepasang kaki yang besar tadi sedang melangkah melewati kami.
Dan ratusan duri-duri dari batang pokok nibong tadi juga sedang berselerak di sekeling laluan sepasang kaki yang besar tadi dari hutan hingga menuju ke arah laut lalu timbul di permukaan laut di hadapan kami.
Selepas itu kami bertiga saling memandang ke arah laut iaitu tempat yang dilalui oleh sepasang kaki yang besar tadi. Sepertinya syaitan itu sempat berhenti sebentar dan mungkin memandang ke arah kami. Saya tidak pasti sama ada betul atau tidak.
Lalu dengan perlahan-lahan akhirnya sepasang kaki tersebut bergerak jauh ke dalam laut dan pada ketika itulah kami ternampak seperti bayangan badannya yang hitam dan berbulu lebat dan tajam sedang bergerak ke arah ‘Batu Mandi’ yang agak jauh dari kedudukan kami bertiga.
Pada ketika itu air laut di hadapan kami cuma sebatas betisnya sahaja. Dan akhirnya bayangan lembaga itu hilang dari pandangan kami setelah makhluk itu berjalan jauh ke dalam laut dan akhirnya berhenti di kedudukan Batu ‘Mandi tadi’.
Menurut pendapat beberapa orang tua di Bintulu, mereka pernah terserempat dengan ikan gergasi di Batu Mandi. Saya tidak tahu ikan apakah itu, sebesar manakan saiznya dan sejauh mana kebenarannya kerana semua itu sekadar cerita mulut sahaja.
(Batu Mandi merupakan sebuah batu besar yang berada di laut pantai Similajau dah boleh dilihat agak sedikit jelas dari tepi Taman Negara Similajau pada ketika air laut sedang tenang)
Setelah sahaja bayangan makhluk seperti hantu tinggi itu tadi tenggelam lalu menghilang di Batu Mandi, tiba-tba sahaja suasana kembali berubah seperti sedia kala.
Lalu dengan secara perlahan-lahan bayangan kegelapan yang menylubungi kami tadi beransur-ansur hilang dari pandangan. Lalu digantikan dengan sinar cahaya mentari yang mula kemerahan. Pada ketika itu pemandangannya sangat indah sekali. Tidak seperti sebelumnya. Semua gelap dan suram.
Lalu kemudiannya saya memandang ke arah Wan dan Min yang seolah-olah terkejut dengan apa yang berlaku kepada kami sebentar tadi.
“Min. Kamu nampak tak tadi?”
“Nampak.”
“Kau Wan?”
“Nampak. Tapi apa benda tu? Serupa betul dengan apa yang aku dan Min lihat di kebun dua hari lepas.”
“Kau tak payah pikir macam-macam Wan. Dalam keadaan macami ni, walaupun dengan izin Allah mungkin syaitan tu dah hilang tapi syaitan-syaitan lain tetap berusaha untuk meyesatkan kita dengan cara menimbulkan rasa takjub dengan apa yang dilihat tadi sehingga kita merasakan yang syaitan-syaitan itu benar-benar hebat. Lalu kita lupa bahawa Allah itu Maha Hebat dari segala-galanya.”
“Insyaallah aku faham Malik. Apa yang berlaku tadi benar-benar membuatkan aku terfikit tentang kekuasaan Allah. Lepas ni apa kita nak buat Malik?”
“Kita balik rumah?”
“Dah selesai ke urusan kita?”
“Untuk setakat ni aku rasa dah selesai. Aku tak tau lepas ni kalau-kalau syaitan tu masih nak ganggu lagi keluarga korang.”
“Kita nak balik macamana?”
“Kita guna jalan tadi. Kita redah je hutan tadi. Kan tak jauh sangat. Lepas tu jumpa kebun korang. Lepas tu kita balik. Aku tak nak lama-lama kat sikit. Jap lagi nak maghrib ni.”
“Kau yakin Malik?”
“Selagi ada Allah aku tetap yakin dan selagi kau berdua Min ada dengan aku Insyaallah aku beranilah sikit.”
“Oklah kalau kau kata macam tu. Jom kita balik sekarang.”
Selepas itu kami bertiga mula melangkah pulang melalui jalan hutan tadi. Cuma kali ini perasaan takut semakin kurang. Bunyi lolongan dan salakan anjing tadupun tiba-tiba sahaja hilang dari pendengaran kami.
Sepanjang perjalanan melalui hutan dan kebun mereka, tidak ada apa yang berlaku kecuali sesekali kami seperti terpandang bayangan orang sedang memerhati kami di sebalik batang-batang pokok. Kami juga perasan tetapi kami tidak mempedulikan apa yang perlaku.
Apa yang penting kami perlu keluar dari hutan dan kebun milik mereka sebelum azan maghrib. Setelah beberapa minit akhirnya kami telah sampai di tempat Wan meletakkan keretanya tadi. Selepas itu kami teruskan perjalanan balik ke rumah.
Pada ketika itu jalan semakin sunyi dan gelap. Bunyi cengkerik juga mula jelas kedengaran. Sehinggalah apabila kami hampir sampai di jalan besar Wan terpaksa menghentikan keretanya.
Kami sempat terpandang seperti ada bayangan dua ekor anjing yang sangat besar sedang melintas di hadapan kami. Anjing itu sempat menyeringai dan menunjukkan taringnya yang tajam dan panjang sebelum hilang d dalam belukar di sebelah kiri jalan.
Dan di hutan di sbelah kiri kami jugalah kami terlihat seperti beberapa pohon-pohon yang tinggi seperti sedang dilanggar oleh sesuatu yang besar.
Tetapi kami tidak mempedulikan itu semua kerana kami telah selesai melaksanakan apa yang perlu dan selebihnya kami serah kepada Allah. Sesampainya di rumah saya, saya mengingkatkan Wan dan Min untuk melupakan apa yang berlaku.
Juga mengingkatkan mereka untuk menjaga solat, mengaji dan melakukan ibadah-ibadah lain sebagai bekalan diri. Malam itu saya tidak pergi ke pusat rawatan kami kerana selepas sahaja solat maghrib saya tertidur. Saya benar-benar penat.
Saya terbangun sekitar hampir tengah malam dan itupun setelah beberapa kali isteri saya mengejutkan saya untuk makan malam.
Keesokan harinya lebihan dua bahagian cincin yang saya musnahkan di pantai sehari sebelumnya saya serahkan kepada kawan saya iaitu Mahli untuk dibuang di dua buah sungai yang mengalir.
Beberapa malam kemudian Wan dan Min datang berjumpa saya di pusat rawatan kami. Tujuan mereka datang adalah untuk dibacakan Al Quran. Manalah tau kalau ada ganguan-ganguan yang masih ada.
Dan Ahamdulillah setelah beberapa kali dibaca, Wan dan Min tetap khusyuk tanpa ada reaksi apa-apa. Sebelum balik Wan dan Min sempat mengucapkan terima kasih kepada saya.
Saya cuma meminta mereka melafazkan rasa syukur kepada Allah kerana Allahlah yang menjauhkan mereka dari sebarang gangguan jin.
“Alhamdulillah. Terima kasih Malik atas bantuan kamu.”
“Kamu berdua bersyukurlah kepada Allah sebab Allah yang atur semua ni.”
“Aku harap tak ada lagi gangguan-gangguan lepas ni. Aku dah tak tahan hidup macam dulu Malik.”
“Insyaallah Wan, Min. Kita serah kat Allah semuanya. Lagipun apa nak risau. Cincin tu kita dah musnahkan. Insyaallah lepas ni tak ada apa lagi yang menganggu kamu berdua. Kita dah musnahkan cincin perjanjian tu.”
“Tapi Malik..”
“Tapi apa lagi..?”
“Mak aku kata datuk aku sebenarnya pelihara dua ekor hantu tinggi.”
“Hah..Astaghfirullahal azhim. Betul ke ni Min?”
“Betul. Yang satu tu mungkin dah lepas dan hilang di laut.”
“Yang satu lagi mana?”
“Masih kat kebun.”
“Kebun? Kan kita dah buang benda tu?”
“Itu yang atuk dapat masa bertapa di laut. Yang itulah yang kita buang beberapa hari lepas.”
“Yang kebun ni dari mana pulak?”
“Hehehehehe…Aku dah janji dengan atuk aku tak akan bagitau sesiapa..”
TAMAT
Kung Pow suka teh merah O panas. Susah nak cari..

COMMENTS