Ramai “Salah Faham” Cetak Wang – Wan Fayhsal Menteri Surat Sokongan

Ramai “Salah Faham” Cetak Wang – Wan Fayhsal Menteri Surat Sokongan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempertahankan cadangannya bagi membantu rakyat dengan cara “pengampunan hutang” dan mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagihkan kepada orang untuk dibelanjakan.

Dalam satu hantaran Facebook semalam, Wan Ahmad Fayhsal berkata bahawa pengkritiknya “salah faham” dengan cadangannya dan membuat andaian palsu.

“Nampak ramai salah faham dalam mengkritik berkenaan “pengampunan hutang” dan “penciptaan wang” yang saya kupas tempoh hari dalam bahasa Inggeris dalam siaran BFM.

“Jujur tajuk ini memang teknikal dan perlu perbincangan lanjut dan asas tentang asal usul wang, dan perbankan moden.

“Kalau tidak jelas, maka jadilah andaian-andaian palsu kononnya akan berlaku hiper-inflasi seperti Zimbabwe. Ini tidak tepat,” katanya.

Dalam wawancara bersama BFM pada Isnin lalu, timbalan menteri itu mencadangkan dasar kewangan “wang helikopter” dengan bank pusat secara langsung mencipta iaitu mencetak wang dan memberikannya kepada rakyat supaya mereka dapat membelanjakannya.

 

Walau bagaimanapun, bekas pengerusi PNB Jalil Rasheed dalam ciapan berasingan menolak idea berkenaan yang kononnya dikatakan mampu untuk membantu merancakkan ekonomi.

Menurutnya, mencetak wang bukan penyelesaian buat Malaysia tetapi sebaliknya menurunkan nilai mata wang sedangkan ringgit kini, sudah pun cukup lemah.

Jalil berkata, dasar seperti itu mungkin hanya dapat dilaksanakan di Amerika Syarikat.

 

Wan Fayhsal dalam mempertahankan cadangannya, turut berkongsi hantaran Facebook Biro Ekonomi Armada Nasional (Pemuda Bersatu) memetik pakar Modern Monetary Theory (MMT) yang menekankan bahawa mencetak wang semata-mata tidak boleh menjadi penyebab inflasi.

Sebaliknya, biro Pemuda Bersatu itu berkata bahawa Inflasi berlaku apabila sesebuah negara gagal untuk menghasilkan makanan atau barangan yang mencukupi bagi membolehkan wang dibelanjakan.

Seorang pakar ekonomi, ketika diminta mengulas hantaran Pemuda Bersatu berkata walau pun teori MMT itu menarik dalam berdepan keadaan ekonomi yang merudum, namun ia “sedikit keterlaluan”.

“MMT agak keterlaluan dalam erti kata bahawa kerajaan dapat membelanjakan wang dengan bebas kerana mereka selalu dapat membiayai melalui mencetak wang.

 

“Pada dasarnya, meminjam dari mata wang sendiri. Masalah dengan teori ini adalah ia tidak menangani risiko bahaya moral,” kata ahli ekonomi itu dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.

 

sumber Malaysia Kini

COMMENTS