Pewaris Saka Harimau Bahagian 2

Pewaris Saka Harimau Bahagian 2

WAJAH-WAJAH KEMATIAN

BAHAGIAN KEDUA

Kemudian lelaki itu mengangkat tangan kiri dan ibu jari telunjuknya diarahkan kepada saya. Wajah kemerahan dan kemarahannya mula terserlah. Mimik mukanya juga membayangkan betapa lelaki itu sangat marah dengan apa yang berlaku.

Saya benar-benar buntu seketika dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Cuma pada ketika itu saya tahu Allah sahajalah tempat saya untuk memohon segala kekuatan dan perlindungan. Dalam keadaan yang cemas seperti itu tiba-tiba saya terpandang sesuatu.

Saya terlihat pada tangan kanan lelaki tadi seperti sedang memegang sebuah patung yang diukir dengan kayu. Lengkap dengan kedua belah tangan, kaki dan anggota badan. Cuma yang menghairankan saya adalah wajahnya benar-benar seperti wajah Nora.

Lalu kemudiannya saya membaca beberapa Inzhar atau peringatan dari hadis Rasulullah yang berbunyi;

“Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam.”

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

“Wahai Zat Yang Maha Hidup dan Berdiri sendiri, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan.”

“Ya Allah bantulah kami dalam mengingatiMu, bersyukur kepadaMu dan beribadah yang baik kepadaMu.”

“Tidak ada tuhan selain Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim.”

“Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang direjam.”

“Aku berlindung kepada Allah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui dari syaitan yang direjam.”

“Ya Allah, Engkaulah tuhanKu, tidak ada tuhan selainMu. KepadaMulah aku bertawakkal dan Engkaulah tuhan singgahsana yang agung. Segalanya atas kehendak Allah dan apapun tanpa kehendakNya tidak akan terwujud. Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan (kekuatan) Allah. Ketahuilah bahawa Allah Maha Mampu melakukan apapun dan bahawa ilmu Allah meliputi segala sesuatu. Dan Dia (menghitung) segala sesuatunya dengan terperinci. Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepadaMu dari segala keburukan jiwaku, kejahatan syaitan dan sekutunya dan dari kejahatan segala sesuatu yang melata yang Engkaulah pemegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Rabku berada di atas jalan yang lurus.” (HR. BUKHARI)

“Aku berlindung dengan wajah Allah Yang Mulia dan dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna yang tidak ada yang melampauinya segala kebaikan mahupun keburukan dari kejahatan apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar darinya dan dari kejahatan apa yang turun dari langit dan apa yang naik kepadanya. Dan dari kejahatan fitnah di malam dan siang hari dan dari kejahatan jalan-jalan di malam dan siang hari kecuali suatu jalan yang dilalui dengan kebaikan. Ya Rahman.”

Ta’awwuz atau doa perlindungan ini telah diajarkan oleh Malaikat Jibril kepada Rasulullah ketika malam Isra’ Mikraj. Ketika itu Rasulullah dihadang oleh Jin Ifrit (yang diutus oleh Iblis) yang membawa obor untuk membakar Rasulullah. Lalu Rasulullah membaca doa perlindungan tersebut sehingga Ifrit tersebut kalah dengan izin Allah. (HR. Imam Bukhari)

“Allah Yang Maha Besar. Allah lebih perkasa dari segala makhlukNya, Allah lebih perkasa dari segala yang aku takuti dan aku khuatirkan. Aku berlindung diri kepada Allah yang tidak ada tuhan selain Dia. Yang menahan tujuh lapis langit sehingga tidak jatuh menimpa bumi, namun dapat terjadi dengan izinNya.”
“Dari kejahatan…(hambaMu)…”

(Pada ketika itu saya cuma melafazkan nama syaitan yang menganggu keluarga Adam serta menyebut istilah ’bomoh’ yang menghantar sihir kepada Nora kalau benar-benar Nora diganggu oleh sihir yang dihantar oleh bomoh tersebut)

“Dengan para tenteranya dan pengikutnya serta kelompoknya dari jenis jin dan manusia. Ya Allah, jadikanlah perlindungan untukku dari kejahatan mereka. Mulialah segala sifatMu, perkasalah perlindunganMu, Maha Berkah namaMu dan tidak ada Ilah selainMu.” (HR. Bukhari dalam Kitab Adabul Mufradat)

(Ta’awwuz ini adalah untuk orang yang dikenali dengan kejahatannya. Nama orang tersebut dapat kita sebutkan dalam rangkaian ta’awwuz tersebut)

Selepas selesai membaca inzhar tadi tiba-tiba patung tersebut terlepas dan jatuh mendadak dari tangan lelaki tersebut dan lelaki itu seperti terkejut dan kehairanan.

Mungkin patung itulah yang diceritakan oleh Adam kepada saya di Bangunan Martabat iaitu sehari sebelum saya bertandang ke rumahnya.

Wajahnya mula sedikit resah. Selepas itu tanpa mempedulikan apa yang berlaku kepada kami, dia mula berundur beberapa langkah dan kemudiannya hilang dari penglihatan saya. Begitu juga patung berupa Nora tadi. Patung itu juga secara perlahan-lahan hilang dari pandangan mata saya.

Untuk seketika saya merasa agak lega kerana bayangan lelaki tadi mula hilang lalu diganti dengan kepulan asap nipis yang baunya sangat busuk serta melemaskan. Tetapi saya tetap yakin bahawa bantuan Allah itu pasti akan datang nanti.

Selepas itu saya kembali memandang ke arah bayangan dua ekor pontianak yang secara tiba-tiba sahaja sudah tercegat di hadapan tempat Nora terbaring. Nora pula masih lagi ketawa dan terus tertawa.

Bayangan dua ekor pontianak tadi terus menerus memandang ke arah Nora sebelum keduanya bertukar menjadi kepulan kabus-kabus nipis dan menyusup masuk ke dalam badan Nora melalui celah rongga hidungnya. Semuanya saya perhatikan dengan penuh rasa terkejut.

Selepas itu Nora terdiam. Lalu beberapa saat kemudian dia duduk sambil bermain-main dengan rambutnya. Nora pada ketika itu seperti sedang melayan perasaannya sendiri dan senyuman menyeramkan yang terukir pada bibirnya benar-benar menakutkan saya.

Semasa dia sedang bermain-main dengan rambutnya itu, saya dapat menangkap suatu alunan muzik yang dia nyanyikan itu walaupun sekadar menyebut ‘Hmmm..’ sahaja. Dan lagu itu berasal dari lagu Jawa yang bertajuk ‘Lingsir Wengi’ (Menjelang Malam).

(Lagu Lingsir Wengi ini menjadi kembali popular lagi di Indonesia setelah kemunculan filem ‘Kuntilanak’ (2006). Di dalam filem ini, sekiranya lagu ‘Lingsir Wengi’ ini dinyanyikan maka kuntilanak akan muncul. Sebenarnya lagu Lingsir Wengi ini merupakan syair gubahan salah seorang dari Wali Songo (Wali Sembilan) yang bernama Sunan Kalijaga atau nama sebenarnya adalah Raden Said. Lagu ini sebenarnya adalah sebagai suatu permohonan kepada Allah agar dijauhkan dari malapetaka.

Lingsir Wengi merupakan salah satu syair Jawa yang dipercayai memiliki kekuatan magis pada ketika ianya dinyanyikan. Lagu ini mulai popular sebagai salah satu lagu yang dijadikan sebagai ‘backsound’ filem ‘Kuntilanak’ itu tadi. Lagu ini awalnya diciptakan oleh Sunan Kalijaga dan digunakan setelah melakukan solat malam sebagai ikhtiar kepada Allah untuk menolak segala bala bencana atau mencegah sebarang kejahatan dan perbuatan syaitan yang ingin mengganggu. Sebenarnya, makna dari lagu ini tersirat sebuah doa kepada Allah. Tetapi sayangnya, sebahagian masyarakat masih lagi mengganggap bahawa lagu ini menjadi pengundang kepada kehadiran dan gangguan syaitan. Apa lagi setelah liriknya juga diubah)

Selepas beberapa ketika, Nora berhenti dari bermain-main dengan rambutnya dan dia seakan perasan yang saya berada tidak jauh darinya. Nora kemudian menolehkan kepalanya perlahan-lahan dan memandang tepat ke arah saya.

Saya tidak tahu bagaimana wajahnya ketika itu. Cuma yang pastinya dia mula memandang tepat ke arah saya. Tanpa membuang masa saya segera memanggil-manggil nama Adam berulang kali dan tiada jawaban yang keluar dari mulut Adam.

Sepertinya Adam masih berkhayal. Pandangan matanya juga masih lagi ke arah dapur yang gelap yang juga bertukar seperti pemandangan hutan tadi. Iaitu tempat lelaki tadi muncul secara tiba-tiba. Lalu kemudiannya Adam memandang ke arah saya. Dia tersenyum dan kedua bebola matanya dibuka sebesar mungkin.

Saya berdoa kepada Allah agar Adam tidak menyerang saya. Pada ketika itu saya mula memandang ke arah tingkap di ruang tamu yang terbuka. Mungkin saya boleh lari dan melompat ke arah tingkap itu kalau Adam tiba-tiba menyerang saya nanti.
Kali ini saya semakin terdesak. Sekarang Adam dan Nora pula memandang saya dengan serentak. Isteri Adam pula masih lagi terbaring lemah. Saya tiada pilihan lain melainkan untuk menyedarkan dulu salah seorang dari mereka.

Oleh kerana saya lebih memerlukan Adam untuk merawat anaknya Nora, akhirnya saya mengambil keputusan untuk menyedarkan Adam terlebih dahulu. Lagi pula saya tahu. Gangguan pada Adam tidak seteruk Nora kerana Nora mungkin disihir tetapi gangguan pada Adam mungkin disebabkan perasaan terlalu takut sahaja lalu tersampuk.

Tanpa membuang masa saya terus membaca;

“Al Quran itu adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Fushlihat: 44)

Selepas itu saya menepuk-nepuk belakang Adam beberapa kali. Pada ketika itu Adam masih lagi memandang ke arah saya tanpa sekalipun matanya berkedip. Saya sempat melihat matanya yang merah dan hampir terbujur keluar serta senyumannya yang menakutkan itu.

Air liurnya juga kelihatan meleleh perlahan lalu jatuh menyentuh lantai ruang tamu. Mulut Adam juga seperti sedang berbicara kepada saya dalam bahasa yang benar-benar asing bagi saya.

Selepas beberapa kali tepukan di belakang badan Adam tidak berkesan, akhirnya saya cuba untuk menukar sedikit strategi saya. Ayat dari Surah Fushilat tadi saya ulang sebanyak tiga kali lalu saya tampar wajah Adam sambil melaungkan lafaz takbir.

“Pang…”

Dan Alhamdulillah. Dengan tidak semena-mena Adam seperti baru tersedar dari khayalannya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali lalu memegang dan mengusap-usap pipinya sambil memandang ke arah saya.

“Aduh cikgu. Sakitnya. Rasa nak tercabut tulang dagu saya. Cikgu tampar saya ke tadi?”

“Tak. Hantu yang rasuk Nora tu yang tampar kamu. Sedapkan kena tampar? Sebab tu jangan cepat nak tampar orang sembarangan. Bangun lekas. Kita nak keluarkan syaitan yang merasuk Nora ni. Cepat…Cepat..”

Dengan terpinga-pinga dan penuh persoalan Adam terus berdiri dan berlari ke arah dapur. Kemudian secara tiba-tiba sahaja keluar rumahnya dan lalu kemudian menjerit ketakutan dan kembali masuk ke rumah sambil memegang sepasang selipar jepun lalu duduk di sebelah saya.

Syaitan yang merasuk Nora tadi mungkin juga terkejut dan kebingungan, apa sebenarnya yang hendak dibuat oleh Adam tadi. Mungkin syaitan yang merasuk Nora itu juga kehairanan dan tertanya-tanya siapa yang kerasukan sebenarnya. Nora ataupun dia. Kemudian saya bertanya kepada Adam;

“Kamu kenapa?”

“Kan cikgu suruh cepat?”

“Yalah. Nak ke mana?”

“Hmm..Entah cikgu..”

Saya cuma tersenyum dan kasihan melihat Adam. Untuk seketika saya lupa dengan apa yang berlaku di sekeliling. Apa lagi melihat Adam yang terus menerus menggosokkan tangan pada pipi yang ditampar oleh saya tadi.

Rasa bersalah juga mula bermain di fikiran saya. Tetapi kalau saya tidak menamparnya mungkin dia masih belum sedar-sedar lagi. Bahkan mungkin pada ketika itu saya dan Adam masih lagi bermain kejar-kejaran sambil Nora bertepuk tangan keriangan serta memberi sokongan moral kepada kami.

Berkali-kali juga saya memandang ke arah pipi merahnya itu. Bekas tapak tangan saya juga agak kelihatan. Wajah Adam kelihatan sugul menyebabkan timbul juga rasa kasihan dan serba salah dalam diri saya.

Selepas itu saya meminta Adam beristighfar beberapa kali dan kemudian membaca Ayat Kursiy untuk memastikan yang dia benar-benar telah sedar dari lamunannya. Setelah keadaan kembali sedia kala dan tanpa saya duga, syaitan yang merasuk Nora mula menyerang saya.

Kekuatan Nora pada ketika itu memang luar biasa sehinggakan saya hampir-hampir dicakar dan dicekik sekali lagi oleh Nora. Melihat keadaan seperti itu, Adam cuba untuk membantu saya melepaskan diri dari serangan Nora.

Saya sempat meminta Adam untuk jangan bertindak sewenang-wenangnya dan berhati-hati dengan syaitan yang merasuk Nora. Tetapi dengan tidak disangka-sangka, tiba-tiba..

“Pang..”

Untuk kali kedua Adam menikmati tamparan yang luar biasa. Cuma kali ni dari Nora pula. Pada ketika itu Adam cuba menahan kedua belah tangan Nora tetapi tiba-tiba tangan kiri Nora terlepas lalu menampar wajah Adam, ayahnya sendiri.

Syaitan yang merasuk Nora terus ketawa dan sesekali menjerit kegembiraan kerana berjaya menampar wajah Adam. Mungkin sekarang Adam sudah punya jawabannya sendiri untuk tamparan yang pertama tadi.

Rasanya menurut Adam, Noralah yang telah menamparnya tadi dan mungkin dia akan menyalahkan syaitan itu untuk kedua tamparan pada pipinya tadi. Sedangkan untuk sementara saya tetap tidak mahu untuk mengaku dulu agar Adam tidak berdendam kepada saya.

Dan untuk kali yang kedua juga Adam menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali lalu memandang saya. Saya tidak tahu kenapa Adam memandang saya. Sudah tentu dia tahu memang bukan saya yang menamparnya. Yang penting untuk tamparan kali pertama tadi saya sengaja buat-buat tak tahu sahaja.

Melihat keadaan tersebut, saya kemudian berusaha untuk menahan tangan kiri Nora yang rakus menyerang wajah Adam. Setelah beberapa ketika saya dan Adam dapat mengawal Nora. Nora menyumpah-nyumpah dan meronta-ronta untuk melepaskan dirinya.

Saya meminta kepada Adam untuk memastikan yang kali ini kedua pergelangan tangan Nora ditahan sekuat mungkin. Adam cuma mengangguk. Matanya kemerahan dan air matanya sedikit mengalir. Saya tidak pasti sama ada Adam sedih ataupun semua ini kesan dari tamparan saya dan Nora.

Apabila keadaan terkawal, saya mula membacakan beberapa ayat-ayat ruqyah. Pada awalnya syaitan yang merasuk Nora terus meronta dan minta dilepaskan sambil mulutnya terus menerus menyumpah kami berdua.

“Celaka..Celakanya kamu berdua. Lepaskan aku..Lepaskan aku..Bukan anak jantan yang bertarung dengan wanita yang lemah. Kalau kamu berdua anak lelaki, kita berpencak secara terbuka. Apa kamu berdua berani?”

“Aku tidak akan lepaskan kamu selagi kamu tidak mahu melepaskan Nor selamanya.”

“Tidak. Aku tidak akan lepaskan dia. Apapun yang terjadi. Bergelumang di tubuh badannya lebih enak dari tinggal di dalam patung itu. Aku tetap tidak akan keluar. Bahkan kematianpun tidak berani untuk meminta aku pulang. Inikan kamu berdua. Hahahahaha..”

“Baiklah kalau begitu. Aku akan pastikan engkau akan keluar juga dari badannya nanti bagaimanapun juga caranya.”

“Apa kamu mampu untuk mengalahkan aku? Apa kamu tidak tahu siapa yang menemani aku saat ini? Yang memenuhi seluruh ruangan rumah ini? Juga yang melata dan menjalar di halaman rumah mereka? Apa kamu berani?”

“Aku tidak berani. Malah aku juga tidak takut.”

“Apa yang kau maksudkan?”

“Memang aku penakut tapi aku punya Allah. Tuhan aku, tuhan kamu dan tuhan sekelian alam.”

“Hahahahaha..Tuhan kamu saja tidak mampu untuk mengeluarkan aku. Juga melindungi keluarga ini dari tuan aku. Apa lagi kamu.”

“Bukan tidak mampu. Cuma semua ini akan ada batasnya. Tunggulah kamu sehingga akan datang bantuan dari Allah nanti dan pada ketika itu segala suara tangisan dan penyelasan kamu semuanya adalah sia-sia.”

“Penyesalan? Hahahahaha..? Sia-sia? Hahahahaha..Bahkan sekarang aku sedang menunggu apa yang kau katakan tadi. Semuanya kosong. Semuanya sia-sia sahaja. Bahkan kau juga melihat sekarang di mana kamu sedang berada bukan? Apa kau tidak lihat? Hahahahaha..”

Saya terdiam sejenak. Untuk meminta dengan cara halus sepertinya tidak akan pernah dapat. Apa lagi syaitan yang merasuk Nor ini penuh dengan rasa kesombongan dan kesesatan.

Untuk seketika saya memandang ke seluruh pelusuk ruang tamu rumah Adam yang benar-benar kelihatan seperti suasanya sebuah hutan tua yang tebal. Gelap dan sunyi. Bunyi cengkerik dan unggas-unggas hutan kedengaran pada cuping telinga saya.

Entah kenapa juga pada waktu itu ruang tamu rumah Adam seperti dipenuhi dengan manusia. Lantai rumah mereka juga sepeti dipijak-pijak oleh manusia. Suara lolongan anjing kembali bersahutan.

Bunyi deruan angin dan bunyi air yang mengalir di sungai kecil juga kedengaran. Sedangkan menurut Adam, sungai terdekatpun sekitar seratus meter dari rumahnya iaitu tempat mereka membuang ancak dulu.

“Hahahahaha..Kawan-kawan. Mendekatlah. Mendekatlah ke mari. Ada tugas yang perlu diselesaikan. Tuan kita meminta agar sesiapa sahaja yang cuba untuk menganggu dia maka kita akan rasuki mereka dari segenap sudut. Kita rasuki pada liang roma tubuh kecil mereka. Lalu kita menjalar pada pembuluh darah mereka hingga sampai ke otak mereka. Agar selepas itu mereka akan menjadi gila. Dan sesudah itu mereka akan kita tahan jiwa mereka dan roh mereka akan kita genggam seutuh mungkin. Sehinggalah tuan kita berkehendak untuk membunuh jiwa mereka ataupun melepaskan mereka. Biar mereka mati atau hidup dalam keadaan gila selama-lamanya. Hahahahaha..”

Selepas itu suasana semakin tegang. Tiba-tiba saya merasakan seperti ada beberapa orang di belakang saya. Tapi itu cuma perasaan saya sahaja. Saya memandang ke arah Adam. Dari arah belakangnya juga kelihatan seperti ada bayangan berbentuk manusia berwarna hitam kelabu.

Bayangan itu semakin lama semakin dekat dengan Adam. Saya tidak mahu memberitahu Adam kerana saya sendiri tidak pasti adakah semua itu cuma bayangan mata sahaja atau tipu daya syaitan.

Lalu kemudiannya saya meminta kepada Adam untuk terus menerus membaca Ayat Kursi dan jangan sesekali mempedulikan apa yang berlaku serta berusaha untuk terus-menerus mengawal dirinya. Dan yang penting, jangan bertindak melulu. Juga jangan menampar sesuka hatinya.

Adam mengangguk perlahan. Sepertinya dia juga mengalami apa yang sedang saya alami sekarang. Beberapa kali juga Adam memandang ke arah belakang saya dan kemudiannya menunduk kepalanya ke bawah. Mulutnya juga mula terkumat-kamit membaca Al Quran. Mungkin dia juga melihat apa yang saya lihat pada dirinya tadi.

Tiba-tiba saya mula merasakan seperti ada dengus nafas seperti nafas lembu di belakang saya. Hembusan nafas itu pula menyentuh pada tengkuk saya sehingga membuatkan saya benar-benar merasa tidak selesa.

Untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingi terjadi, saya kemudiannya memandang ke atas lalu menadah kedua belah tangan saya. Saya mula memanjatkan doa kepada Allah agar diberikan perlindungan, pertolongan dan kekuatan dari Allah.
Selepas itu saya mula membaca ayat Al Quran di bawah berulang-ulang kali;

“Sekiranya Kami turunkan Al Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyu serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan ingatlah missal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.” (Surah Al Hasyr: 21)

Pada mulanya syaitan yang merasuk Nora cuma ketawa terbahak-bahak dan sesekali suara Nora berubah menjadi garau dan seperti suara lelaki. Tetapi lama kelamaan syaitan yang merasuk Nora mula kepanasan dengan izin Allah.

Dia juga cuba untuk terus menerus melepaskan dirinya dari ditahan oleh Adam. Saya sempat berpesan kepada Adam, apapun yang berlaku jangan sesekali melepaskan tangannya dari kedua tangan anaknya Nora. Selepas itu saya duduk di bahagian kepala Nora dan membaca ayat-ayat azab.

“Orang kafir akan dibuatkan untuk mereka pakaian-pakaian dari neraka. Disiramkan air yang sedang mendidih ke atas kepala mereka. Dengan air itu, dihancurkan segala apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit mereka.” (Surah Al Hajj: 19-20)

“Pada hari mereka ditutup oleh azab dari atas mereka dan dari bawah mereka.” (Surah Al ‘Ankabut: 55)

“Bagi mereka lapisan-lapisan dari api di atas mereka dan di bawah mereka pun lapisan-lapisan api…” (Surah Az Zumar: 16)

“Dan sesungguhnya jahanam itu benar-benar mengelilingi orang-orang kafir.” (Surah At Taubah: 49)

Selepas itu Nora mula menjerit. Jeritannya pada kali itu lebih luar biasa dan sungguh kuat sehingga saya sempat menutup telinga saya beberapa saat. Adam pula berusaha untuk menahan rasa kurang selesa dengan terpaksa mendengar jeritan Nora tadi kerana kedua belah tangannya masih lagi memegang tangan Nora.

Tidak lama kemudian Adam memandang sekeliling rumah. Apa yang berlaku pada Adam menarik minat saya. Pada mulanya saya tidak tahu apa yang berlaku kerana saya sedang membaca ayat-ayat Al Quran tadi sebagai usaha meminta bantuan dari Allah.

Selepas itu saya kembali memandang ke arah Adam. Pada ketika itu barulah saya faham kenapa Adam memandang sekeliling rumah mereka. Tiba-tiba saya juga memandang ke arah sekeliling rumah Adam.

Rumah Adam tiba-tiba sahaja seperti digoncang oleh sesuatu. Bayangan puluhan manusia berwarna hitam pekat berbelang kelabu tiba-tiba muncul dari lantai ruang tamu, dari siling rumah dan dari segenap pelusuk ruang rumah mereka sehingga mereka berlaga sesama sendiri. Seolah-olah mereka sedang diserang oleh sesuatu yang maha dasyat.

Sehinggakan lantai kayu ruang tamu rumah Adam ini terasa seperti dipijak oleh puluhan manusia. Dinding rumah seolah-olah hampir tercabut dihentam badai. Bahang kepanasan rumah Adam juga tiba-tiba muncul sedangkan pada awalnya rumah Adam ini agak dingin kerana berada di kawasan hutan kebun dan pada ketika itu juga malam telah menjelma.

Ribut kecil juga mula kedengaran dari arah luar rumah. Suara lolongan anjing yang bersahutan pada awal-awal tadi telah hilang dan digantikan dengan suara tangisan yang muncul secara tiba-tiba.

Suasana sekeliling rumah Adam juga seperti gegak gempita. Seolah-olah diserang oleh sesuatu yang maha dasyat yang tidak dapat untuk dijelaskan dengan kata-kata. Bayangan hutan yang tiba-tiba timbul dari rumah Adam tadi mula hilang dengan perlahan-lahan.

Selepas itu saya tidak peduli apa yang berlaku kerana Allah lebih tahu sama ada itu merupakan pertolongan dari Allah ataupun sekadar tipu daya syaitan sahaja. Akhirnya suasana hingar bingar dan bunyi yang muncul tadi mula hilang dari pendengaran dan pandangan kami.

Jeritan Nora juga belum berkurangan. Dia berusaha untuk terus melawan. Tetapi bukan kepada saya dan Adam. Mungkin pada sesuatu yang kami sendiri tidak nampak. Bahang panas pada badan Nora mula terasa. Allah sahaja yang tahu apa yang berlaku. Selepas itu saya mula bertanya kepada syaitan yang mersuk Nora.

“Apa kamu tetap kamu berada di dalam badan Nora?”

“Matipun aku tetap akan berada di dalam badannya.”

“Ada berapa ekor semuanya kamu dan kawan-kawan di dalam badan Nora?”

“Tiga. Yang dua tadi baru masuk sekejap tadi.”

“Kenapa ganggu Nora?”

“Ayahnya mahu membunuh tuan kami sedangkan sebelum ini tuan akulah yang banyak membantu dia.”

“Membantu menyesatkan manusia. Apakah itu kamu katakan sebagai membantu?”

“Asalkan mereka sesatkan? Hahahahaha..”

“Apa yang kau lakukan dengan Nora?”

“Aku diperintahkan oleh tuan aku untuk menyiksa Nora. Semua ini disebabkan ayahnya tidak mengenang jasa tuan aku selama ini kepadanya. Bahkan dia ingin membuhuh tuan aku. Sedangkan tuan aku tidak bersalah.”

“Tidak bersalah? Kamu katakan yang tuan kamu tidak bersalah? Apakah berniat untuk merogol anak dara orang itu bukan suatu kesalahan? Apa tuan kamu bodoh tidak dapat memahami semua itu?”

“Hahahahaha…Kan ada kesempatan untuk menikmati semua ini? Jadi kenapa perlu untuk menolak. Kan lebih baik kalau dulu dia serahkan sahaja anaknya ini untuk menjadi santapan tuan aku. Kalau tak semuanya ini tidak akan berlaku.”

“Begitulah syaitan. Menghalalkan sesuatu yang haram. Memporak perandakan hidup manusia. Juga menyesatkan orang lain. Ini kali terkhir aku bertanya kepada kamu. Kamu mahu keluar atau tidak dari badan Nora?”

“Hahahahaha…Sesekali tidak akan aku keluar. Hidup dan mati aku tetap akan tinggal di dalam badannya sehinggalah dia mahu menuruti kemahuan tuan aku atau dia akan mati di tangan tuan aku nanti. Sekarang pilihan ini di tangan kamu pula. Mana yang kau pilih?”

“Kamu sengaja untuk cuba memerangkap aku. Baiklah. Sekarang aku serah kepada Allah atas segala kezaliman kamu dan tuan kamu. Selepas ini kamu berhadapan sendiri dengan Allah. Biar Allah yang menentukan sendiri dan aku berlepas tangan atas apa yang telah kamu perbuat.

Selepas itu saya melafazkan Inzhar dan kembali membaca beberapa ayat Al Quran tentang azab api neraka dan di dalam hati saya serahkan segalanya kepada Allah.

“Dengan nama Allah, Yang Memiliki arasy yang tinggi, Yang Maha Membalas segala kejahatan dan kezaliman, Yang Menguasai seluruh dan segenap makhluk, Yang Menguasai syurga dan neraka, Yang Memiliki segala bala tentera di langit dan di bumi dan Yang Maha berkuasa atas segala makhluk.

“Ya ma’syaral jin (wahai kaum jin). Aku peringatkan kalian yang berada di sini atau yang berada di dalam badan sesiapa sahaja yang ada sini. Allah berfirman;

“Wamaa kholaqtul jinna wan innsa illa liya’ buduun.”

“Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.”

“Ya ma’syaral jin. Aku peringkatkan kalian dengan ayat Al Quran ini untuk beribadah kepada Allah, berserah diri kepada Allah dan berhenti dari menzalimi sesama makhluk Allah.”

“Aku peringkatkan kalian wahai bangsa jin. Sesiapa sahaja dari kalian berada di ruangan ini atau berada di dalam sesiapa yang ada di sini, sila keluar dari badan sesiapa sahaja yang kalian ganggu. Apapun alasan kalian, kalian tidak bolleh untuk menyakiti manusia dan mencampuri kehidupan manusia.”

“Sekiranya kalian dari golongan jin islam, maka bertaubatlah kepada Allah dengan sebenar-benar taubat. Mohon ampun kepada Allah dan kepada orang yang kalian zalimi. Kemudian keluarlah dan pergilah di surau atau di masjid. Kerana di situ adalah sebaik-baik tinggal kalian. Beribadahlah dan jalanilah kehidupan sebagai seorang muslim yang beriman. Semoga Allah menerima taubat kalian dan ibadah kalian.”

“Dan sekiranya kalian daripada golongan jin kafir, jin fasiq, jin yang zalim atau dari kalangan syaitan. Semoga laknat Allah tetap berada di atas kepala kalian di mana sahaja kalian berada. Kalian juga perlu untuk keluar dari badan pesakit yang anda ganggu. Pergilah di mana berhala itu disembah. Kerana di situ adalah sebaik-baik tempat tinggal kalian.”

“Ya ma’syaral jin. Sekiranya anda diseru melalui sihir, dari azimat-azimat, wafaq-wafaq, dari penjaga diri atau penjaga rumah, dari ilmu persilatan, ilmu kebal atau ilmu batin, dari apa sahaja jenis saka keturunan dan dari apa sahaja kerana diseru oleh hamba-hamba syaitan seperti bomoh, dukun, ahli sihir dan sebagainya, kalian juga wajib untuk keluar. Keluar tanpa syarat.”

“Putuskan perjanjian kalian dengaan mereka dan keluarlah dari badan orang yang anda zalimi, sebelum laknat allah menimpa kalian. Sekiranya turun laknat allah kepada kalian semua, nescaya tidak akan ada lagi kesenangan selepas itu melainkan siksaan yang pedih untuk selama-lamanya sementara diazab di dlama neraka nanti.”

“Ukhruj ya ‘aduwallah (keluarlah musuh Allah). Ukhruj ya ‘aduwallah (keluarlah musuh Allah). Ukhruj ya syaitan (keluarlah wahai syaitan).”

Kemudian saya baca beberapa ayat dari Al Quran.
“Maka mereka dibakar api neraka dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat.” (Surah Al Mukminun: 104)

“Kelak mereka akan mengetahui ketika belenggu dan rantai dipasang di leher mereka serta diseret ke dalam air yang sangat panas, kemudian mereka dibakar dalam api.” (Surah Al Mukmin: 70-72)

“Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam kesesatan (di dunia) dan dalam neraka. (Ingatlah) pada hari mereka diseret ke neraka di atas muka mereka. (Dikatakan kepada mereka), “Rasakanlah sentuhan api neraka.” (Surah Al Qamar: 47-48)

Selepas itu syaitan yang merasuk Nor menjerit sekuat-kuat hatinya dan kedua pergelangan tangannya mula terlepas dari genggaman Adam. Syaitan itu kemudian meminta saya untuk menghentikan bacaan ayat Al Quran dari saya dan menyumpah-nyumpah kami sambil menutup kedua belah telinganya.

Saya tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh syaitan tadi. Saya tetap teruskan dengan membaca Al Quran dan Adam pula tetap berusaha untuk menahan kedua tangan Nora.

“Hentikan bacaan kamu bodoh hentikan. Aku tidak tahan.”

“Kamu keluarlah dan jangan sesekali datang lagi untuk mengganggu mereka sekeluarga.”

“Tidak. Aku tidak akan keluar. Sehinggalah kamu mengikuti titah dari tuan aku.”

“Kalau begitu kau terimalah apa sahaja siksaan dari Allah untuk mahkluk zalim seperti kamu. Semoga ini adalah penghujung kepada hayat kamu dan juga kezaliman kamu.”

Kemudian saya teruskan bacaan Al Quran saya tanpa mempedulikan apa yang berlaku pada syaitan yang merasuk Nora. Semua itu saya serahkan kepada Allah.

Setelah beberapa ketika syaitan yang merask Nora semakin lemah dan tidak seagresif tadi. Suaranya juga hampir-hampir tidak kedengaran lagi. Saya tetap meneruskan bacaan saya sehinggalah Nora kelihatan benar-benar tidak bermaya dan akhirnya lemas dan longlai tanpa mampu untuk menggerakkan bahkan jarinya sekalipun.

Setelah hampir sepuluh minit kemudian, saya hentikan bacaan saya. Saya meminta Adam untuk terus menahan kedua tangan Nora. Sebagai langkah berjaga-jaga sahaja. Saya perhatikan wajah Nora. Dia kelihatan seperti orang yang sedang nyenyak tidur walaupun wajahnya menampakan rasa keletihan yang teramat sangat.

Sementara itu saya membaca Ayat Kursiy sebanyak tujuh kali dengan suara yang kuat untuk memastikan yang syaitan tadi telah keluar dari badan Nora.

Setelah saya rasa semuanya selamat, saya meminta Adam untuk melepaskan tangan Nora dan menasihatkannya untuk terus berhati-hati. Kemudian saya meminta Adam untuk memegang kedua belah mata Nora dan membaca Ayat Kursiy sebanyak tiga kali.

Kemudian saya meminta kepada Adam untuk memanggil nama dan mengejutkan Nora. Setelah beberapa ketika Nora terjaga. Dia memandang ke arah saya dan Adam.

Lalu kemudiannya saya meminta kepada Nora untuk membaca Ayat Kursiy berulang kali. Sebagai kepastian sahaja adakah kami sedang berhadapan dengan Nora atau sebaliknya. Setelah semuanya selesai saya bertanya kepada Nora.

“Nama kamu siapa?”

“Nora.”

“Lelaki ni siapa Nora?”

“Ayah.”

“Apa yang kamu rasa sekarang?”

“Badan saya rasa ringan. Tak macam sebelum ni. Berat sangat. Rasa macam diperhati orang. Selalu terlihat pontianak, terdengar macam ada suara memanggil-manggil nama Nora, selalu rasa nak mengamuk masa lihat ayah dan mak dan rasa macam selalu nak bunuh ayah dan mak. Mak mana ayah?”

“Tu..”

Adam menunjukkan arah isterinya kepada Nora lalu Nora memandang ke arah belakangnya. Dia terkejut melihat ibunya sedang terbaring dengan kepalanya sedang berdarah. Nora bingkas bangun lalu berlari mendapatkan ibunya. Nora mula menangis tersak-esak.

“Kenapa mak ayah?”

“Tadi kamu dirasuk. Kamu mengamuk. Lepas tu kamu serang mak kamu sendiri. Kamu gigit dahi mak sampai mak kamu pengsan.”

“Nora tak tahu ayah. Nora tak sedar.”

“Tak apa Nora. Bukan salah kamu. Kamu cuma jadi mangsa manusia yang bertuhankan Iblis sahaja. Adam. Kamu tolong Nora rawat luka isteri kamu tu.”

Adam terus bergegas ke arah isterinya dan Nora. Lalu kemudian dia meletakkan kepada isterinya ke paha dan mula mengelap darah yang mula kering dari dahi isterinya. Alhamdulillah luka pada dahi isterinya tidaklah sedalam mana tetapi pada awal-awal tadi saya terkejut juga melihat banyak darah yang bercucuran keluar dari dahinya.

Setelah beberapa ketika, isteri Adam mula tersedar. Saya juga meminta kepada Adam untuk membacakan Ayat Kursiy kepadanya untuk memastikan yang isterinya tidak kerasukan. Atau paling tidakpun sebagai banteng dari serangan syaitan-syaitan yang bekerja dengan bomoh tadi.

Untuk seketika keadaan sedikit reda. Bunyi esakan tangis Nora masih kedengaran. Saya terdiam sebentar sambil pandangan mata saya jauh hingga ke penghujung langit yang kelihatan jelas dari tingkap ruang tamu yang terbuka untuk memikirkan apa lagi halangan yang akan kami tempuhi selepas ini.

Setelah beberapa ketika Adam memandang wajahnya ke arah saya. lalu saya juga memandang ke arahnya. Saya tidak pasti kenapa Adam tiba-tiba memandang ke arah saya. Tetapi sepertinya masih ada sesuatu yang membelenggu hatinya.

Saya cuma berharap dia tidak bertanya kepada saya siapa yang menampar dia mula-mula tadi. Atau jangan pula tiba-tiba dia mula kerasukan dan cuba untuk menyerang saya. sekali lagi pandangan saya menuju ke arah tingkap.

Bukan untuk memikirkan apa lagi halangan yang akan menyapa selepas ini. Tetapi untuk melarikan diri dengan cara terjun dari tingkap tersebut apabila dikejar Adam nanti.

BERSAMBUNG

COMMENTS