PEWARIS SAKA HARIMAU

PEWARIS SAKA HARIMAU

PEWARIS SAKA HARIMAU

BAHAGIAN PERTAMA

Malam itu Kerol bermimpi lagi. Sama juga kisahnya. Dia didatangi oleh seorang lelaki berkepala harimau. Pada wajahnya kelihatan jelas kesan dari tetakan parang pada alis sebelah kiri hingga ke bahagian bawah mata. Kerol juga tidak pasti kenapa pada wajah lelaki berkepala harimau itu ada bekas tetakan seperti itu.

Badannya tinggi dan sasa. Dia memeluk tubuh sambil menunggu sesuatu yang muncul dari mulut Kerol. Juga mengenakan seluar silat berwarna hitam sebatas paha dengan lilitan tali pinggang menyerupai kulit harimau yang dijemur kering beberapa hari di atas tempat memanggang yang berarangkan kayu dan tulang-tulang kucing yang dibakar hidup-hidup sebelumnya. Dan itulah yang dikhabarkan oleh Kerol kepada saya.

Pada dahi lelaki berkepala harimau itu terlilit sebuah kain berwarna merah mengelilingi kepalanya. Di samping lelaki berkepala harimau itu pula kelihatan seorang perempuan dengan wajah yang menakutkan.

Matanya terbujur keluar sehingga paras pipi dan menampakkan urat-urat kemerahan yang menyambung pada bebola mata yang terkeluar itu dengan lubang matanya yang terbuka luas kehitaman. Kerol hanya mampu untuk memandang sahaja dengan penuh rasa ketakutan yang telahpun meluluh lantakkan jiwanya.

Langit kelihatan gelap dan menakutkan. Tiada gemalai awan yang bergerak ditiup bayu. Bintang dan bulan juga entah ke mana jejaknya sehinggakan gelap malam yang muncul itu benar-benar membunuh rasa kelakian Kerol sebelum ini.

Di telinga Kerol juga terdengar bunyi pukulan gendang silat yang biasa terdengar ketika tuan guru berpencak dengan bayangnya sendiri di hadapan puluhan anak muridnya. Cuma bunyi gendang itu terdengar dengan jelas dari atas sebuah bukit yang berdekatan dengan Sungai Kemena Bintulu.

Setelah beberapa ketika, jantung Kerol bagai direntap apabila lelaki berkepala harimau tadi mula melangkah dekat ke arahnya. Kerol cuba untuk berundur tetapi kedua kaki seolah-olah telah terpacak pada pasak bumi sehinggakan seluruh urat-urat pada kakinya seolah-olah seperti mengakar jauh dan terpasak pada penghujung belahan bumi yang paling dalam.

Beberapa saat kemudian lelaki berkepala harimau tadi telahpun berada di hadapan Kerol. Badan Kerol semakin kaku. Waima dia tidak mampu untuk menutup kedua belah matanya sekalipun. Apa lagi untuk berundur barang selangkah dua untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

Kini kepala lelaki berkepala harimau itu dan Kerol mula bersua. Mereka bertentang mata. Peluh dingin mula berucuran dari bahagian tepi dahinya. Lelaki berkepala harimau itu memandang utuh pada sekeliling wajah Kerol.

Lelaki berkepala harimua itu kemudiannya mula menghidu-hidu pada sekeliling wajah polos Kerol. Hidungnya yang basah mengembang dan mengempis beberapa kali sehinggakan ada ketikanya juga misai tebalnya itu menyentuh wajah Kerol.

Setelah seakan berpuas hati, lelaki berkepala harimau itu mula memegang dan mengusap-ngusap garis panjang kesan tetakan parang dari alis sebelah kiri wajahnya sendiri hingga ke bahagian bawah matanya.

Lalu dengan kedua belah tangannya yang menyerupai sepasang tangan harimau dewasa itu, juga dengan kedua belah kukunya yang tajam berkilat, dia mula membelah dan mengopek sendiri kesan seperti tetakan parang pada alis sebelah kirinya tadi.

Selepas itu darah merah yang segar dan kepanasan mula mengalir membasahi dadanya yang berkilat dan kelihatan juga bulu-bulu kasar berwarna kuning keperangan yang tumbuh di dadanya itu juga kebasahan dengan darah-darah pekat.

Lalu dengan kedua belah kukunya yang tajam itu, lelaki berkepala harimau tadi dengan rakus mula mengorek kesan luka yang panjang itu lalu membenamkan kedua belah tangannya ke dalam kepalanya sendiri melalui kesan garis tetakan tadi.

Darah-darah pada kepalanya mula memercik sehingga menyentuh wajah polos Kerol yang benar-benar dikuasai rasa ketakutan yang semakin merasuk jiwanya. Kerol seperti tiada pilihan melainkan terpaksa untuk melihat apa yang berlaku di hadapan matanya sendiri itu.

Lelaki berkepala harimau tadi semakin menggila. Dia ketawa terbahak-bahak sambil kedua belah tangannya masih lagi seperti mencari-cari sesuatu yang tersembunyi di kepalanya. Darah yang bercucuran juga semakin banyak sehinggakan pada tanah tempat Kerol berpijak itu dipenuhi dengan darah-darah dari kepala lelaki berkepala harimau tadi.

Setelah beberapa ketika, lelaki berkepala harimau itu mula menarik sesuatu dari luka yang terbuka besar dari kepalanya tadi. Cuma kali ini dia kelihatan agak lebih tenang. Apa yang dia cari telahpun berada digenggamannya walaupun genggaman itu masih lagi berada di dalam luka yang terbuka itu.

Lalu dengan perlahan-lahan dia mula menarik sesuatu dari kepalanya. Kerol memandang dengan penuh rasa takjub. Juga dengan perasaan ketakutan yang teramat. Dia melihat sendiri bagaimana lelaki berkepala harimau itu mula menarik keluar sesuatu dari kepalanya perlahan-lahan.

Kerol tidak pasti apakah benda yang keluar dari kepala lelaki berkepala harimau tadi. Yang pasti benda itu telah berada di atas tapak tangan lelaki berkepala harimau tadi dan dipenuhi dengan darah-darah merah yang bercampur dengan ketulan darah hitam.

Selepas itu lelaki berkelapa harimau tadi mula menggosok-gosok benda tersebut dengan kedua belah tangannya. Kesemua itu tidak sedikitpun terlepas dari pandangan Kerol. Setelah semuanya selesai, benda itu ternyata dibungkus dengan sebuah kain berwarna merah tua.

Tidak berapa lama kemudian lelaki berkepala harimau itu mula membuka bungkusan tersebut sambil membaca sebuah mentera yang berbunyi;

“Dzii Quwwatin ‘inda dziil ‘arsyi makiin. WaullooHu miw waroo iHim muhiith, bal Huwa Qur aaanum majiid, fii law him mahfuuzh. Subhanaka laa ilma lanaa illa maa ‘allamtanaa, innaka antal ‘aliimul hakiim, innaaulohHa qowiyyul ‘aziiz. Yaa Allah yaa Rasulullah yaa syeikh Abdul Qodir Al Jailani Al Baghdad, aghistnii aghistnii aghistnii.”

(Ini sebuah zikir sesat dan menyesatkan yang digunakan untuk memanggil syaitan. Tetap dihiasi dengan potongan-potongan ayat Al Quran bagi menampakkan yang kesemuanya itu masih lagi berlandaskan pada agama. Agar kesesatan itu kelihatan seperti indah pada pandangan mata orang yang tidak mengatahui.

Lalu syaitan tersebut menyerupai seperti harimau lalu merasuk orang yang berniat memiliki saka harimau tadi dan akhirnya syaitan itu tidak akan menambah kekuatan padanya melainkan tipu helah dan kesesatan semata-mata)

Menurut Kerol, suatu ketika dulu ketika datuknya masih remaja, datuknya menuntut sebuah ilmu penjaga diri keturunan iaitu ilmu Saka Harimau dari belahan Tanah Sumatera. Syaitan menuntut datuknya untuk bertapa di gunung atau bukit yang hutannya tidak pernah dijamah oleh manusia. Semakin jauh dirinya dari manusia maka semakin tinggi pula tingkat kesaktian saka harimau yang akan dia miliki nanti.

Menurut Kerol juga, sesiapa yang ingin memelihara saka harimau ini, dia hendaklah bertapa di kawasan berbukit dan kawasan berbukit ini adalah kawasan yang sesuai untuk memburu saka harimau yang berjenis mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu yang berjenis silat tempur.

Namun orang itu mestilah memiliki kemampuan untuk menunduk khadam saka harimau itu nanti agar tidak menjadi mangsa khadam Harimau itu sendiri. Ada juga yang mati di pertengahan perjalanan kerana tertewas ketika cuba untuk menunjuk dan memiliki khadam saka harimau ini sehingga badannya hancur dan terputus kerana dicakar oleh khadam saka tersebut.

Antara ujian yang akan dihadapi oleh orang yang bertapa tadi juga adalah ketika bertapa itu dia mesti bertempur dengan khadam saka harimau itu dalam usaha menundukkannya tanpa harus membinasakannya. Jika berjaya, akhirnya khadam saka harimau itu akan tunduk dan menjadi khadam kepada tuan barunya itu.

Selepas itu lelaki berkepala harimau tadi meletakkan bungkusan merah tua yang penuh dengan darah tadi betul-betul di penghujung kedua belah kaki Kerol. Kemudian lelaki berkepala harimau itu duduk di hadapan Kerol sambil membuka bungkusan merah tua tadi.

Setelah keempat-empat bucu pada kain tersebut dibuka, ternyata apa yang ada di dalam kain tersebut adalah sebuah keris yang kelihataannya sudah sangat tua, buruk dan hodoh sekali. Keris itu kemudiaannya diambil oleh lelaki berkepala harimau tadi lalu dijilat semahu-mahunya sambil kedua belah matanya memandang ke arah Kerol sehingga kesemua kesan darah yang melekat pada keris tua itu hilang kesemuanya.

Kemudian tanpa disangka-sangka, lelaki berkepala harimau itu tadi tiba-tiba sahaja melompat dan mengeluarkan jurus saka harimau lalu menikam pada alis sebelah kiri Kerol dengan menggunakan keris tua tadi. Kerol menjerit sekuat-kuatnya kerana bisa pada keris itu mula menjalar ke seluruh tubuh badannya.

Entah kenapa pada ketika itu juga Kerol merasakan seolah-olah dia seperti diresapi oleh sesuatu. Badannya semakin berat. Dia juga merasakan yang seolah-olah ada seseorang sedang menumpang pada badannya. Suaranya juga berubah menjadi garau.

Kerol juga hairan kenapa tiba-tiba sahaja dia ketawa terbahak-bahak sambil sesekali terdengar juga suaranya seperti ngauman seekor harimau jantan. Lalu selepas itu dia mula membuka bunga dan buah silat yang dIa sendiri tidak pernah belajar sebelumnya.

Kesemua langkah silat itu Tidak seperti langkah ‘Taekwondo’ yang dia pelajari sewaktu menuntut di SMK Bintulu pada tahun 90 an dulu. Kerol kehairanan. Bagaimana mungkin dia bisa membuka langkah silat yang dia sendiri tidak pernah belajar.

Cuma pada ketika itu tubuh badannya seperti didorong oleh sesuatu untuk melakukan langkah-langkah silat yang benar-benar asing baginya. Sesekali dia menunduk-nundukkan badan dan menjilat-jilat pada kedua belah tapak tangan.

“Lepas tu apa yang berlaku Kerol?”

“Ntahlah Malik. Rasanya lepas tu aku tersedar dari mimpi. Badan aku rasa sangat berat. Kau sendiri taukan macamana badan aku masa kita bersekolah di SMK Bintulu dulu? Mana ada aku kurus macam ni? Sekarang ni aku memang kurus tetapi aku rasa badan aku terlalu berat.”

Saya memandang ke arah badan Kerol. Memang dulu badan Kerol berisi. Saiz seluarpun mungkin sekitar 37-38. Tetapi sekarang badan Kerol benar-benar kurus. Cuma lapisan kulit sahaja yang kelihatannya menutup tulang-tulang badannya. Dia tak ubah seperti lirik dari sebuah lagu dari Kumpulan Wings iaitu ‘Jerangkung Dalam Almari’.

Saya dan Kerol menuntut di tingkatan 4 dan 5 di SMK Bintulu. Ketika itu tahun 1992 dan 1993. Kami berlainan kelas. Dia di kelas yang agak hadapan. Kelas budak pandai. Kelas untuk pelajar yang baik dan saya pula menuntut di Tingkatan 4H dan 5H. Kelas yang agak belakang. Saya bukan pelajar yang lembab. Saya cuma pelajar yang sedikit lambat sahaja untuk mengeluarkan kehebatan yang ada. Percayalah. Hehehe..

“Kamu rasa apa yang berlaku pada aku Malik?”

“Sebelum tu aku nak tanya kamu Kerol. Boleh tak?”

“Sejak bila kau perlu mintak izin ni?”

“Setelah lebih 20 tahun kita tak jumpa.”

“Hahahahaha..Ok. Kamu tanyalah apa yang kamu mahu.”

“Ok. Macam ni. Aku tanya dan kamu cuma jawab ya atau tidak.”

“Ok..”

“Kamu ada tak mimpi ular, mimpi didatangi oleh seseorang yang lengkap dengan pakaian silat, atau wujudnya seperti seorang pendekar, boleh bersilat sendiri tanpa belajar atau boleh meminta apa sahaja jenis silat yang kamu mahu lalu kemudiannya badan kamu tiba-tiba bergerak mengikut langkah silat tadi?”

“Ada. Semua yang kau tanya tu ada pada aku Malik.”

“Lepas tu ada tak kamu bermimpi ada seseorang memberi kamu barang untuk dijaga? Tak kiralah azimat ka, minyak ka, keris ka, tombak ka, tempayan ka atau apa-apa sahaja?”

“Ada..Ada..Memang ada. Macam keris. Tapi keris tu buruk sangat.”

“Lepas tu ada tak kamu rasa yang kamu boleh tau sesuatu tu akan berlaku dan kadang-kadang benda yang terlintas di fikian kamu tu benar-benar berlaku?”

“Selalu.”

“Kau pemarah tak?”

“Memang. Tak boleh orang salah sikit kalau bercakap dengan aku. Memang aku nak mengamuk terus. Aku tidak kira siapa orang tu. Mak bapak aku ke, kawan-kawan ke atau siapa sahaja. Pernah aku tengking mak aku sebelum ni sebab dia lupa nak letak gula dalam air teh. Abis satu teko tu aku campak kat lantai. Mak akupun terkejut. Sebelum tu aku tak pernah macam ni Malik. Sikit lagi aku nak silatkan mak aku tu. Tiba-tiba je aku macam nak serang mak aku. Masa tu aku dengar macam ada suara berbisik kat telinga aku suruh aku bunuh mak aku. Alhamdulillah. Nasib bait aku waras lagi. Masa tulah aku perasan macam ada sesuatu dalam diri aku ni. Benda yang tak elok. Aku dapat rasa Malik. Ada benda dalam diri aku ni.”

“Ok Kerol. Untuk sekarang ni aku dah dapat kesimpulan sementara untuk kes kau ni?”

“Jadi apa masalah aku sekarang ni Malik?”

“Keturunan kau asal mana?”

“Kalau asal datuk aku dari Sumatera. Itu yang aku tahu. Kalau mak memang asal Bintulu ni.”

“Aku rasa kau ada saka.”

“Saka? Apa tu? Harta pusaka ka?”

“Saka ni adalah jin keturunan. Jin yang berada di dalam tubuh manusia yang diwarisi secara turun temurun yang telah sebati di dalam tubuh manusia tu. Semua ni berlaku samada seseorang itu tahu atau tidak. Jin tersebut diwarisi apabila nenek moyang yang membela saka ni telah meninggal dunia. Saka adalah jin yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga sudah menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku samada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunan kita.”

“Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek-moyang kita terdahulu Kerol. Mungkin suatu ketika dulu, semasa nenek moyang kamu berhijrah sini dari Tanah Seberang dan biasanya mereka datang mengembara seorang diri samada meredah hutan tua atau belayar seorang diri meredah lautan. Atas sebab itulah mereka bekerjasama dengan jin untuk membantu mereka dalam urusan seharian mereka. Kebanyakan mereka dari golongan petani, nelayan dan sebagainya. Kadang-kadang jin peliharaan mereka ini ditugaskan untuk menjaga rumah, kebun yang luas, harta benda dan keluarga mereka. Sasaran saka ini adalah daripada keturunan pembawa saka dan orang-orang yang dipilih oleh saka itu sendiri.”

“Tetapi jin peliharaan ini tidak dapat diarahkan begitu sahaja. Ini kerana tuan mereka mesti memberikan balasan kepada mereka atas setiap tugas yang diberikan. Jadi amalan Buang Ancak mesti dibuat. Semua ini dilakukan pada setiap bulan penuh atau bulan purnama dengan cara memberi jin tersebut makan. Makanan yang disaji biasanya pulut, ayam, rokok daun, kuih dan sebagainya. Semua benda ini akan dihanyutkan ke laut atau sungai dan inilah yang dinamakan sebagai Buang Ancak tadi.”

“Saka ini diturunkan kepada kita tanpa diketahui atau jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki. Sebab itu memang susah untuk menghalau jin di dalam tubuh seseorang yang telah memiliki saka. Ia tetap akan kembali lagi ke tubuh tuannya itu walaupun sudah beberapa kali diberi amaran atau bersumpah di atas nama Allah bahawa ia tidak akan datang lagi. Biasanya secara simbolik, orang yang mempunyai saka akan menyerahkan jin saka kepada warisnya melalui benda-benda tertentu untuk dijaga seperti keris, cincin, batu, benda-benda pelik, azimat, wafaq dan sebagainya.”

“Kalau kau perasan Kerol, ada beberapa tanda yang dapat dilihat dari orang yang mengalami saka ini. Gejalanya hampir sama dengan gangguan jin biasa dan sihir. Di antaranya, ketika tidur adalah susah tidur malam, mudah terjaga ketika tidur dan merasa cemas dan takut, mempi yang menakutkan, mimpi melihat binatang seperti tikus, kucing, anjing dan sebagainya, mimpi jatuh dari tempat tinggi, berdiri dan berjalan ketika tidur, mimpi berada di tempat sunyi, mimpi berada di kawasan yang kotor dan di kawasan perkuburan, mimpi melihat makhluk halus, mimpi bertemu anak kecil dan mimpi menyusui kucing.”

“Ketika sedar pula pesakit sering lalai dari mengingati Allah, hilang ingatan atau gila, lesu dan malas, rasa sakit pada semua anggota badan, sakit pada belakang badan terutama di bahagian tulang belakang, lenguh sendi, melihat sesuatu yang pelik, ketumbuhan yang sukar diubati atau kanser, terasa seolah-olah memijak telur atau batu di bahagian tapak kaki, mudah panik bila berhadapan dengan masalah, lemah jiwa, selalu mengantuk dan mudah marah atau panas baran.”

“Akibat dari gangguan saka ini boleh menyebabkan orang seperti kamu akan mengalami masalah seperti sukar mendapat anak, banyak berlaku perkara ganjil di dalam hidupnya, banyak menghidap pelbagai penyakit, tidak suka hidup bermasyarakat, mudah sensitif atau terasa, mengetahui perkara yang mustahil akan diketahui oleh orang lain hasil dari bisikan jin dan syaitan, selalu menangis ketika kecil dan berperangai seperti syaitan ketika besar dan kehidupannya menjadi tegang dan suram.”

“Seingat aku, ada orang yang membahagikan saka ini kepada dua jenis iaitu saka laut dan saka darat. Saka laut terdiri dari saka buaya, saka ular, saka naga dan sebagainya manakala saka darat terdiri dari saka jin ifrit, saka harimau, saka monyet dan sebagainya. Inilah jenis saka yang popular dikalangan masyarakat kita di Nusantara. Setakat ini aku cuma pernah berhadapan dan merawat orang yang mempunyai ular, saka buaya, saka monyet dan saka harimau saja.”

“Apa jugak tanda-tanda lain orang yang ada saka ni Malik?”

“Orang yang memiliki saka laut ini kebiasaannya mereka akan berasa sejuk dari pinggang ke bawah tetapi cuma mengalaminya pada waktu-waktu tertentu sahaja. Mereka yang ada saka buaya atau naga dikatakan selalu menderita sakit di bahagian muka terutamanya pada bahagian mata. Biasanya mata mereka akan rabun dan rawatan pembedahan secara perubatan modenpun tidak mendatangkan kesan apa lagi bagi orang yang sudah tua. Bagi kaum wanita terutamanya selalu mengalami sakit di bahagian pinggang dan rahim. Dulu pernah juga aku merawat orang yang terkena gangguan jin saka ular ni, jin saka ular itu mengaku membelit pinggang pesakit. Selain itu, kalau untuk perempuan, saka ini akan tinggal di dalam rahim dan pasti akan ada gangguan yang berlaku dalam rahim mereka samada haid tak teratur, ketumbuhan, istihadhah, tumpah darah yang banyak dan banyak gangguan-gangguan lainnya.”

“Saka darat setau aku pula akan mengganggu fikiran dan perasaan. Gejala gangguannya adalah seperti kena sesak nafas, sakit dada, mudah lupa dan was was terutama sekali ketika solat, sakit dari bahagian dan sakit tulang belakang. Kalau untuk kita lelaki pula mengalami sakit tulang belakang dari bahagian pinggang hingga ke pangkal peha yang menyebabkan kadang-kadang alat kelamin tidak berfungsi secara normal, sakit lutut bagi perempuan yang berumur setengah abad dan gangguan pada haid. Ada jugak lebam-lebam di paha atau di mana sahaja anggota badan akibat dihisap oleh jin dan kesan cakaran tertentu di badan akibat dicakar oleh jin.”

“Selain itu pesakit akan sering terdengar suara memanggil namanya bila dia keseorangan dan sering merasakan ada seseorang yang berada di belakang dan memperhatikan kita di setiap sudut tetapi apabila kita memperhatikan keadaan di sekelilingnya ternyata tidak ada apa-apa. Saka harimau kebiasaanya timbul tanda di sekitar kawasan rumah seperti adanya cakaran harimau yang kadang kala terdapat pada badan orang yang mengalaminya. Sekali pandang orang yang ada saka harimau, mata mereka seolah-olah berwarna merah dan muka mereka bertukar wajah harimau.”

“Sebenarnya saka ini tidak lain hanyalah untuk menyusah dan menyakitkan orang yang membelanya. Ianya bukan sekadar pesakit itu sahaja diganggu malahan seluruh anggota keluarganya juga akan mengalami gangguan yang menyebabkan mereka tidak akan merasa tenteram. Yang merbahayanya, jin saka ini boleh bertukar bentuk menjadi tuannya dan tidur serta menggauli isteri tuannya sendiri ketika tuannya tidak ada di rumah. Aku pernah berjumpa dengan beberapa orang pesakit yang berbeza yang mana mereka mengaku pernah digauli oleh jin saka ketika mereka dalam keadaan sedar tak sedar dan mereka secara terang-terangan menyatakan bahawa setelah mereka digauli oleh jin peliharaan ini, mereka merasakan kesakitan pada kemaluan mereka. Sebelum digauli, mereka merasakan ada suara yang berbisik di telinga mereka.”

“Jadi sekarang. Kamu sudah paham aku yang berlaku pada diri kamu Kerol?”

“Aku rasa aku sudah faham Malik. Apa yang kau katakan tadi rata-rata betul dan aku mengalami banyak tanda-tanda seperti yang kau katakan tadi dan sekarang aku yakin aku mungkin ada gangguan saka. Saka dari keturunan sebelah datuk. Bapa kepada bapa aku Malik. Mungkin saka yang menganggu aku sekarang ni adalah saka harimau.”

“Boleh jadi juga Kerol. Aku tak pasti lagi. Kecuali setelah aku dan kawan-kawan aku merawat kamu.”

“Jadi kau boleh tolong aku tak Malik?”

“Insyaallah Rol. Kita usaha mana yang termampu. Biasanya saka harimau ni lebih ganas. Apa lagi yang datang dari silat. Dan apa lagi dari silat yang dituntut dari mimpi. Dan apa lagi dari silat yang digerakkan oleh sesuatu dari dalam badan sedangkan kita langsung tidak pernah belajar silat.”

“Aku risau Malik. Aku takut aku tak kuat. Aku tak sanggup dan aku takut dia akan kawal aku.”

“Kalau kau kuat Kerol dan kalau kau meletakkan Allah sebagai tempat memohon pertolongan, maka Allah tidak akan membiarkan engkau bersendirian. Percayalah Rol.”

“Aku percaya Malik dan aku tidak mahu saka ni menjadi tuan aku. Nanti aku boleh jadi gila.”

“Jangan gila dulu Kerol. Kita ikhtiar dulu. Hahahahaha..”

Pada ketika itu Kerol langsung tidak melayan lawak jenaka saya. Mungkin tidak lucu rasanya gurauan saya. Sebenarnya saya pada ketika itu sedang berusaha untuk menenangkan jiwanya sebentar. Supaya mudah untuk dirawat nanti. Kalau jiwanya masih berkecamuk, sudah tentu akan kesulitan nanti kerana fokusnya bukan pada merawat penyakitnya tetapi pada fikirannya yang telah membentuk suatu ketakutan yang dia sendiri ciptakan.

Selepas itu Kerol terdiam. Dia memandang ke arah luar pintu pusat rawatan kami di Bangunan Martabat. Hujan yang turun dengan deras tadi mula turun dengan perlahan. Bunyi suara katak mula bersahut-sahutan. Kerut pada dahi Kerol cukup untuk menceritakan betapa bebanan yang sedang dia pikul itu benar-benar menyusahkan hidupnya selama ini.

Setelah agak lama mendiamkan diri, akhirnya Kerol memandang saya dengan wajah yang serius. Entah kenapa saya tersentak untuk seketika apabila sekali imbas wajah Kerol benar-benar seperti wajah seekor harimau yang kelaparan yang menanti masa untuk membaham apa sahaja.

“Kamu ok Rol?”

“Aku ok Malik. Tapi aku dah mula rasa kepanasan. Aku rasa nak mengamuk je. Tolong aku Malik.”

“Kau kawal di kau dulu Kerol. Jangan biarkan syaitan dalam badan kau tu menguasai diri kamu. Jap lagi aku dan kawan-kawan aku akan tolong kamu.”

“Ok Malik. Aku cuba.”

Selepas itu saya meminta Kerol untuk berbaring kerana untuk mengendalikan orang yang akan mengamuk ini adalah lebih sesuai kalau pesakit itu mengambil posisi dalam keadaan berbaring. Juga lebih mudah untuk dikawal. Ini kerana dia akan mengambil sedikit masa untuk duduk dan berdiri kalau-kalau dengan tiba-tiba sahaja dia akan mengamuk nanti.

Ketika Kerol mula duduk di lantai, saya memintanya untuk beristighfar dulu sebanyak dua tiga kali. Agar dia lebih tenang. Lalu selepas itu barulah saya akan meminta dia untuk berbaring dan mendengar bacaan ayat-ayat Al Quran dari abang saya iaitu Ustaz Amir.

Pada ketika itu Ustaz Amir dibantu oleh saya sendiri dan saya duduk di sebelah kiri Kerol. Sahabat saya bermana Putera pula di sebelah belakang dan Is pula duduk di sebelah kanan Kerol. Kami berempat mengelilingi Kerol sebagai langkah persediaan.

Selepas itu baru sahaja saya hendak meminta Kerol untuk baring, tiba-tiba sahaja Kerol melompat dan mula membuka bunga silatnya. Matanya ditutup serapat-rapat yang mungkin. Urat-urang tegang mula kelihatan pada kedua bahagian tepi dahinya. Juga pada bahagian kedua belah lengan.

Keadaan mula menjadi tegang dan sekarang Kerol telah berdiri di hadapan kami sambil memperagakan bunga dan buah silatnya sambil memek wajahnya seolah-olah cuba untuk menantang kami berpencak dan mencabar serta memandang rendah kepada kami.

Sejujurnya sedari kecil lagi saya memang sangat meminati ilmu persilatan tetapi saya tidak pernah menuntut ilmu persilatan ini kecuali saya dan kawan-kawan pernah belajar sekejap ilmu mempertahankan diri iaitu kungfu ‘Thifan Po Khan’ yang diajar oleh Ustaz Abdul Mutalib sewaktu belajar di Madrasah Al Quran pada tahun 1998 suatu ketika dulu.

Tetapi apabila saya melihat bunga silat dan beberapa gerakan serta jurus yang dipersembahkannya kepada kami, sepanjang hidup saya, secara peribadi itulah bunga silat yang paling cantik dan hebat yang pernah saya lihat. Kalau pendapat orang lain saya tidak tahu.

Saya benar-benar terkejut apabila melihat keadaan Kerol. Dengan matanya yang tertutup serapat-rapatnya, dia seolah-olah tahu di mana kedudukan kami berempat. Semasa Kerol mula-mula bersilat tadi, saya dan Ustaz Amir mengambil keputusan untuk duduk sahaja sambil mencari idea dan menunggu peluang untuk menahannya.

Putera dan Is pula mengambil keputusan untuk berdiri terus dengan langkah yang lebih besedia. Mungkin melihat keadaan seperti itu menyebabkan Kerol mula mengalih perhatiannya kepada Putera dan Is.

Sebelum itu Kerol berpencak dan hampir-hampir sahaja dia menendang wajah saya dan pada ketika itu saya cuba untuk menutup kepala saya dengan kedua belah tangan. Di dalam hati saya terus menerus membaca salah satu ayat dari Surah Yasin yang berbunyi;

“Dan kami adakan di hadapan mereka dinding dan di belakang mereka dinding (pula), dan kami tutup (mata) mereka sehingga mereka tidak dapat melihat (kebenaran).” (Surah Yaasin: 9)

Dan Alhamdulillah dengan izin Allah, selepas itu Kerol secara tiba-tiba sahaja meninggalkan saya begitu sahaja. Seolah-olah saya tidak pernah wujudpun di hadapannya sebelum itu. Lalu kemudiannya dia beralih kepada Usta Amir. Saya memandang ke arah Ustaz Amir yang kelihatan tenang sambil mulutnya terkumat kamit membaca sesuatu.

Setelah berapa ketika, Kerol mula melangkah dengan meninggalkan Ustaz Amir setelah sebelum itu sempat juga dia membuka bunga silatnya seolah-olah mencabar Ustaz Amir untuk bertarung di gelanggang. Tetapi cabaran itu tidak tersambut. Ustaz Amir langsung tidak berminat untuk menerima buah pukul silat Kerol kerana Ustaz Amir juga tidak pandai bersilat sebenarnya.

Kini perhatian Kerol mula terarah kepada Putera kerana Puteralah yang paling dekat dengannya. Lalu dengan perlahan-lahan Kerol mendekati Putera. Putera pula tetap berdiri kukuh walaupun selepas itu Putera terpaksa dengan perlahan-lahan berundur hingga ke dinding apabila diasak dengan bunga-bunga silat oleh Kerol.

Sengaja Putera tidak mahu untuk menyambut bunga silat Kerol terlebih dahulu. Bukan kerana takut tetapi dalam keadaan genting seperti itu rasanya tidak sesuai untuk mencipta provokasi kepada syaitan yang menguasai Kerol itu. Sedangkan itulah dinanti-nanti oleh syaitan tersebut.

Nanti syaitan itu akan menggunakan keseluruhan badan dan tenaga Kerol untuk menyerang kami dan akhirnya Kerol yang merasa penat dan sakit. Kecualilah pada ketika itu kami telah berjaya untuk mengawal badan Kerol dan dia tidak mampu untuk menggerakkan badannya kerana ditahan oleh kami.

Selepas itu apabila melihat Putera seperti mengalah, syaitan yang merasuk badan Kerol tadi mula memasang buah silat untuk diberikan kepada Putera dan Putera tetap menunggu dengan tenang. Melihat keadaan tersebut tiba-tiba Is bergerak mendekati Kerol dari arah belakang lau mencuit bahunya.

Lalu dengan tidak semena-mena, Kerol terus memusingkan badannya lalu segera merapatkan dirinya kepada Is. Tetapi Is tidak mempedlikan Kerol. Saya sendiri sampai sekarang tidak faham bagaimana Kerol yang terus menurus menutup matanya itu tetap tahu akan kedudukan kami berempat di mana dengan tepat sekali.

Apabila melihat seperti tiada tindak balas dari Is, Kerol mula berputar membelakangi Is. Kerol menjadi semakin agresif. Bunga-bunga silat pada awalnya dipersembahkan kepada kami tapi telah bertukar menjadi buah-buah silat yang dijuruskan kepada kami untuk disambut dengan tangan dan gelanggang terbuka.

Langkah silatnya semakin tersusun cantik. Cuma menunggu untuk menyentuh mangsanya sahaja dengan buah pukulan silat. Cuma pada waktu itu hanya wujud satu kekurangan sahaja. Iaitu bunyi gendang perang. Kalau tidak ruangan tempat kami bertapak itu pasti kan kelihatan seperti sebuah gelanggang silat.

Kerol yang mula agresif tadi kembali mengalihkan pandangan dan badannya ke arah Putera. Pada ketika itu Putera masih lagi bersandar di dinding sambil bersedia untuk menyambut buah silat Kerol kalau terpaksa.

Kerol mula mendekati Putera. Wajahnya bengis. Kedua belah bibir kiri dan kanan bibirnya jatuh ke bawah dan bibir tengahnya pula dijuihkan ke hadapan. Sepertinya dia akan menjadi Putera sebagai habuan silatnya sebentar lagi.

Apabila Kerol hampir-hampir ingin menyerang Putera, dengan tidak semena-mena sahaja Is yang berada di belakang Kerol tadi mula bergerak pantas ke arah Kerol lalu memeluknya dari arah belakang. Lalu kemudiannya Is menjatuhkan badannya secara terlentang sehinggakan Kerol juga jatuh ke belakang dan menghempap badan Is.

Kerol cuba untuk meronta-ronta supaya dapat melepaskan dirinya dari pelukan Is. Kalau bukan kerana badan Is yang pada ketika itu hampir 100 kg, mungkin dengan mudah sahaja Kerol dapat melepaskan dirinya dari Is.

Melihat pergelutan yang berlaku, saya yakin Is tidak akan dapat bertahan lama. Dalam beberapa saat sahaja mungkin pelukan dari Is akan terlepas. Apa lagi melihat keadaan Kerol yang kembali menggila.

Tanpa membung masa saya dan, Ustaz Amir, Putera dan dibantu oleh beberapa kawan-kawan saya yang lain yang seramai sebelas orang kalau tidak silap saya terus berusaha untuk menahan Kerol dari terus menerus meronta-ronta.

Beberapa kali juga pergelangan tangan Kerol terlepas lalu menumbuk dan menampar beberapa orang dari rakan saya. Ketika itu wajah Kerol semakin bengis. Sekali pandang memang kelihatan seperti wajah seekor harimau jantan yang mempunyai raut luka panjang di alis kirinya.

Beberapa orang dari kawan-kawan saya perasan akan perubahan pada wajah Kerol. Cuma selepas itu kalau kami perhatikan sekali lagi, bayangan wajah harimau pada Kerol telah hilang. Cuma digantikan dengan wajah bengisnya yang sedaya upaya untuk melepaskan diri.

Setelah lebih kurang sepuluh minit bergelut dengan Kerol, akhirnya Kerol semakin lemah tetapi tetap juga dia ingin melepaskan dirinya dari kawalan kami seramai belasan orang pada ketika itu. Saya kemudiannya meminta kepada kawan-kawan saya untuk merenggangkan sedikit kunci pegangan pada diri Kerol tanpa sesekali melepaskannya.

Selepas itu saya membaca sebuah ayat Al Quran yang biasanya digunakan untuk permulaan rawatan kepada masalah gangguan saka yang berbunyi;

“(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).” (Surah At Taubah: 1)

Ayat ini saya ulang lebih kurang sebanyak 20 kali sambil diselang seli dengan Ayat Kursiy dan Surah As Shafaat, 1 hingga 10 sambil memandang ke arah wajah Kerol. Kerol yang pada mulanya tadi bertindak agresif, mula mengendurkan serangannya walaupun keseluruhan tubuh badannya telah ditahan dan dikunci oleh kami.

Selepas itu Kerol memandang ke arah saya sambil matanya berkedip berulang kali. Kerol tersenyum. Tapi saya tau itu memang benar-benar Kerol. Peluh dingin pada dahinya kelihatan muncul dari liang-liang romanya.

“Kerol, kamu ok?”

“Aku ok Malik. Tapi aku dengar suara orang tengah panggil nama aku sekarang.”

“Suara macamana tu Rol.”

“Suara lelaki. Macam bunyi harimau ada jugak.”

“Apa yang dia nak?”

“Aku tak tahu. Kami macam terhalang oleh sesuatu. Ada benda laki tu nak beritau aku.”

“Ok. Aku faham. Lepas ni aku tolong kau.”

“Tolong macamana?”

“Ok. Macam ni. Sebelum tu aku nak kamu faham dulu. Untuk sementara ni aku tetap akan mintak kawan-kawan aku untuk tahan tangan, kaki dan semua badan kau. Aku takut kau mengamuk lagi nanti. Susah kami nak tahan kamu.”

“Ok Malik. Lepas tu?”

“Kita akan usaha dulu pakai satu cara ni. Aku tak tau berkesan atau tak. Cuma aku tak dapat buat benda ni sendiri. Aku perlu pertolongan kamu.”

“Kau bagitau saja Malik apa yang aku perlu buat. Aku akan cuba semampu aku.”

Selepas itu saya terdiam sebentar. Saya tidak tahu sama ada rancangan saya ini berkesan atau tidak. Saya perlu untuk mencari punca gangguan yang dialami oleh Kerol ini tetapi dengan bantuan kerol sendiri. Lalu kemudiannya sama-sama merancang apa yang perlu dilakukan.

“Begini Rol. Lepas ni aku akan baca beberapa ayat Al Quran. Tugas kau cuma dengar saja. Lepas tu dalam hati, kau mintak perlindungan, pertolongan dan petunjuk dari Allah. Insyaallah kalau Allah izinkan nanti, dalam keadaan tutup mata, Allah akan tunjukkan sesuatu kepada kamu. Aku sendiri tidak tau apa benda tu nanti. Boleh jadi asap ke, kabus ke, orang ke, hantu ke, rumah ke, azimat atau barang lama ke hutan ke atau apa-apa sahaja yang Allah tunjukkan nanti. Tapi kadang-kadang kau tak akan dapat tengok apa-apapun. Cuma gelap je sampailah aku habis baca. Nanti masa aku tengah baca, kalau Allah izinkan kau nampak sesuatu, lepas tu kau jangan bukak mata.”

“Kenapa Malik?”

“Nanti kamu boleh buta.”

“Allah..”

“Hahahahaha..Tak ada apalah Kerol. Aku larang kau bukak mata bukan apa. Mungkin masa Allah tunjukkan kau sesuatu tu nanti, kalau kau tiba-tiba buka mata. Lepas kau tutup mata sekali lagi mungkin masa tu apa-apa sahaja bayangan yang kau tengok awal-awal tadi tak akan muncul lagi. Jadi susah kita nak cari petunjuk nanti. Jadi sebab tulah aku mintak kau tutup saja mata sampai aku kata bukak mata. Boleh?”

“Insyaallah. Boleh Malik.”

“Rol. Aku perlukan pertolongan kamu. Jadi aku mintak kamu benar-benar ikhlas.”

“Insyaallah Malik. Aku nak sembuh. Aku dah tak tahan macam ni.”

“Baiklah Rol. Kejap lagi aku akan bacakan Surah Al Fatihah, Ayat Kursiy dan Surah Al Insyirah. Insyaallah dengan izin Allah nanti Allah akan tunjukkan kepada kamu sesuatu dalam kedaan mata kamu tertutup ok.”

“Ok Malik.”

“Kau dah bersedia?”

“Ya. Aku dah bersedia.”

“Ok. Kita mulakan sekarang.”

Selepas itu saya mula baca Surah Al Fatihah, Ayat Kursiy dan Sura Al Insyirah.

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.” (Surah Al Fatihah: 1-7)

“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).” (Ayat Kursiy)

“Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)? Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam); Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)? Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)? Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).” (Surah Al Insyirah: 1-8)

Ketika saya mula membaca ayat-ayat Al Quran tadi, Kerol mula menutup matanya. Kerol menyerah sepenuh hatinya kepada Allah. Di dalam hatinya pada ketika itu cuma ada satu. Agar Allah memberi petunjuk dan hidayah kepadanya serta jalan penyelesaian kepada bebanan jiwa yang dia alami sebelum ini sehinggakan kehidupannya penuh dengan permasalahan yang tak pernah terhenti.

Kerol mula menghayati bacaan Al Quran tadi satu persatu. Pada awal pandangan matanya cuma gelap gelita. Tanpa ada sesuatupun yang dapat menarik minatnya. Dia cuma fokus agar fikirannya pada ketika itu tidak diganggu dan dipermainkan oleh syaitan. Sebab itulah ketiga-tiga yang ayat saya baca tadi turut dibaca oleh Kerol dalam kedaan matanya tertutup.

Mana mungkin syaitan dapat untuk mempengaruhi pandangan Kerol pada ketika itu kerana sebelum dia menutup matanya, terlebih dahulu dia telah memohon pertolongan kepada Allah agar diberi kekuatan dan petunjuk. Agar Allah tetap membimbingnya dan juga menjauhkannya dari tipu daya syaitan.

Setelah beberapa ketika, Kerol mula tersentak. Saya dan kawan-kawan memerhati sendiri bagaimana dalam keadaan duduk tersebut, Kerol tiba-tiba seperti ingin berundur ke belakang. Saya menghentikan sebentar bacaan Al Quran saya untuk membimbing Kerol.

“Kerol..”

“Malik, aku takut.”

“Allah ada Kerol dan Allah takkan biarkan kamu sendirian. Kau tengok apa Kerol?”

“Ntahlah Malik. Mula-mula tadi gelap. Tak lama lepas tu aku tengok kat sekeliling aku. Aku rasa macam berada kat sebuah tempat. Macam gelanggang silat tapi dalam hutan.”

“Ok Kerol. Aku akan teruskan bacaan Al Quran aku. Kau jangan sesekali lupa untuk meminta perlindungan Allah.”

“Ok Malik.”

Selepas itu Kerol terus berusaha untuk menumpukan perhatiannya. Kedua belah telinganya terus berusaha untuk mendengar bacaan ayat-ayat Al Quran sedangkan pandangan matanya yang tertutup itu pula sedang menunggu kalau-kalau ada petunjuk dari Allah.

Tidak berapa lama selepas itu Kerol seperti dikejutkan oleh sesuatu sedangkan saya terus menerus memantau keadaan Kerol sambi bacaan Al Quran tetap saya lantunkan sebagai suatu ikhtiar agar usaha kami ini tidak akan diganggu oleh syaitan.

Kerol kelihatannya sedikit terganggu. Dan saya yakin bukan kerana bacaan Al Quran saya. Tetapi pada sesuatu yang dilihatnya melalui pandangan matanya yang tertutup tadi. Kerol terus menerus memandang ke hadapan.

Tiba-tiba dengan izin Allah matanya yang tertutup tadi dengan jelas dapat melihat gelanggang silat di hutan. Bahkan pada ketika itu Kerol sendiri telah berdiri di atas gelanggangnya. Kemudian Kerol memandang ke sekelilling. Hutan tebal yang memayungi gelanggang tadi kelihatan dipenuhi dengan lembaga berbentuk perempuan yang terbang serendah mungkin. Lebih kurang dalam 30 ekor.

Wajah mereka sangat menakutkan dan salah satu dari perempuan yang berterbangan inilah yang dia lihat di dalam mimpinya sebelum itu. Iaitu perempuan itu menemani lelaki berkepala harimau yang cuba untuk menyerahkan sesuatu kepadanya.

Kerol terus menerus mendongak ke atas sambil memandang ke arah perempuan itu tadi dan perempuan itu juga terus memandang ke arah Kerol sambil tersenyum lalu menampakkan wajah bengisnya serta susunan giginya yang tajam serta di celah giginya itu terselit seperti cebisan daging yang masih berdarah dan berurat. Kerol bingung seketika. Perasaan takut juga mula menguasai dirinya. Dan dia mula merasa tidak tenteram.

“Malik..”

“Ya Kerol.”

“Aku takut..”

“Kau jangan takut Kerol. Allah tetap ada bersama kamu.”

“Tapi aku tak berani nak tengok pontianak ni lama-lama. Nanti aku gila.”

“Itu bukan pontianak Rol. Itu tipu daya syaitan untuk melemahkan jiwa kau. Kau jangan takut Rol. Kalau kau meletakkan Allah di dalam diri kamu, maka semuanya tidak akan dapat untuk menggugah jiwa kamu. Teruskan menghubungkan diri kau kepada Allah ok. Aku tolong kau dan kau tolong aku Rol.”

“Ok Malik. Bismillah..”

Selepas itu Kerol terus menumpukan perhatian kepada apa yang dia hadapi pada ketika itu. Dia tahu dia masih lagi berada di pusat rawatan kami. Cuma apa yang dilihatnya pada ktika itu seolah seperti benar-benar berlaku. Kerol tidak tahu bagaimana semuanya ini boleh berlaku.

Selepas itu dalam keadaan matanya yang tertutup, Kerol kembali memerhati perempuan dengan wajah yang menyeramkan sedang berterbangan di udara sambil mengelilingi gelanggang silat tadi. Kepala Kerol juga terus mendongak ke atas lalu memerhati apa yang perempuan itu sedang lakukan.

Sehinggalah tidak lama kemudian, Kerol terdengar seperti bunyi suara ngauman harimau yang betul-betul berada di belakangnya. Kerol tersentak. Sepertinya suara ngauman harimau itu benar-benar dekat dan berada di belakangnya. Sehinggakan angin dari bunyi suara harimau itu juga menyentuh pada tengkuknya.

Tanpa membuang masa, Kerol terus memandang ke arah belakangnya dan ternyata lelaki berkepala harimau dengan garis panjang kesan tetakan parang dari alis sebelah kiri wajahnya hingga ke bahagian bawah matanya itu tiba-tiba sahaja muncul dan jarak mereka cuma selangkah dua sahaja.

“Malik. Ada lelaki kepala harimau berdiri depan aku.”

“Apa-apapun yang berlaku kamu jangan bukak mata Kerol..”

“Aku takut.”

“Allah tetap bersama kamu Kerol..”

Kini Kerol telah berhadapan dengan lelaki berkepala harimau tadi. Wajah mereka mula bertentangan. Pada ketika itu Kerol tidak tahu apa yang hendak dilakukan olehnya kerana perasaan takutnya melebihi dari perasan berani yang cuma tinggal sisa-sisa sahaja pada jiwanya.

Tidak lama selepas itu Kerol sekali lagi dikejutkan oleh sesuatu. Cuma kali ini terdengar jelas bunyi suara perempuan yang ketawa dengan nada yang menyeramkan. Kerol tahu suara itu memang dari perempuan yang berterbangan rendah mengelilingi gelanggang silat tadi. Lalu tanpa membuang masa Kerol terus memandang ke atas.

Dan ternyata perempuan yang berterbangan tadi sudah tidak kelihatan lagi mengelilingi gelanggang silat itu. Cuma suara tertawanya itu sahaja yang tetap masih ada. Dan untuk kali yang kedua bunyi suara itu tiba-tiba muncul dari arah belakangnya.

Kerol mengambil keputusan untuk tidak mahu menoleh ke belakang kerana dia tahu perempuan itu telah berada tepat di belakangnya sekarang. Dia juga risau kalau dia menoleh ke belakang nanti, mungkin lelaki berkepala harimau tadi akan menerkam atau mmbunuhnya.

Jadi Kerol mengambil keputusan untuk terus berhadapan dengan lelaki berkepala harimau itu walau apapun yang terjadi. Tiba-tiba Kerol mula perasan akan sesuatu. Sepertinya perempuan berwajah hodoh tadi mula bergerak perlahan ke arahnya.

Lalu dengan tidak semena-sema perempuan berwajah hodoh tersebut tiba-tiba sahaja meletakkan wajahnya yang menakutkan itu dan juga dagunya ke arah bahu sebelah kanan Kerol. Lalu kedua belah pandangan matanya yang menyeramkan serta senyumannya itu dihadiahkan kepada Kerol sebagai cara menggugah jiwa kelakian Kerol selama ini.

Perempuan itu terus meletakkan kepalanya pada bahu Kerol. Lalu kemudiannya ketawa dengan nada yang lembut dan menyeramkan. Perempuan itu mula mengeluarkan lidahnya yang panjang dan penuh dengan kudis-kudis buta lalu menyentuh wajah Kerol. Kerol seperti terpaku. Entah tiada siapa yang tahu apa yang berlaku pada Kerol pada ketika itu.

“Kerol..Kerol..Kamu ok ke? Kerol..Kerol..”

BERSAMBUNG

 

COMMENTS