Parti melayu : Analisis jangka pembahagian kerusi sukar, perdamaian tidak akan berlaku

Parti melayu : Analisis jangka pembahagian kerusi sukar, perdamaian tidak akan berlaku

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik melihat hubungan tegang antara Umno dan PPBM sebagai penghalang kepada perdamaian nasional yang digesa Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.

Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia berkata, cabaran dalam perdamaian, khasnya antara Umno dan PPBM, terletak pada kompromi berbanding sikap hormat.

Asyraf baru-baru ini dilaporkan menggesa parti politik mengetepikan perbezaan masing-masing dan memfokuskan “agenda perdamaian nasional”.

“Kalau anda lihat apa yang dikatakan Umno mengenai penetapan syarat baru, ia tidak mencari perdamaian. Apa yang ia mahu ialah PPBM menyerahkan kerusi, jawatan dan kuasa. Ia tak mahu PPBM mencabarnya seperti di Sabah,” katanya kepada FMT.

Bridget Welsh.
Beliau berkata, ini membuatkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam kedudukan sukar kerana tiada banyak ruang untuk berunding.

Namun, katanya, Muhyiddin “agak cekap” dan menunjukkan beliau mampu mencari jalan penyelesaian sejak 6 bulan lalu.

“Persoalan utama sekarang ialah sama ada Umno bersedia menerima kurang sedikit daripada apa yang dimahukannya? Dan jika ia bersedia terima sekarang, bagaimana dengan esok? Berapa lama ia mampu bertahan sebelum mereka tidak berpuas hati lagi?”

Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, parti Melayu boleh bekerjasama jika mereka mempunyai musuh bersama dan percaya kerjasama akan membolehkan mereka meraih undi orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, mereka mungkin bertelagah apabila tiada musuh bersama yang kuat.

“Dalam masa terdekat, tiada parti politik Melayu yang dominan. Jumlah kerusi majoriti Melayu sudah tetap. Sekarang anda bercakap mengenai pembahagian kerusi Melayu antara 3 parti. ”

Beliau mendapati Umno, PAS dan PPBM bersaing satu sama lain dalam pilihan raya umum lalu.

“Jika mereka terus bersama, maka banyak pengorbanan perlu dibuat dan ini menjadikan perdamaian bermasalah. Itu sebabnya saya tak nampak ada parti politik Melayu yang dominan.”

Beliau berkata, antara pengorbanan itu ialah kesediaan 3 parti Melayu itu kehilangan identiti masing-masing untuk menjadi sebuah entiti besar.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania, tidak melihat sebarang perdamaian akan berlaku kerana walaupun Umno berada di tahap paling kuat, undi Melayu berpecah dengan PAS.

Sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/21/perdamaian-politik-antara-parti-melayu-sukar-kata-penganalisis/

COMMENTS