PH Johor : Tawaran kerjasama bukan antara parti

PH Johor : Tawaran kerjasama bukan antara parti

Pakatan Harapan Johor nafi dakwaan ia sedia bersama Umno untuk membentuk kerajaan baharu di Johor, seperti yang dilapor akhbar tempatan semalam, mengatakan sebarang bentuk kerjasama bukan antara parti dengan parti.

Pengerusi Aminolhuda Hassan menjelaskan kenyataannya kepada wartawan semalam, mengatakan pembentukan kerajaan boleh dibuat dengan kerjasama dengan mana-mana Adun “secara individu”, atas dasar keinginan mahu membentuk kerajaan yang stabil.

“Sehubungan itu pembukaan pintu untuk mana-mana Adun menyokong PH Johor amat dialu-alukan tanpa ada sebarang ‘demand’ atau permintaan berkepentingan peribadi dalam usaha mengekalkan mandat rakyat yang diberikan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Amanah Johor menyanggah dakwaan dalam laporan tersebut sebagai “tidak benar sama sekali”, dan berharap tidak disalah ertikan sebagai PH Johor mempelawa Umno untuk bersama.

Perkembangan ini selepas DAP negeri berkata ia “terkejut” dengan laporan tersebut, yang memetik Aminolhuda sebagai berkata PH Johor sedia bekerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan, mengingatkan gabungan itu mengamalkan pendekatan “musyawarah”.

Sementara itu, PKR Johor ketika dihubungi mengingatkan PH negeri supaya menunggu arahan daripada pentadbiran pusat dalam membuat sebarang keputusan membabitkan hala tuju dan kerjasama politik.

Timbalan Pengerusi Jimmy Puah Wee Tse menyambut baik penjelasan Aminolhuda hari ini, dan menambah PH negeri tidak perlu mengulas panjang isu kerjasama antara wakil rakyat itu.

“Kita di sini teruskan bekerja ikut cara kita,” katanya kepada FMT.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/15/bukan-en-bloc-ph-johor-nafi-dakwaan-sedia-kerjasama-dengan-umno/

COMMENTS