Pewaris Saka Harimau Bahagian Keempat

Pewaris Saka Harimau Bahagian Keempat

PEWARIS SAKA HARIMAU

BAHAGIAN Keempat TERAKHIR

Pada ketika itu saya cuma mendengar Kerol suara sahaja. Sedangkan batang tubuhnya langsung saya tak nampak.

Tetapi pada ketika itu saya benar-benar merasakan seperti ada orang yang berdiri betul-betul di hadapan saya. Cuma rasa-rasa dari bayang gelapnya, saya yakin dia lebih tinggi dari Kerol.

Untuk kepastian saya cuba untuk menghulurkan kedua belah tangan saya ke hadapan dan kedua belah tapak tangan saya itu saya letakkan pada kedudukan wajah bayang seseorang yang tiba-tiba berada betul-betul di hadapan saya tadi.

Apabila sahaja kedua belah tapak tangan saya menyentuh pada wajah tersebut tiba-tiba sahaja bulu roma saya naik.

Saya dapat rasakan yang bayang seseorang di hadapan saya itu memang bukan Kerol kerana wajahnya agak berbulu, bermisai lebat dan saiz kepalanya pula lebih besar dari saiz kebiasaan kepala manusia.

“Kerol, kau ke ni? Kerol..”

“Bukan. Aku kat sini.”

Pada ketika itu barulah saya tahu yang bayang seseorang di hadapan saya ini tadi ternyata benar-benar bukan Kerol kerana ketika Kerol mejawab pertanyaan saya tadi, saya langsung tidak merasa pergerakan pada wajah dan mulut pada tapak tangan saya.

Sedangkan kedua belah tapak tangan saya masih lagi berada pada wajahnya. Lagi pula ketika Kerol menjawab soalan saya tadi, saya dapat menangkap yang suara Kerol terdengar jelas di sebelah kanan saya dan bukannya benar-benar pada wajah di hadapan saya.

Selepas itu saya dapat rasakan yang seseorang di hadapan saya ini tadi dengan sengaja cuba untuk meletakkan wajahnya ke arah kedua belah tapak tangan saya sambil bermain-main dengan tangan saya sehinggalah saya terkejut apabila saya merasakan yang kedua tapak tangan saya seperti dijilat beberapa kali.

Saya dapat merasakan bagaimana kasar dan agak basahnya lidah tersebut. Saya terkejut sambil beristighfar dan terus menarik tangan saya secepat mungkin dari wajah bayangan seseorang itu tadi. Di dalam hati saya mungkin inilah lelaki yang dimaksudkan oleh Kerol selama ini.

Tidak lama kemudian saya terdengar bunyi seperti Kerol sedang menyalakan ‘lighter’nya beberapa kali dan setelah beberapa ketika akhirnya ruang bilik datuknya itu disinari oleh sedikit cahaya dari ‘lighter’ Kerol tadi.

Kerol kemudiannya memandang ke arah saya sambil tersenyum. Tetapi bayangan seseorang yang saya rasakan wujud di hadapan saya tadi juga sudah tidak ada.

“Malik, sekarang kau percaya bukan?”

“Sebelum ni pun aku dah percaya Rol.”

“Cuma sekarang kau dah rasa sendiri kewujudannya. Bukan sekadar mendengar dari apa yang aku ceritakan kepada kau selama ini. Sengaja aku biarkan dia bermain-main dengan kau tadi. Biar kau rasa sendiri macamana.”

“Bodoh kau ni Kerol. Ni bukan masanya nak main-main.”

Kerol cuma ketawa. Rasa ketakutan tadi mula hilang sedikit apabila saya dikuasai oleh perasaan marah kepadanya.

Tapi kemarahan saya tidak lama dan cepat reda kerana saya tahu Kerol sekadar ingin saya merasakan sendiri apa yang membelenggu dirinya selama ini.

Tapi Kerol tidak mempedulikan itu semua. Dia kemudiannya mula bergerak ke arah sebuah almari kecil tidak jauh dari kedudukan kami berdua berada. Almari itu kemudiannya Kerol perhatikan dengan suatu pandangan yang jauh.

“Malik, dalam almari inilah letaknya keris tu. Lepas ni kita dua bukak almari ni. Aku tak berani bukak sorang-sorang.”

“Jadi kau ingat aku berani ke?”

“Sekurang-kurangnya kau ada bersama aku masa aku bukak almari ni nanti.”

“Ok. Kalau macam tu kita bukak sekarang.”

Selepas itu saya dan Kerol membuka almari itu dengan perlahan-lahan. Dari sinar api dari ‘lighter’ pada tangan Kerol, saya dapat melihat bahawa almari itu kelihatan agak kosong tanpa ada suatupun barang atau benda di dalamnya.

Setelah kedua belah pintu almarinya terbuka luas, Kerol cuba untuk mencari dan menyelongkar dengan sebelah tangannya sambil diperhatikan oleh saya.

Setelah beberapa ketika Kerol mengeluh. Dia mematikan sekejap ‘lighter’nya dan membiarkan suasana kembali gelap.

“Aku tak jumpa Malik tapi aku ada tau keris tu ada dalam almari ini.”

“Kerol, kau percaya tak akan pertolongan Allah?”

“Aku percaya Malik. Memang aku percaya.”

“Kau cari sekali lagi.”

“Dah puas aku cari tadi. Semua tempat.”

“Kau cari sekali lagi.”

Keluhan dari suaranya menggambarkan betapa kecewanya Kerol pada ketika itu. Manakan tidak.

Kalau benar keris itu tidak ada, pasti Kerol beranggapan bahawa yang syaitan saka itu tetap akan menemaninya saban hari sehinggalah dia meninggal dunia suatu hari nanti.

Lalu kemudiannya keturunan dialah yang bakal meneruskan bencana yang tidak akan putus-putus ini selamanya sehinggalah kalau Allah berkehendakkan yang perjanjian bersama syaitan ini akan terputus serta merta.

Kerol tidak menjawab apa-apa. ‘Lighter’ pada tangannya kembali dinyalakan. Dalam samar-samar kelihatan wajah kecewa dan sedihnya.

Dia kembali mencari sambil tangannya terus menerus mencari dan menyelongkar walaupun dia tahu dia pasti tidak akan menjumpainya.

Apa yang Kerol lakukan hanyalah sekadar mencari sahaja. Mungkin untuk memuaskan hati saya. Sehinggalah pada ketika dia sedang mencari itu saya membaca sebuah doa dari Imam Al Syaukani dalam kitab Fathul Qadir.

Doa juga disebutkan oleh Imam Al Munawi dalam kitab Faidhul Qadir bahawa jika seseorang ada kehilangan barang dan berusaha untuk mencarinya dan agar barang tersebut segera dikembalikan oleh Allah, maka dia boleh membaca doa kehilangan barang tersebut iaitu;

“Allahumma ya jami ‘an nasi li yaumin la raiba fihi, ijma’ baiia wa baina dlallati fi khairin wa ‘afiyah.”

“Ya Allah, wahai Tuhan yang mengumpulkan semua manusia di hari yang tiada ragu lagi padanya. Pertemukan aku dan barangku yang hilang dengan kebaikan dan ‘afiyah.”

Dan sambil itu saya mengharapkan juga agar sebuah keajaiban akan datang dengan rahmat dan kasih sayang Allah untuk menunjukkan di mana keris itu berada.

Agar paling kurangpun selepas itu, saya dan terutamanya Kerol akan merasai sendiri nikmat kebesaran Allah dengan bantuan yang tiba-tiba datang kepada kami dari arah yang tidak disangka-sangka.

Saya mengulangi bacaan doa itu berulang kali sambil mata saya memerhati sahaja Kerol menyelongkar kembali sisa-sisa debu pada segenap ruang yang ada sehinggalah dengan tiba-tiba sahaja Kerol menjerit sambil memandang ke arah saya.

“Malik..Malik..Aku dah jumpa. Aku dah jumpa..”

“Kau jumpa apa?”

“Keris tu. Dalam bungkusan. Tiba-tiba saja ada dalam almari ni. Tadi aku dah periksa tempat yang sama tapi tak ada. Ni tiba-tiba ada pulak.”

“Bawak keris tu keluar sekarang Rol.”

“Ok. Nak letak kat mana ni? Malik, pelik. Keris ni macam berair.”

“Berair? Letak atas lantai dulu.”

Barang yang berada digenggaman Kerol itu Kerol letak di atas lantai. Memang ternyata bungkusan berwarna merah tersebut agak lembab dan berair.

Tetapi setelah saya periksa beberapa kali ternyata lembapan air itu tadi adalah darah-darah segar sehinggakan bau hamis darah itu menusuk masuk ke ruangan hidung kami berdua.

Kami benar-benar terkejut dan hairan. Bagaimana keris yang berada di dalam sebuah peti lama yang tidak dibuka bertahun lamanya, yang terletak dalam sebuah bilik pada sebuah rumah lama yang sudah lama tidak dimasuki manusia yang berada jauh tersembunyi dari manusia tiba-tiba sahaja dipenuhi dengan darah-darah segar.

Kami berdua tidak ada suatupun bentuk jawaban dari apa yang berlaku di hadapan mata kami berdua. Semua ini membuatkan kami berdua merasa benar-benar terkejut dan merasakan yang Allah benar-benar memberikan jawaban kepada kegusaran jiwa kami terhadapan pertolongan dariNya.

“Malik, macamana sekarang?”

“Keris ini kita bawak balik ke Bangunan Martabat sekarang. Kita bukak kat sana. Lepas ni kita terus balik.”

“Ok Malik. Aku rasa memang inilah kerisnya walaupun aku kita belum tengok lagi. Hati aku bagitau inilah keris pusaka keturunan aku tu Malik. Jom kita balik sekarang.”

Selepas itu, tanpa menjawab apa-apa saya dan Kerol terus berdiri lalu berpaling dan menuju ke pintu bilik. Baru sahaja selangkah dua kami berjalan tiba-tiba kami dikejutkan dengan suara garau yang tiba-tiba sahaja muncul dari arah almari tadi.

“Kerol, kalau kau bawak keris itu keluar kau pasti akan mati. Kalau kau hancurkan keris itu bererti kau telah mengisytiharkan permusuhan pada aku, pada datuk dan ayahmu dan juga pada dunia persilatan ini.”

Saya dan Kerol terkejut lalu kemudiannya menoleh dan cuba untuk mencari dari mana datangnya suara tersebut. Yang nyatanya memang tidak ada sesiapapun di bilik itu melainan saya dan Kerol sahaja.

Cuma setelah itu kami berdua tersentak apabila nyalaan ‘lighter’ Kerol dari tangannya yang terarah ke hadapan tiba-tiba menampakkan seperti wujudnya seorang lelaki berkepala harimau dengan pakaian pendekar melayu lama yang tingginya hampir mencecah siling.

Itulah kali pertama saya melihat sendiri bagaimana bentuk lelaki yang dimaksudkan oleh Kerol selama ini walaupun sekadar melihat pada bayangannya sahaja.

Rasa gerun juga menguasai diri saya pada ketika itu kerana saya tidak pernah terfikirpun untuk melihat lelaki berkepala harimau tersebut.

Oleh kerana terlalu takut, saya terus berlari meninggalkan bilik datuk Kerol dan saya beranggapan bahawa yang Kerol juga akan berlari mengikuti saya dari arah belakang.

Tetapi saya tersilap langkah. Saya terus terburu-buru keluar sedangkan Kerol masih lagi menanti di bilik datuknya.

Semasa di luar bilik saya seolah-olah menjadi hilang punca. Saya tidak tahu untuk lari ke mana. Kerol juga masih belum muncul-muncul dari dalam bilik datuknya.

Di bahagian luar ruang tamu juga masih gelap melainkan sedikit sahaja cahaya lampu kereta Kerol yang menyelinap masuk dari ruang-ruang kecil dinding pintu.

Lalu dari pandangan liar mata saya tadi saya ternampak sesosok lembaga perempuan yang mungkin dimaksudkan oleh Kerol tadi yang badannya berwarna hitam. Merangkak perlahan-lahan. Muka dan dagunya agak memanjang ke bawah.

Rambut panjang tapi tulang badan dia macam patah-patah dan Kerol sendiri tak tau makhluk apakah itu dan makhluk ini juga tidak pernah munculpun sebelum ni.

Makhluk itu kemudianya cuba merangkak perlahan-lahan dan bergerak ke arah saya. Saya sendiri tidak tahu apa kaitannya dia merangkak dan bergerak ke arah saya. Saya tidak tidak pernahpun ada apa-apa ikatan dan perjanjian bersamanya.

Oleh kerana sekali lagi saya dilanda perasaan takut, saya dengan spontan kembali berlari dan masuk semula ke dalam bilik datuk Kerol dan mungkin terpaksa berhadapan sekali lagi dengan bayangan lelaki berkepala harimau tadi.

Saya sendiri tidak tahu kenapa saya bertindak demikian. Mungkin saya merasakan yang Kerol ada di bilik datuknya menyebabkan saya kembali masuk ke dalam bilik tersebut untuk berhadapan dengan bayangan lelaki berkepala harimau tadi bersama Kerol.

Untuk sementara di situ lebih selamat kerana Kerol ada bersama saya. Berbanding dengan terpaksa untuk berhadapan dengan lembaga perempuan yang menakutkan yang merangkak keseorangan ke arah saya tadi.

“Malik, kenapa kau masuk balik? Aku baru ke nak lari keluar.”

“Kat luar tu ada perempuan yang mungkin kau ceritakan tadi Rol. Aku rasa dialah yang kau cerita tadi.”

“Dah Malik. Kita keluar sekarang. Pedulikan perempuan tu. Aku lebih risau kalau kita berdua berjumpa dengan lelaki berkepala harimau tu.”

“Ok Rol..”

“Ingat Kerol. Apabila kau musnahkan keris itu nanti, aku akan pastikan seluruh keturunan kau tidak akan selamat. Semuanya akan gila nanti. Juga setiap dari keturunan kamu akan mati. Mati dalam keadaan mengerikan. Seluruh isi perut kamu nanti akan aku keluarkan dan aku akan lemparkan di sekeliling rumah setiap keturunan kamu. Agar ianya menjadi tanda kepada aku dan pengikutku nanti untuk mencari saki baki dari keturunan kamu dan seluruh keturunan kamu juga akan mati sama seperti datuk dan ayah kamu. Kamu tunggulah saat itu. Kau pasti akan sentiasa ingat apa yang aku sampaikan ini namun ada ketikanya nanti kau pasti akan lalai dan terlupa sedangkan aku sesekali tidak pernah lupa akan kamu.”

“Malik, kita lari sekarang. Lekas..”

Selepas itu Kerol menggenggam pergelangan tangan saya dan cuba menarik saya keluar dari bilik datuknya tanpa mempedulikan apa yang berlaku.

Apa sahaja yang ada di hadapan kami kami redah dan akhirnya kemudian kami berdua meninggalkan rumah tersebut lalu menuju ke arah kereta Kerol.

Oleh kerana enjin kereta Kerol masih hidup, maka mudahlah untuk kami meninggalkan rumah datuk Kerol tanpa mempedulikan apa yang berlaku dan juga tanpa mempedulikan segala misteri yang ada.

Malam itu kami berdua Kerol meninggalkan rumah datuknya dengan seribu satu persoalan yang bermain di benak kami berdua.

Sepanjang perjalanan balik ke pusat rawatan kami, saya dan Kerol lebih banyak mendiamkan diri kerana kami berdua masih lagi tidak bersendirian pada ketika itu.

Ini kerana saya merasakan yang kami berdua diikuti oleh syaitan-syaitan yang selama ini menghambakan diri kepada datuk Kerol tadi.

Semasa kereta Kerol meredah halaman rumah menuju ke jalan besar, suara ngauman harimau jelas kedengaran walaupun kami berdua di dalam kereta.

Dan beberapa kali juga bayangan lelaki berkepala harimau menampakkan dirinya di sebalik rerumputan yang panjang dan juga belukar yang tangkai dedaunannya menjalar di atas jalan berbatu yang kami lalui.

Setelah sampai di simpang jalan, kami meneruskan perjalanan kami berdua sehingga sampai kembali ke pusat rawatan kami di Bangunan Martabat.

Pada ketika itu bayangan lelaki berkepala harimau dan bunyi suara ngamuan sudah mula berkurangan dan akhirnya hilang selamanya.

Sesampainya kami berdua di Bangunan Martabat kami, saya dan Kerol terus membawa bungkusan keris berwarna merah yang masih berdarah tadi masuk ke dalam pusat rawatan kami.

Dengan berhati-hati kami berdua melangkah masuk agar titisan darah yang masih segar dan panas tadi tidak jatuh merata-rata di atas lantai.

Pada ketika itu di pusat rawatan kami masih lagi ada beberapa orag pesakit yang sedang menerima rawatan dan saya memandang ke arah jarum jam di tangan saya. Sedar tak sedar jam telah menunjukkan lebih kurang 1.30 pagi.

Dan kebetulan pada ketika itu ada seorang cikgu yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Bintulu sedang memerhati apa yang saya dan Kerol lakukan.

Saya kenal akan guru tersebut dan pada ketika itu dia sedang menemani rakannya untuk mendapatkan rawatan dari kami. Setahu saya namanya Cikgu Wan.

Selepas itu saya meminta Kerol meletakkan keris itu di atas lapisan surat khabar lama dan saya pula sibuk menyediakan baldi kecil dan air yang telah dibacakan ayat-ayat ruqyah sebelumnya. Selepas itu air yang sudah dibacakan tadi saya tuang ke dalam baldi tadi.

Sebelum saya membuka bungkusan merah yang mengandungi keris itu tadi, saya bacakan dahulu beberapa ayat-ayat yang berkaitan dengan gangguan saka. Saya mulakan dulu dengan ayat pertama dari Surah At Taubah;

“(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).” (Surah At Taubah: 1)

Ayat ini saya ulangi beberapa kali sebelum seterusnya saya kemudiannya membaca Surah Al Fatihah, Kursi dan Surah Alam Nasyrah. Selepas itu saya membaca sebuah peringatkan kepada kaun jin yang menganggu Kerol dengan lafaz di bawah;

“Dengan nama Allah, yang Memiliki arasy yang tinggi, yang Maha Membalas segala kejahatan dan kezaliman, yang Menguasai seluruh dan segenap makhluk, yang Menguasai syurga dan neraka, yang Memiliki segala bala tentera di langit dan di bumi dan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

“Ya ma’syaral jin (wahai kaum jin), aku peringatkan kalian yang berada di dalam keris ini atau yang berada di dalam badan Kerol. Allah berfirman;

“Wamaa kholaqtul jinna wan innsa illa liya’ buduun.” (Surah Adz Dzariyaat: 56)

“Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.”

“Ya ma’syaral jin, aku peringkatkan kalian dengan ayat Al Quran ini untuk beribadah kepada Allah, berserah diri kepada Allah dan berhenti dari menzalimi sesama makhluk Allah.”

“Aku peringkatkan kalian wahai bangsa jin, sesiapa sahaja dari kalian berada di dalam badan Kerol atau berada di dalam ahli keluarganya, sila keluar dari badan mereka. Apapun alasan kalian, kalian tidak boleh untuk menyakiti manusia dan mencampuri kehidupan manusia.”

“Sekiranya kalian dari golongan jin islam, maka bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Mohon ampun kepada Allah dan kepada orang yang kalian zalimi.”

“Kemudian keluarlah dan pergilah di surau atau di masjid. Kerana di situ adalah sebaik-baik tinggal kalian. Beribadahlah dan jalanilah kehidupan sebagai seorang muslim yang beriman. Semoga Allah menerima taubat kalian dan ibadah kalian.”

“Dan sekiranya kalian daripada golongan jin kafir, jin fasiq, jin yang zalim atau dari kalangan syaitan. Semoga laknat Allah tetap berada di atas kepala kalian di mana sahaja kalian berada.”

“Kalian juga perlu untuk keluar dari badannya dan keluarganya. Pergilah di mana berhala itu disembah. Kerana di situ adalah sebaik-baik tempat tinggal kalian.”

“Ya ma’syaral jin, sekiranya kalian diseru melalui sihir, dari azimat-azimat, wafaq-wafaq, dari penjaga diri atau penjaga rumah, dari ilmu persilatan, ilmu kebal atau ilmu batin, dari apa sahaja jenis saka keturunan dan dari apa sahaja kerana diseru oleh hamba-hamba syaitan seperti bomoh, dukun, ahli sihir dan sebagainya, kalian juga wajib untuk keluar. Keluar tanpa syarat.”

“Putuskan perjanjian kalian dengan mereka dan keluarlah dari badan mereka, sebelum laknat Allah menimpa kalian. Sekiranya turun laknat Allah kepada kalian semua, nescaya tidak akan ada lagi kesenangan selepas itu melainkan siksaan yang pedih untuk selama-lamanya sementara diazab di dalam neraka nanti.”

“Ukhruj ya ‘aduwallah (keluarlah musuh Allah), ukhruj ya ‘aduwallah (keluarlah musuh Allah), ukhruj ya syaitan (keluarlah wahai syaitan).”

Setelah membaca peringatan tadi lalu saya memimpin Kerol pula untuk membaca ikrar pemutus saka sambil memandang ke arah bungkusan tersebut yang berbunyi;

“Ya Allah, sesungguhnya aku dan keluargaku dengan secara sedar dan kami bertaubat denganMu. Dengan ini kami berikrar untuk memutuskan semua perjanjian atau ikatan aku dan keluarga aku atau orang sebelum kami atau sesiapa sahaja, yang perjanjian ini pernah lakukan secara sedar atau tidak sedar dengan segolongan jin. Aku dan seluruh keuargaku mengharamkan seluruh tubuh kami dari dimasuki atau dijadikan sebagai tempat tinggal apapun juga jenis jin. Aku juga menegaskan bahawa keluarga kami hanya bergantung kepada perlindungan dan pertolongan Allah sahaja dan bukan kepada jin.”

“Ya Allah, tuhan sekelian makhluk, mulai saat ini kami mengharamkan semua makanan dan minuman kami, seluruh anggota tubuh anggota keluarga kami dari semua jin yang ada di dalam dan di luar tubuh kami atau yang mengganggu kami. Jika kami makan dan minum, jadikanlah ianya sebagai racun, racun yang sangat panas, racun yang sangat berbisa, racun yang membakar, racun yang membunuh dan menghancurkan semua jin-jin itu ya Allah tanpa ada yang tersisa. Ya Rabbal a’lamin.”

Setelah itu Kerol muntah sebanyak-banyaknya dan saya sempat meminta kawan saya untuk merawat Kerol selepas itu. Sementara menunggu Kerol dirawat saya mula membuka bungkusan tadi dengan perlahan-lahan.

Darah-darah segar masih lagi kelihatan basah dan meleleh hingga pada dasar tapak bungkusan tadi.

Sebenarnya saya tidak tahu itu darah apa dan darah siapa dan kenapa darah tersebut tiba-tiba ada pada bungkusan tersebut. Saya perhatikan pada badan saya dan Kerol, langsung tidak ada bekas luka dan sebagainya.

Tanpa membuang masa, setelah membaca Ayat Kursiy, saya mula membuka bungkusan tadi dengan perlahan-lahan dan apa yang ada di dalam keris tersebut adalah sebuah keris yang sudah tua dari segi usianya dan hampir rosak serta dipenuhi dengan darah-darah segar tadi.

Keris itu benar-benar sudah lama. Agak berkarat, tidak ada pemegang pada ulunya. Loknya pula tidak rata dan buatannya sangat kasar. Tidak seperti keris-keris yang biasa kita lihat.

Keris itu juga lebih bengkok ke sebelah kanan dan besi pada penghujungnya pula sudah tidak halus dan benar-benar kasar seperti sengaja ditempa sedemikin rupa.

Keris itu kemudiannya saya rendam di dalam air yang dibacakan Al Quran tadi. Setelah beberapa ketika keris itu saya letak di atas tisu-tisu yang saya susun sebelumnya agar kesan air ruqyah dan darah tadi meresap pada tisu tersebut.

Sedangkan air yang digunakan untuk merendan tadi mula bertukar menjadi merah dah berbau busuk. Lalu kemudiannya saya meminta kawan saya untuk membuang air tersebut di sungai dari atas Jambatan Merah.

(Jambatan Merah ini terletak di sebelah kiri Pasar Ikan berhadapan dengan Paragon Bintulu. Suatu ketika dahulu jambatan ini dikenali dengan nama jambatan merah dan jambatan yang berhadapan dengan lampu isyarat berdekatan dengan SMK Baru pula lebih dikenali dengan nama Jambatan Putih)

Sedang saya termenung memikirkan tentang darah dan keris tua tersebut, tiba-tiba saya disapa oleh Cikgu Wan yang mengajar di sebuah sekolah menengah itu tadi.

“Assalamualaikum Cikgu Malik. Seronok betul nampak tengok keris tu?”

“Waalaikum salam Cikgu Wan. Temankan siapa tadi?”

“Temankan kawan tu ha. Dia ada masalah sikit. Kenapa nampak bingung je ni?”

“Ntahlah. Ni keris pusaka kawan saya. Tapi ada penunggunya. Saya nak musnahkan keris ni lepas ni.”

“Cikgu Malik, saya terkejut jugak tengok macamana keris ni boleh berdarah. Mungkin Cikgu Malik ada jawaban tentang darah tu tapi kalau soal bentuk dan sejarah keris ni saya mungkin boleh bantu kawan Cikgu Malik tu untuk tau dari mana asal usulnya. Kenapa keris ni boleh berdarah Cikgu Malik?”

“Allahu a’lam. Allah saja yang tahu Cikgu Wan dan saya memang benar-benar tak tau kenapa. Boleh tak Cikgu Wan tolong jelaskan tentang keris ini?”

“Boleh cikgu. Dulu masa kat universiti memang saya ambik fakulti tentang peradaban Melayu Nusantara dan khazanahnya dan saya memang selalu jumpa dengan keris-keris pelik. Boleh saya pegang keris ni Cikgu Malik?”

Cikgu Wan berasal dari Semenanjung Malaysia dan seingat saya, lebih kurang begitulah nama fakulti atau jurusan yang Cikgu Wan jelaskan kepada saya semasa dia menuntut di sebuah universiti di Semenanjung Malaysia dulu.

Memang saya sudah lupa dan saya tak boleh jelaskan secara tepat di mana universiti Cikgu Wan belajar dulu dan jurusannya.

“Silakan. Lagipun saya dah rendam dengan air ruqyah tadi sebagai usaha untuk menghilangkan pengaruh gangguan syaitan di dalamnya. Semoga Allah mudahkan urusan saya dan kawan saya ni.”

“Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak cikgu. Bismillah..”

Selepas itu Cikgu Wan mula menyentuh keris tersebut dengan berhati-hati. Dia memerhati segenap sudut keris tersebut dan saya membiarkan Cikgu Wan untuk memeriksa keris tersebut tanpa sebarang tekanan kerana saya juga ingin tahu apakah kesimpulan dari penilaiannya terhadap keris ini nanti.

Keris itu kemudiannya dijamah oleh Cikgu Wan dengan kedua belah tangannya. Seluruh pandangan mata dan jiwanya juga terarah tepat pada setiap bentuk dan lekuk keris tersebut.

Selepas itu keris itu dipeluk erat dan dicium beberapa kali oleh Cikgu Wan.

Setelah beberapa ketika Cikgu Wan tersenyum. Lalu kemudiannya dia memandang saya dengan sebuah senyuman kepuasan yang terlukis pada setiap garis pada wajahnya. Keris itu kemudiannya dia letakkan kembali di atas lapisan tisu tadi.

“Cikgu Malik, kalaulah saya ditakdirkan untuk mati dan hidup kembali, saya pasti tak akan pernah untuk jumpa keris macam ni lagi.”

“Perghhh..Kenapa Cikgu Wan?”

“Ok. Saya jelaskan satu persatu. Biar cikgu paham dan kenapa saya benar-benar bersyukur kerana dapat melihat dengan mata kepala saya sendiri keris ini semasa saya masih hidup lagi dan tak pernah terlintas sekalipun di fikiran saya yang saya akan jumpa keris seperti ini apa lagi di Bintulu.”

“Macam ni Cikgu Malik. Kalau Cikgu Malik perhatikan, keris ini benar-benar sudah lama. Saya agak usianya dalam ratusan tahun. Berat keris ini tidak juga ringan. Tak jugak berat. Memang sesuai untuk pesilat yang berumur 30 an.”

“Betul Cikgu Wan. Keris ni pun dah banyak karatnya. Tapi apa kaitannya keris ini hanya sesuai untuk pesilat yang berumur 30an?”

“Kerana pendekar kita tidak pernah dilahirkan terlalu muda Cikgu Malik. Biasanya seseorang itu belajar silat seawal sekolah rendah lagi. Selepas beberapa tahun orang tersebut telah menguasai ilmu persilatannya. Kemudian dia belajar menggunakan senjata pulak seperti keris, lembing, panah, badik dan sebagainya. Pada usia lebih kurang 30an, ilmu persilatannya sudah hampir lengkap dan kebiasaannya pada usia sebeginilah seorang pendekar itu dilahirkan melalui dunia persilatan sebenarnya dan mereka nanti juga akan sering bertempur dan berpencak di gelanggang terbuka. Jadi keris itu memang ditempa khusus untuk pendekar yang berusia 30an berdasarkan usia matangnya, juga usia tenaganya nanti bermain dengan senjata terutamanya keris seperti ini.”

“Tentang karat pada keris ini Cikgu Wan?”

“Itu bukan sebarang karat Cikgu Malik. Kalau Cikgu Malik nak tau inilah darah-darah manusia yang pernah menjadi mangsa tusukan keris ini sebelum ini. Ini darah manusia. Keris ini mungkin pernah digunakan semasa perang dan bukan digunakan untuk bersilat biasa. Sebab dari karatnya saya tahu ada beberapa kesan darah seperti karat pada keris ini yang merupakan darah dari tusukan kepada beberapa orang pahlawan. Saya tau darah kering pada keris ini adalah darah panas.”

“Maksudnya darah orang yang berperang untuk mati dan berlawan secara bersemuka dan bukan darah sejuk iaitu darah orang yang ditikam dari arah belakang badan. Iaitu darah orang yang lari untuk menyelamatkan diri. Saya sungguh tak sangka bahawa darah-darah kering masih melekat lagi pada keris ini. Kalau keris ini dicuci dengan air gunung yang diletakkan di dalam sebuah bekas, pasti darah-darah ini akan tertanggal dan air dalam bekas yang digunakan untuk mencuci keris ini tadi pasti akan bertukar dan dipenuhi dengan darah-darah yang melekat sebelum ini. Bahkan Cikgu Malik boleh menghidu akan bau hamis darah segar setelah ratusan tahun darah ini mengering, melekat dan kaku pada keris ini. Cikgu Malik tau tak kenapa keris ni tak ada pemegang atau ulunya?”

“Ntah. Mungkin patah kot semasa berperang. Takpun dah hancur sebab dah reput. Kan pemegangnya dibuat dari kayu? Takkan tahan lama Cikgu Wan?”

“Bukan Cikgu Malik. Macam ni. Keris ni memang dicipta tanpa ada pemegang dari kayu yang dinamakan sebagai hulu. Yang ada cuma puting besi sebagai pemegangnya, ‘ekor’ dan ‘dagu’nya hinggalah ke besi yang terhunus memanjang yang mempunyai beberapa lok-lok yang dipanggil sebagai ‘tulang kering’. Biasanya penempa keris untuk membunuh tahu hal ni. Keris biasa yang ada pemegang kayu tu biasanya disambung dan diletakkan semacam gam atau getah dari pokok kayu untuk memastikan pemegang kayunya melekat pada puting besinya. Kelemahannya cuma satu.”

“Apabila orang yang guna keris ini apabila menikam perut lawannya, maka darah lawannya akan mengalir dari hujung keris yang tajam tu lalu terkena pada getah pokok yang bertindak jadi gam yang melekat di antara pemegang kayu dan puting besi tadi. Darahkan sifatnya panas. Jadi apabila terlalu lama terkena darah panas, jadi pelekat tu akan mencair dan pemegang kayu pada keris tu akan tertanggal. Jadi susah nak kawal keris tu apabila pemegangnya terlepas dari keris tu. Ini akan menyusahkan orang tu menikam musuhnya.”

“Sebab itulah keris ini dibuat tanpa adanya pemegang dari kayu bahkan pemegang pada hujungnya memang diciptakan dengan tiada pemegang kayu. Keris ni memang dicipta dengan pemegangnya adalah dari hujung besi itu sendiri (puting besi). Logiknya macam ni. Apabila orang yang menggunakan keris ini menikam lawannya, jadi darah pada lawannya nanti akan mengalir di tangan pemegang keris ini dan darahnya akan meresap masuk di antara tapak tangan dan pemegang keris tu.”

“Apabila darah pada keris tu mula kering, darah itu akan mula bertindak menjadi seperti pelekat atau gam dan genggaman tangan seseorang pada pemegang keris inilah yang akan menggantikan hulu atau pemegang dari keris itu sendiri nanti. Dan apabila darah itu benar-benar sudah kering dan melekat, jadi keris itu tetap akan berada dan melekat pada tangan pemengang keris ini. Seolah-olah keris itu pada ketika itu akan menyatu pada tangan dan diri pemegang keris ini.”

“Saya tak tau ada keris yang dicipta macam ni Cikgu Wan sebab bagi saya setiap keris itu memang diciptakan dengan pemegang kayu tu memang menjadi tradisi ilmu pembuatan keris selama ini.”

“Memang benar tu Cikgu Malik. Tetapi di dalam ‘dunia hitam’ kepahlawanan melayu lama yang memang menuntut darah sebagai santapannya, maka inilah yang berlaku. Hebat bukan?”

“Memang hebat Cikgu Wan. Memang hebat.”

“Ok. Ada tak Cikgu Malik tengok bilah atau lok pada keris ni dan juga buatan keseluruhannya? Cikgu Malik perasan tak yang buatannya akan kasar, tidak cantik dan langsung tiada yang menarik. Tak seperti keris-keris yang yang pernah kita lihat sebelum ni.”

“Saya perasan Cikgu Wan. Itu yang saya nak tanya jugak tadi.”

“Ok. Macam ni. Keris ni memang kasar, tidak cantik, nampak hodoh dan buatannya juga tidak kemas. Cikgu Malik tengak lok pada keris ni. Saiz loknya tidak sekata. Ada yang besar. Ada yang kecil. Sebenarnya macam ni. Keris ini dicipta bukan untuk perhiasan. Bukan untuk dipuja akan kesempurnaannya. Tetapi keris ini diciptakan dengan satu alasan sahaja iaitu untuk membunuh.”

“Memang keris ini kasar buatannya dan tidak kemas. Kalau cikgu nak tau, keris ini dicipta dan ditempa dengan kudrat kedua belah tangan serta sebuah penukul sahaja. Keris ini dibuat dengan menggunakan keadah lama. Bukan dibuat dengan menggunakan mesin atau peralatan-peralatan yang biasa kita lihat. Keris ini dibuat oleh seorang tukang tempa sahaja. Bukannya oleh beberapa orang dan keris ini memang dilahirkan dalam keadaan hodoh.”

“Keris ini cuma ditempa oleh seorang pakar tempa yang seluruh jiwanya diserahkan pada keris ini agar kehebatannya cuma untuk membunuh sahaja dan bukannya cuma sebagai perhiasan di dalam almari sahaja lalu diceritakan akan keris perhiasan itu sebagai keris lagenda. Bukan Cikgu Malik. Dan keris di hadapan kita inilah keris yang benar-benar lagenda dan penuh diselubungi dengan misteri. Sebab itulah keris ini memang buruk, tak cantik, kasar dan tidak kemas.”

“Dulu keris seperti ini ditempa dengan jumlah yang sangat sedikit dn hampir kesemuanya telah hilang atau rosak kerana memang keris ini diciptakan untuk membunuh ketika peperangan. Setelah rosak, keris ini dibuang begitu sahaja dan hilang selamanya. Kita beruntung cikgu kerana dalam umur kita sekarang kita dapat melihat keris yang benar-benar pernah membunuh manusia suatu ketika dahulu dan juga keris yang pernah menyaksikan beberapa tusukan yang mematikan pada tubuh badan manusia yang menanggung siksa azab bisa pedih dari tusukannya. Ok Cikgu Malik. Yang seterusnya.”

“Silakan Cikgu Wan. Saya benar-benar nak tau.”

“Ok. Cuba Cikgu Malik tengok. Keris ini memang diciptakan untuk pendekar yang menggunakan tangan kanan. Bukan saja-saja dibuat untuk orang yang bertangan kanan memandangkan lebih ramai manusia yang dominan tangan kanan dari tangan kiri di dunia ini. Kalau Cikgu Malik perasan, keris ini kalau kita pegang dan hulurkan ke hadapan, kita boleh tengok dengan jelas yang keris ini bengkok pada sebelah kiri bukan? Cikgu Maik tau tak kenapa?”

“Mungkin rosak terpijak ke atau tersalah tusuk kot. Sebab itu keris ni bengkok ke kiri.”

“Salah tu cikgu. Keris ini bengkok bukan disebabkan terpijak atau salah tusuk. Keris ini sengaja diciptakan dengan dibengokkan ke arah sebelah kiri sedikit. Tujuannya macam ni. Kalau orang yang memengang keris ini menikam lawannya dengan pantas dan lawannya tadi juga sempat menepis. Walaupun orang yang menikam keris ini menikam lawannya dengan sepantas mana sekalipun, lawannya pasti selamat kerana sempat menepis. Kalau kena sekalipun mungkin sedikit sahaja. Tetapi keris ini istimewa sedikit Cikgu Malik. Hahahahaha..”

“Istimewa macamana tu?”

“Sebab itulah saya bagitau tadi keris ini memang diciptakan bengkok sedikit ke sebelah kiri dan diciptakan untuk orang bertangan kanan. Ok. Macam ni. Apabila orang yang menggunakan keris ini menikam lawannya dan lawannya dengan pantas akan menepis. Tetapi keris ini tetap juga akan dapat menikam perut lawannya. Kalau keris itu lurus sahaja dan berjaya ditepis, keris ini tidak akan sempat memakan perut lawannya. Tetapi kalau keris ini bengkok ke kiri, walaupun lawannya menepis, keris ini masih lagi sempat menusuk masuk dan memakan perut lawannya kerana keris ini membengkok ke kiri dan apabila pada ketika itu lawannya menepis, maka koyak dari tusukan itu akan memanjang akibat ditepis tadi dan akhirnya darah mangsa tusukan tadi akan terus keluar dengan banyaknya.”

“Dan keris ini tadi khas untuk orang yang bertangan kanan. Jadi penempa keris ini membuat keris ini berdasarkan permintaan seseorang untuk membuatnya. Maksudnya keris ini dicipta selepas ada permintaan dari orang sahaja dan keris ini juga dicipta mengikut gerak silat seseorang. Bukannya keris ini dibuat dengan banyak dahulu kemudian dijual kepada orang lain. Tidak. Keris ini cuma wujud apabila ada pendekar dan bukan pesilat biasa yang meminta penempa menempa keris khas untuknya untuk dia digunakan semasa berpencak. Kira keris ini macam ‘Custom Made’ juga Cikgu Malik.”

“Dan yang paling istimewa atau kita kategorikan sebagai keris ‘rare’ ini adalah keris yang ditempa khas untuk orang bertangan kidal. Jarang sekali kita melihat keris yang ditempa khas untuk orang yang bertangan kidal ni cikgu. Kalau Cikgu Malik jumpa keris yang ditempa khas untuk orang yang bertangan kidal ni memang beruntunglah. Macam saya katakan tadi, mati hidup semulapun kita tidak akan jumpa lagi keris macam ni. Apa lagi keris yang ditempa untuk pendekar bertangan kidal. Nisbahnya lebih kurang 1:20 Cikgu Malik. 1 tu keris yang ditempa untuk pendekar bertangan kidal dan 20 tu untuk pendekar bertangan kanan dan salah satunya sekarang ni ada di hadapan mata kita sekarang Cikgu Malik.”

“Dan yang terakhir cikgu. Cikgu Malik nampak tak pada penghujung keris ini nampak benar-benar kasar seperti sengaja ditempa sedemikin rupa.”

“Nampak tapi macam lebih kepada tumpul dan hujungnya macam ditikam pada batang kayu atau tanah atau benda keras yang lain. Lepas tu macam ada serpihan-serpihan kecil. Mungkin kesan dari geseran keris ini ditikam pada batu mungkin.”

“Betul cikgu. Itulah pandangan orang biasa bila melihat keris ini bahkan orang yang sudah lama bergelumang dengan dunia silatpun tidak tahu tentang perbezaan semua ini. Sebenarnya pada hujung keris ni yang cikgu nampak macam tumpul dan kasar ni bukan bermaksud pernah ditikam pada benda keras. Sebenarnya macam ni. Keris ini sengaja dibuat kasar seperti ini kerana apabila kita menikam perut lawan kita dengan keris ini, keris ini akan menusuk jauh ke dalam badan dengan kasar sehingga meninggalkan sakit yang teramat dari dalam badan orang yang ditikam tadi keraga geseran dari penghujung yang tumpul tadi sedang menikan setiap inci dari daging da nisi perut.”

“Tetapi apabila kita tarik keris ini dari badan orang tersebut, keris ini akan menarik sekali segala isi perut dan usus-usus orang yang kita tikam tadi. Bahagian yang kasar seperti sepihan-serpihan kecil inilah yang akan menarik sekali segala isi perut dan usus-usus lawan kita itu nanti sehingga menyebabkan lawan kita akan mengalah serta merta. Pada ketika itu dia cuma ada dua pilihan iaitu mati dengan serta merta atau mati dengan penuh tersiksa iaitu mati dengan perlahan-lahan. Macam tulah penjelasan saya berkenaan dengan keris ni tadi Cikgu Malik.”

“Subhanallah..Alhamdulillah.. Saya benar-benar tak tahu cikgu adanya keris yang memang dicipta macam ni. Memang saya benar-benar tak sangka. Alhmadulillah dengan izin Allah saya sempat jugak tengok keris macam ni.”

“Dalam dunia hitam ilmu persilatan Cikgu Malik, keris inilah yang ditakuti oleh musuh. Sehebat mana sekalipun dia. Seagung mana sekalupun dia dan sekuat mana sekalipun dia. Keris inilah keris yang tidak pernah meminta untuk dimandikan dengan limau dan juga diasapkan pada kemenyam lalu di gantung di atas dinding sebagai perhiasan dan keris ini akan hancur selepas digunakan tanpa henti.”

“Tidak akan ada orang yang peduli penghujung nasib keris seperti ini dan keris ini juga tidak meminta untuk diselamatkan kerana mengenang jasanya. Bahkan keris ini tidak pernah meminta untuk diabadikan dengan penuh ‘ritual mistik’. Tidak. Tidak akan cikgu. Keris ini istilahnya telah bersedia untuk menerima kematiannya sendiri setelah keris ini membunuh dengan tanpa rasa belas ikhlas untuk tuannya. Dan keris inilah yang menciptakan kematiannya sendiri..”

“Alhamdulillah. Terima kasih Cikgu Wan ilmu yang sangat bernilai ini.”

“Saya yang patut berterima kasih kepada Cikgu Malik kerana membenarkan saya untuk menyentuh keris ni dan menjelaskan sejarah panjang kehidupannya. Selepas ini keris ini Cikgu Malik nak buat apa?”

“Lepas ni keris ini akan saya hancurkan dan buang ke sungai Cikgu Wan.”

“Sayang jugak kalau dibuang dengan cara camnikan Cikgu Malik? Tapi tak apalah. Semua ini untuk menyelesaikan semua masalah yang membelenggu dan Cikgu Malik lebih tau lagikan?”

“Haah. Sayapun tak ada pilihan lain. Kalau tak, memang saya akan hantar pergi ke muzium.”

“Oklah Cikgu Malik. Terima kasih atas malam yang sangat bererti ini. Saya nak balik dulu. Kawan sayapun dah selesai urusan rawatan dia cikgu.”

“Sama-sama Cikgu Wan. Terima kasih juga atas ilmu pada malam ni. Ini kali pertama saya dengar tentang sisi gelap keris pusaka orang melayu ni.”

“Nanti kalau ada keris yang pelik-pelik cikgu bagitau saya ok. Assalamualaikum.”

“Ok Cikgu Wan. Waalaikum salam..”

Selepas bersalaman CIkgu Wan terus berjalan menuju ke arah kawannya dan setelah beberapa ketika merekapun meninggalkan pusat rawatan kami.

Dan saya sempat memandang ke arah wajah Cikgu Wan. Wajahnya sangat ceria dan jelas kelihatan seperti sangat berpuas hati.

Selepas beberapa bulan kemudian Cikgu Wan telah dapat berpindah balik ke Semenanjung. Seingat saya dia ada memberitahu yang dia dapat pindah ke Selangor. Tempat isteri dia mengajar juga.

Kali terakhir saya berjumpa dengan Cikgu Wan apabila kami mengadakan perlawanan futsal antara sekolah saya iaitu SK Kampung Jepak, SK Tanjung Batu, SMK Baru dan SMK Bandar di Arena (Sekarang telah bertukar menjadi Pakat Global Sport Centre).

Pada ketika itu Arena masih lagi dijaga oleh dua orang sahabat baik saya iaiti Malyx dan Awang)

Selepas Cikgu Wan balik, saya terus duduk bersama dengan Kerol yang kebetulan baru sahaja selesai dirawat. Wajahnya agak pucat dan berpeluh. Juga kelihatan sangat penat.

Lebih kurang sepuluh minit kemudian saya mengajak Kerol untuk melihat sahabat saya iaitu Mahli membengkokkan keris berkenaan memukulnya dengan batu berulang kali agar tidak kelihatan seperti bentuk asalnya.

Keris itu tetap utuh walaupun benar-benar sudah terlalu tua dari segi usianya.

Selepas diketuk berulang kali untuk menghilangkan bentuk asalnya tadi, saya terus membawa Kerol ke jambatan yang berdekatan untuk menemani kami membuang keris tersebut di dasar sungai.

Cuma saya tidak mahu memberitahu di mana kedudukan kami membuang keris tersebut.

Kerol menerhati sahaja bagaimana keris itu mula tenggelam dan akhirnya hilang dari pandangan mata kami kerana ditelan arus air sungai yang mengalir perlahan menuju ke hilir dan saya tahu keris itu masih lagi ada di situ hingga sekarang.

Alhamdulillah selepas dari kejadian malam itu saya yakin pengaruh jahat dari syaitan penjaga keturunan Kerol iaitu saka harimau itu akan hilang selamanya dengan izin Allah walaupun tidaklah hilang gangguan tersebut dengan serta merta.

Hampir dua tahun juga selepas dari kejadian malam itu Kerol dengan istiqamah tetap mendapatkan rawatan dari kami.

Pada awalnya Kerol masih lagi mengamuk, muntah, menjerit dan sebagainya hinggalah pada suatu hari dengan seizin Allah, akhirnya Kerol benar-benar sembuh. Itupun setelah dua tahun dari kejadian kami memusnahkan keris tersebut.

Selepas itu Kerol memulakan hidup barunya dengan menikahi seorang gadis cantik pilihannya sendiri. Pada ketika itu Kerol bekerja di Kidurong dan isterinya sendiri adalah merupakan bosnya di syarikat tempat dia bekerja.

Pertemuan mereka bermula apabila Kerol pada ketika itu masih lagi mendapatkan rawatan dari kami dan isterinya pula pada ketika itu sedang menemani adiknya mendapatkan rawatan dari kami.

Mungkin segalanya telah diatur cantik oleh Allah sehinggakan pertentangan mata pada malam itu telah memulakan bibit-bibit cinta dan akhirnya selebihnya adalah sejarah.

Sekarang saya sudah tidak berhubung dengan Kerol lagi setelah dia mengikuti isterinya berpindah ke cawangan baru tempat dia bekerja di Kuching.

Semoga suatu hari nanti saya dipertemukan lagi dengan Kerol untuk bercerita dan mengingati kisah-kisah lama kami berdua. Amin.

COMMENTS