Kisah Seram Hantu Tinggi Bahagian Pertama

Kisah Seram Hantu Tinggi Bahagian Pertama
CERITA 53
HANTU TINGGI
BHAGIAN PERTAMA
Sepertinya pada malam itu suasana agak suram.
Dingin malam semakin utuh merasuk pada liang-liang roma. Wan dan Min pada ketika itu saling berpandangan.
Mereka sama-sama cuba untuk mencari jawapan pada pertanyaan yang saya suarakan sebelumnya.
Oleh kerana tiada jawapan yang muncul dari mulut keduanya, lalu saya ulangi sekali lagi pertanyaan tadi.
“Apa betul kamu berdua melihat hantu tu? Wan? Min? Aku cuma nak kepastian saja.”
“Betul cikgu. Kami berdua masih waras lagi. Bukan rekaan cikgu. Kami tak bohong.”
“Aku tak katapun yang korang berdua ni menipu. Cuma aku nak pastikan sahaja apa yang korang lihat tu tipu daya jin atau khayalan. Itu saja.”
“Apa cikgu masih tak percaya ke?”
“Aku dah kata tadi. Aku cuma nak kepastian saja. Dalam soal ni aku tak kata aku percaya ke tak.”
“Kami tak faham cikgu. Apa yang cikgu fikirkan sebenarnya? Jadi macamana sekarang cikgu?”
“Ok. Korang berdua rilek je dulu. Tak payah nak fikir apa yang tengah aku fikirkan.”
“Baik cikgu.”
Selepas itu kami bertiga terdiam sebentar. Wan dan Min tetap memandang ke arah saya sedangkan saya masih lagi memikirkan apa yang berlaku kepada mereka berdua.
Saya mengenal Wan dan isterinya Min memang sudah agak lama. Mungkin dalam sekitar pertengahan tahun 90 an. Pada ketika itu kami aktif dan sering terlibat dengan program Rakam Muda di bawah anjuran Belia dan Sukan cawangan Bintulu.
Sehinggalah beberapa tahun kemudian Wan dan Min saling jatuh hati dan akhirnya menikah. Dan saya pula pada ketika itu mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran di Madrasah Al Quran Bintulu. Sebab itulah kenapa bahasa saya agar kasar kepada mereka berdua.
Semuanya kerana kami telah kenal agak lama dan memahami hati budi masing-masing. Walaupun suatu ketika dulu mereka berdua inilah yang selalu mengusik saya dan mengatakan yang saya akan menjadi ustaz tukang sembelih ‘manok’ (ayam) suatu hari nanti.
“Wan, Min. Korang cerita balik apa yang berlaku petang semalam.”
Wan dan Min saling berpandangan. Setelah berbincang sebentar, Min meminta Wan untuk menceritakan kembali apa yang berlaku pada petang sehari sebelumnya walaupun baru sahaja sebentar tadi Wan telah menceritakan segalanya kepada saya.
“Begini cikgu.”
“Kau tak payah panggil aku cikgu Wan. Panggil Malik je. Macam tak biasa.”
“Ok Malik. Macam ni. Petang semalam selepas solat asar aku dan Min nak pergi ke kebun kitorang kat simpang Taman Negara Similajau tu. Tapi dalam sedikit.”
“Maksud kau dekat dengan Taman Negara Similajau ke?”
“Bukan..Bukan..Taman Negara tu kat hujung sekali. Kebun kitorang ni dekat tepi jalan besar nak ke Miri tu. Cuma perlu masuk ke dalam simpang nak pergi taman negara tu. Jarak dari jalan besar ke kebun kitorang dalam beberapa km je. Kereta kena letak kat luar. Lepas tu jalan kaki dalam dua tiga minit terus sampai kat dalam kebun kitorang.”
“Ok. Lepas tu Wan?”
“Lepas asar tu aku dan Min terus berangkat ke kebun dari rumah kitorang kat R.P.R Kidurong. Sepanjang perjalanan tu tak ada apa-apa yang berlaku. Sama jugak masa dah sampai kat kebun tu. Tak ada apa yang berlaku. Aku dan Min macam biasa. Bakar rumput-rumput kering. Lepas tu tengok-tengok mana buah-buahan atau sayur yang dah masak tu kami nak bawak balik ke rumah. Cuma satu benda yang aku dan Min rasa macam pelik sikit.”
“Apa dia Wan?”
“Masa kat kebun tu kami rasa macam ada orang perhati. Sebelum ni kami langsung tak pernah rasa macam tu Malik. Lepas tu kadang-kadang kitorang macam nampak ada bayangan orang. Tapi badannya tinggi. Lepas kitorang perhati bayang orang tinggi tu tiba-tiba je bayang tu hilang. Kitorang ada jugak dengar macam suara orang berbisik tapi suara tu maam tinggi kat puncak pokok. Tapi suara tu bukan menjerit. Suara tu macam orang sedang berbisik. Jadi semua ni macam peliklah sebab macamana kita boleh dengar suara orang tu berbisik sedangkan bunyi orang berbisik tu kat atas pokok.”
“Ada dengar suara angjing menyalak tak?”
“Macamana kau tau ada bunyi anjing menyalak?”
“Aku tanya je.”
“Haah. Ada Malik.”
“Dua ekorkan?”
“Betul Malik. Memang bunyi suara ajing tu dua ekor. Macamana kau tau?”
“Lepas tu korang buat apa?”
“Mula-mula kami tak kisah sebab sebelum tu ada jugak kami terserempak dengan beberapa ekor anjing liar yang masuk ke kebun kitorang. Cuma ada suatu perkara yang berlaku Malik. Mungkin kau tak percaya.”
“Kau cerita dulu. Percaya ke tak nanti kita bincang kemudian.”
“Ok. Masa aku tengah potong ranting-ranting pokok tu tiba-tiba Min panggil aku. Masa tu Min tengah kutip sayur-sayur kat tepi belukar dalam kawasan kebun kitorang jugak. Belukar tu aku ‘plan’ nak tebang dua minggu lagi sebenarnya. Alang-alang tunggu sayur yang Min tanam tu masak semuanya dulu. Lepas kutip semua barulah aku potong semua belukar kat situ. Lepas tu masa aku sampai kat tempat Min tu tiba-tiba Min tunjukkan kat aku sesuatu. Masa lihat tu aku tak adalah terkejut sangat. Cuma aku hairan kenapa tiba-tiba ada dua batang pokok nibong kat kebun kitorang dan siapalah yang letak kat situ dan apa tujuannya. Yang peliknya jugak batang nibong tu tak macam batang biasa. Yang ni lebih besar. Lebih kurang sebesar paha kita ni. Lepas tu aku dan Min tak nampak mana hujung mana pangkal batang nibong tu.”
“Batang pokok Nibong dua batang?”
“Haah.”
“Macamana lagi rupa bentuk batang nibong tu?”
“Macam aku kata tadi, batang pokok nibong tu yang peliknya saiznya lebih besar dari biasa. Warnanyapun tak sama macam nibong biasa. Warna lebih hitam dan berkilat. Lepas tu aku malas nak cakap banyak. Aku ambik parang kat tepi pinggang aku lepas tu aku nak potong kecik-kecik supaya dapat Min lalu kat situ nak ambik sayur-sayur yang kitorang tanam tu. Sampai je kat situ aku aku terus hayunan parang aku dan aku terus potong salah satu dari batang nibong tadi. Zap…..Tapi. Lepas tu..”
“Lepas tu apa?”
“Aku dan Min terkejut babi.”
“Apahal kau sebut babi? Biasanya orang sebut terkejut beruk?”
“Kan terkejut babi ni lebih teruk dan lebih terkejut lagi dari terkejut beruk Malik?”
“Ooo. Ok. Ok. Logik. Logik. Lepas tu?”
“Kau tau tak? Lepas aku tetak je salah satu dari batang pokok nobong tu sekuat hati, tiba-tiba kitorang terdengar bunyi suara macam orang mengeluh dan kitorang lihat dengan mata kepala kitorang sendiri yang batang pokok nibong tu terangkat ke atas dan berlipat dua. Kau tau tak? Ternyata batang pokok nibong tu adalah sepasang kaki hantu. Pastu dia mula hentak-hentak kaki dan pijak-pijak sekeliling kitorang. Nasib baik aku dan Min tak kena pijak. Lepas tu kami terdengar bunyi suara anjing tadi menyalak betul-betul dekat dengan kami berdua tapi tak ada jugak bayangan anjing tu kat sekeliling kitorang. Tapi macam seekor je bunyi ajing tu masa tu. Yang seekor lagi kitorang tak tau kat mana.”
“Lepas tu?”
“Apa lagi. Lepas tu kitorang larilah. Semua barang kitorang tinggalkan je kat kebun tu. Tak sempat nak ambik. Mana tak. Bunyi anjing menyalak tu betul-betul dekat dengan kitorang. Cuma bayangan anjing tu je yang tak nampak. Tapi suara anjing tu betul-betul kuat Malik. Rasa nak pekak telinga. Masa aku dengan Min lari keluar dari kebun tu aku rasa kitorang macam dikejar anjing yang sangar besar. Rasa-rasa tinggi anjing tu lebih kurang tinggi kita manusia dewasa ni.”
“Kau tengok ke anjing tu masa tu?”
“Tak. Aku teka je berdasarkan masa kitorang lari tu suara anjing tu separas kepala aku. Sampai je kat kereta kitorang terus pecut balik ke rumah. Masa tu aku tak dapat nak bawak laju sangat sebab masa tu remang-remang senja dah. Haripun dan makin gelap.”
“Nasib baik yang kejar korang tu seekor je.”
“Kenapa pulak?”
“Kalau seekor lagi kejar korang aku tak taulah korang boleh selamat ke tak.”
“Allah Rabbi. Kenapa boleh macam tu?”
“Macam ni. Aku tak tau betul ke tak.
Biasanya hantu yang ganggu korang tu kata orang tua-tua dulu ada membela dua ekor anjing. Sebenarnya jarang manusia akan terlepas dari anjing yang pertama tu. Tapi kalau terlepas jugak barulah hantu tu akan lepaskan anjingnya yang kedua. Masa tu kata orang dulu-dulu memang tak akan ada peluang nak lari dah. Mungkin mati dimakan atau digigit-gigit oleh anjing kedua tu. Tapi tu kata orang tua dulu-dulu. Aku tak pernah lagi dengar manusia boleh lepas dari anjing kedua ni. Dan aku tak pernah dengar lagi atau tengok ada orang mati dimakan anjing peliharaan hantu ni. Betul tak betul aku tak tau. Itu cerita orang tua. Bukan cerita aku.”
“Jadi Malik. Kau percaya tak apa yang kitorang alami semalam tu?”
“Aku percaya Wan. Sebelum nipun ada jugak beberapa orang yang diganggu lebih kurang sama kes macam korang jugak. Pernah juga orang lain terserempak syaitan yang menjelma dalam bentuk hantu jenis ni dekat kebun-kebun diorang. Korang nampak tak badan hantu tu?”
“Tak. Tak nampak. Aku cuma nampak sepasang kaki panjang macam galah. Sebijik macam batang pokok nibong. Aku rasa badannya tinggi sampai badannya tertutup dengan daun-daun pokok. Sebab tu tak nampak.”
“Sayang betul. Kalau tak boleh jugak aku tau hantu tu kepala dia dongak ke atas atau tak.”
“A…A…Aku nampak Malik.”
“Kau nampak apa Min?”
“Kepalanya dongak ke atas. Aku sempat tengok masa Wan libas parangnya kat kaki hantu tu. Yang macam batang nibong yang terlentang kat tempat aku nak ambik sayur tadi. Lepas Wan libas tu aku sempat tengok kaki hantu tu berlipat dua ke atas. Lepas tu dari sebelah kanan aku aku sempat tengok badannya terangkat dan kepalanya dongak ke atas. Masa tu aku baru tahu yang hantu tu sebenarnya tengah baring. Tapi aku sendiri tak tahu kenapa aku rasa macam baru ingat je benda ni.”
“Benda apa?”
“Yang aku tengok kepala hantu tu tadi.”
“Tadi kau tak ingat ke?”
“Tak.”
“Ok. Tak apa Min. Wan, ada apa-apa kau nak tanya?”
“Kalau menurut kau Malik apa benda yang ganggu kami tu?”
“Mungkin hantu tinggi Wan.”
“Hantu tinggi?”
“Haah. Tapi tu nama saja. Tak pernah Allah jadikan jin jenis hantu tinggi ni. Allah cuma ciptakan jin dari api. Cuma syaitan tu yang menukar bentuknya menjadi hantu tinggi atau jenis hantu-hantu lain dengan izin Allah. Firman Allah;
“Dan Allah menciptakan jin dari kobaran api.” (Surah Ar Rahman: 15)
“Kemudian dengan izin Allah jin itu boleh mengubah bentuknya dalam keadaan tertentu berdasarkan fahaman tradisi masyarakat setempat. Kalau di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei hantunya lebih kurang je bentuk. Mungkin dengan izin Allah itulah bentuk syaitan menampakkan diri kepada manusia dalam bentuk-bentuk tertentu mengikuti acuan Nusantara. Jin dan syaitan ini kita tak akan dapat lihat dalam bentuk asalnya. Firman Allah;
“..Sesungguhnya dia dan pengikutnya melihat kamu, dari sesuatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka.” (Surah Al A’raf: 27)
“Tetapi jin dan syaitan ini juga boleh menampakkan diri kepada manusia. Menurut pendapat Ibnu Hajar macam ni..”
“Syaitan terkadang menjelma dengan berbagai bentuk sehingga memungkinkan (bagi manusia) untuk melihatnya.” (FATHUL BARI)
“Berdasarkan semua ini, mungkin ada sesuatu yang terjadi kepada kamu dan Min Wan. Takpun mungkin salah satu dari keluarga kamu berdua.”
“Maksud kamu Malik?”
“Aku rasa salah seorang di antara kamu dan Min mungkin ada diganggu oleh syaitan.”
“Aku tak faham Malik. Kalau aku atau Min ada gangguan, kenapa sebelum ini kitorang tak pernah rasa diganggu?”
“Tak diganggu tak bermaksud gangguan tu tak ada. Belum tentu kalau kau dan Min dibacakan Al Quran korang berdua tak ada apa-apa reaksi.”
“Sebab tulah kitorang datang ke sini Malik. Kitorang nak mintak tolong kau. Tolong tengok kalau-kalau kitorang ada gangguan. Boleh tak kau tolong Malik?”
“Insyaallah boleh Wan.”
“Tapi sebelum tu aku nak tau kenapa semua ni berlaku dan apa sebenarnya yang terjadi Malik. Berdasarkan apa yang kau tahu.”
Saya terdiam sejenak sambil memandang ke luar Bangunan Martabat. Suara teriakan beberapa orang pesakit yang dibawa dari Ladang jalan lama Bintulu Miri langsung tidak menganggu tumpuan saya.
Kesemua pesakit dari ladang seramai tujuh orang yang kerasukan sedang dirawat oleh kawan-kawan saya yang lain. Kebetulan mereka seramai tujuh orang tadi dirasuk setelah membunuh seekor ular hitam yang bergaris dua berwarna putih di bahagian belakang badannya yang tiba-tiba muncul di tepi longkang pejabat utama.
Biar kawan-kawan saya yang menyelesaikan masalah mereka dan saya pula masih lagi menelusuri jalan keluar dari permasalahan Wan dan Min.
“Beginilah Wan, Min. Sebelum tu aku nak tanya korang berdua. Korang jawab lepas soalan terakhir nanti.”
“Ada tak korang berdua mimpi ular..”
“Ada Malik.”
“Aku belum habis tanya lagi Min. Tunggu dulu. Dengar je dulu.”
“Ada tak korang berdua mimpi ular, mimpi ada seseorang beri barang, menyusu kucing, berat kat tengkuk, rasa boleh tahu sesuatu akan berlaku, sakit kat Rahim rasa macma kena belit ular? Ok. Korang boleh jawab sekarang. Wan..?”
“Aku takda Malik. Semua tanda-tanda tu aku takda.”
“Kau Min?”
“Aku rasa semua tu aku ada kat Malik.”
“Ok Min. Jadi kalau ikut kesimpulan sementara kamu yang ada gangguan Min. Wan mungkin takda.”
“Camna kau tau Malik?”
“Dari tanda gangguan jin yang aku tanya tadilah Min.”
“Tapikan sebelum ni aku rasa dah tiga kali kau ruqyah aku tapi aku langsung tak histeria ke muntah ke menangis ke. Aku ok je Malik.”
“Betul Min. Aku tau. Dan aku tau gangguan tu tak ada dekat kau.”
“Lepas tu kenapa kau kata tadi mungkin aku yang ada gangguan?”
“Aku kata mungkin. Bukan ‘confirm’ ada gangguan.”
“Aku tak faham Malik. Aku takut..”
“Sebenarnya aku rasa bukan kau yang ada gangguan Min tapi keluarga kau.”
“Maksud kau apa?”
“Aku rasa keluarga kau ada gangguan saka.”
“Saka? Allahu Rabbi. Betul ke Malik?”
“Aku rasa jelah. Tak semestinya betul.”
Min kembali terdiam. Dia memandang ke arah Wan yang duduk di sebelahnya. Kelihatan jelas air jernih bergenang di kelopak matanya.
Wajah Min sedikit kemerahan. Garis kerut di dahinya juga menggambarkan betapa bebanan yang terpaksa dia tanggung ini akan menghantui seluruh hidupnya nanti.
Inilah salah satu sebab kenapa saya tidak suka untuk menceritakan apa yang berlaku pada pesakit walaupun saya dipaksa untuk menjelaskan apa yang berlaku.
Saya tidak mahu untuk melihat mereka sedih. Apa lagi setelah mengetahui semuanya dari mulut saya sendiri. Walaupun semua perkara ini adalah benar.
“Min, jangan bersedih ok? Kau dan Wan dah lama kenal dengan aku. Kita dah lama berkawan. Insyaallah aku akan tolong kau.”
“Boleh kau tolong aku Malik?”
“Insyaallah aku akan tolong.”
“Boleh tak kau tolong buang benda ni? Aku tak nak benda ni hidup dengan keturunan kitorang. Dulu kau pernah bagitau aku keluarga yang ada gangguan saka ni biasanya keluarga tu akan hidup tunggang langgang. Banyak masalah dan masalah datang tak putus-putus. Apa yang kau kata tu betul Malik. Sekarang ni keluarga sebelah aku ramai yang macam tu. Keluarga sebelah Wan ok je. Kadang-kadang aku dengan Wan selalu jugak bergaduh. Biasanya aku yang mulakan dulu. Hal kecikpun aku boleh naik mengamuk. Alhamdulillah Wan banyak bersabar dengan karenah aku.”
“Ok Min. Aku faham. Cuma kebiasaannya saka ni ada barang perantaraan sebagai perjanjian. Mungkin kau pernah dengar cerita dari mak bapak atau datuk nenek kau dulu pasal benda ni Min.”
“Aku tau Malik. Aku rasa memang ada. Mak aku pernah bagitau yang dulu arwah atuk seorang bomoh. Dia ada pelihara hantu tinggi untuk tolong bawa atuk ke mana-mana atuk nak. Lepas tu atuk ada simpan cincin dari batang nibong muda. Cincin tu arwah atuk dapat masa bertapa kat tepi laut Similajau selama sebulan. Sebab tulah aku percaya keluarga aku ada saka dan aku rasa cincin batang nibong tu mungkin barang perantaraan perjanjian tu.”
“Ui..Tak pernah lagi aku dengar orang bertapa kat tepi laut Min. Kalau kat hutan, gua tu biasalah.”
“Betul Malik. Akupun tak pernah dengar jugak sebelum tu. Tapi aku dengar cerita ni dari mak aku sendiri. Tapi cerita atuk dapat cincin tu aku masih ingat lagi sampai sekarang.”
“Macamana ceritanya?”
“Macam ni. Mak bagitau masa arwah atuk bertapa kat tepi laut dulu atuk tak boleh beganjak dari tempat atuk duduk dan atuk cuma boleh makan ranting kayu, daun-daun atau apa-apa je yang ada atau apa saja yang berterbangan di sekeliling atuk. Atuk kena duduk je selama sebulan-bulan tu. Tak boleh nak pergi mana-mana. Berak kencingpun kat situ jugak. Dalam keadaan bersila. Pada malam terakhir atuk bertapa tu atuk bertapa macam biasa. Cuma menunggu beberapa jam lagi nak subuh. Kira lepas masuk waktu subuh je maka tamatlah atuk bertapa dan atuk akan mewarisi ilmu perbomohan ni. Lebih kurang macam tulah.”
“Lebih kurang sejam lagi nak subuh, tiba-tiba atuk terkejut apabila air laut yang tenang depan atuk tiba-tiba berkocak. Pada mulanya atuk takut jugak. Mana taknya. Tiba-tiba dari arah air laut yang berkocak tu tiba-tiba muncul hantu. Kata mak hantu tu setinggi pokok kelapa dewasa. Tinggi lagi dari tu kata mak. Hantu tu perlahan-lahan datang kat atuk. Matanya besar, merah. Mak kata masa hantu tu berdiri depan atuk, tinggi atuk yang dalam keadaan duduk tu cuma setinggi buku lali hantu tu je. Lepas tu hantu tu duduk betinggung depan atuk. Tangannya dibuka seluas-luasnya lalu kemudian tapak tangannya diterbalikkan dan menghadap ke bawah.”
“Lepas tu atuk terkejut apabila semasa memandang ke atas, tiba-tiba dahi atuk macam terkena suatu benda yang sangat panas. Sampaikan dahi atuk melecur. Tapi atuk tetap tidak berganjak. Benda tu akhirnya jatuh tepat di hadapan atuk dan setelah atur teliti, ternyata benda tu adalah cincin dari batang nibong dan atuk ambik cincin tu dan atuk sarungkan pada jarinya. Sampai melecur jari atuk akibat panasnya cincin tu tadi dan cincin itulah atuk gunakan untuk merawat pesakit selepas tu. Menurut mak, atuk akan rendamkan cincin tu ke dalam air dan air tu diberi minum pada pesakit atau bekas air tadi disiram pada badan yang sakit, lepas tu pasti pesakit tu akan sembuh dan seolah-olah macam tak pernah sakitpun sebelum tu.”
“Dulu atuk memang terkenal dengan suka membantu orang sakit. Atuk tak pernah mintak orang ambik dia di rumah dan atuk sendiri yang akan datang ke rumah pesakit. Yang peliknya jauh macamana sekalipun rumah pesakit tu atuk akan sampai dalam masa lebih kurang beberapa minit je. Mak juga pernah cerita pernah suatu ketika dulu ada keluarga pesakit dari Kampung Labang mendayung sampan ke Bintulu untuk mintak tolong atuk mengubat keluarga diorang yang sakit. Setelah hampir sehari semalam mendayung sampan dan akhirnya mereka sampai ke rumah atuk, nenek cuma bagitau diorang yang atuk pesan supaya diorang balik je sebab atuk dah sampai kat Kampung Labang. Diorangpun terpinga-pinga lalu balik semula ke kampung. Sampai di kampung diorang ni tadi terkejut sebab keluarga diorang yang sakit tadi dah sembuh dan tengah menunggu dan menyambut diorang kat tepi sungai. Atuk pula dah balik masa tu.”
(Kampung Labang ini terletak lebih kurang 96 km dari Bandar Bintulu. Suatu ketika dulu sungai merupakan jalan penghubung utama penduduk Kampung Labang untuk ke Bintulu sebelum adanya laluan jalan raya)
“Pernah jugak mak cerita dulu. Ada orang kat seberang datang ke rumah lepas isya. Nak mintak tolong atuk ubat orang kena sampuk. Atuk suruh diorang balik dulu. Diorang kata diorang disuruh untuk jemput atuk sekali. Atuk kata tak payah susah-susah nak jemput. Nanti atuk akan ke seberang seorang diri. Tapi atuk suruh juga diorang balik sendiri. Tak payah tunggu atuk. Lepas tu diorang pun balik. Sampai di rumah ke diorang terkejut sebab atuk dah sampai seberang dan baru habis merawat keluarga diorang yang tersampuk tadi. Aku pernah tanya mak macamana atuk boleh sampai cepat. Mak kata atuk akan mintak hantu peliharaannya tolong hantar ke sebarang. Maksudnya atuk akan naik atas tapak tangan hantu tu dan hantu tu akan meredah sungai lalu tangannya didepa ke hadapan. Lepas tu atuk sampailah ke seberang. Hantu tu cuma meredah sungai dan berjalan beberapa langkah je terus sampai seberang. Tak pun sampai terus ke rumah orang sakit tadi. Mak kata kalau Sungai Kemena tu cuma sebatas paha hantu tu je.”
(Sungai Kemena atau Batang Kemena ialah sebatang sungai di Bahagian Bintulu. Sungai ini mengalir melalui Sebauh hingga ke Bintulu dan sering digunakan untuk mengangkut kayu balak dan minyak dari kawasan pedalaman. Pada asalnya, Sungai Kemena ini dikenali sebagai Sungai Bintulu sehinggalah sebelum merdeka. Namun setelah Bintulu dinaiktaraf dari sebuah pekan dan diistiharkan menjadi salah satu bahagian dalam Negeri Sarawak, nama Sungai Bintulu ini telah ditukar nama menjadi Sungai Kemena)
“Aku tak tau sejauh mana kebenaran cerita ni. Aku pernah tanya mak aku macamana atuk boleh sampai cepat ke rumah pesakit tu sedangkan jarak dari Bintulu ke Kampung Labang tu lebih kurang dalam 96 km macam tu. Mak cuma bagitau yang hantu peliharaan atuk tu yang hantar. Mak tak tau banyak pasal hantu peliharaan atuk tu sebab cuma tu yang atuk bagitau kat mak dan adik beradik mak yang lain. Yang mak tau hantu tu tinggi. Tu je. Sampailah suatu hari selepas sekian lama atuk merawat pesakit dengan menggunakan cincin batang nibong dan hantu peliharaan atuk tu, tiba-tiba berlaku sesuatu yang menyebabkan atuk jadi terlalu takut. Takut setengah mati. Kata mak dalam hidup atuk tak pernah lagi mak lihat atuk ketakukan macam tu sekali sampai atuk deman beberapa minggu, meracau, menangis dan ketawa macam orang gila.”
“Kenapa dengan atuk kamu Min?”
Min kembali terdiam. Sepertinya dia sedang cuba untuk mengingati kembali apa yang berlaku pada datuknya berdasarkan apa yang diceritakan oleh datuknya sendiri kepada ibunya beberapa hari sebelum datuknya meninggal dunia.
Semuanya mula terbayang pada fikiran Min. satu persatu. Tanpa ada yang terlepas dari bayangan fikirannya. Untuk seketika saya biarkan sahaja Min melayan fikirannya. Kerana semua jawapannya pasti ada di situ nanti.
Min terus terdiam. Sambil matanya cuma tertumpu pada tingkap pusat rawatan kami. Untuk beberapa minit Min terus memandang ke arah sana. Fikirannya melayang. Jauh melayang. Lalu pandangan pada tingkap tadi tiba-tiba hilang dan digantikan dengan suasana malam yang gelap.
Kisah yang pernah diceritakan oleh ibu Min kembali bermain di fikiran Min. semuanya jelas. Bahkan pada setiap detik apa sahaja yang berlaku. Lalu Min mula menyusun ayat dan bercerita kepada saya. Sambil jiwanya melayang mencari kisah yang telah lama hilang itu.
Datuk Min memandang ke arah langit. Bintang-bintang yang tadinya bergemerlapan tiba-tiba sirna. Lenggok awan juga mulai hilang di sebalik langit yang suram. Malam itu datuk Min terpaksa ke kampung seberang.
Katanya ada keluarga di seberang sana disampuk penunggu hutan Bukit Nyabau selepas cuba untuk membunuh seekor rusa putih semasa sedang memburu.
Seminggu lebih juga lelaki itu mengamuk dan mengigit lidahnya sendiri sehingga hampir putus dan keluarganya terpaksa merantai kedua tangan dan kakinya di tengah ruang tamu rumah sambil mulutnya disumbat dengan batang pisang tua agar setiap kali dia cuba untuk menggigit lidahnya, dia akan menggigit batang pisang tua itu tadi.
Datuk Min mula berjalan ke hutan di hujung kampung. Pada ketika itu tidak ada sesiapa yang tahu kenapa datuk Min menuju ke sana dan apa tujuannya. Jam juga masih lagi awal. Lebih kurang sejam lebih setelah azan isya berkumandang dari masjid yang terdekat.
Sesampainya di hujung kampung, datuk Min terpaksa menaiki anak bukit. Pelita kecil di tangannya cuma mampu untuk menerangi beberapa meter sahaja kawasan sekeliling. Datuk Min berhenti di situ dan cuba untuk mencari sesuatu.
Setelah beberapa ketika datuk Min mula mengeluh. Tidak pernah sebelumnya terjadi masalah seperti ini. Bagi datuk Min inilah kali pertama semua ini berlaku. Lalu sedikit demi sedikit perasaan marah mula menguasai diri datuk Min.
“Mana pulak Si Nibong ni. Tak pernah pulak dia lambat macam ni. Kan dia tau aku nak ke rumah pesakit kat seberang malam ni. Nanti pandai-pandailah aku ajar Si Nibong ni. Kalau tak nanti dia dah pandai nak melawan aku.”
Datuk Min kembali melangkah. Cuma kali ni datuk Min terpaksa meredah agak jauh ke dalam hutan. Gelap malam tidak menghalang datuk Min untuk memperlahankan langkahnya.
Apa lagi pelita kecil di tangannya masih mampu untuk menyinari jarak beberapa langkah di hadapannya.
Bunyi cengkerik dan unggas hutan langsung tidak dihiraukan oleh datuk Min. Daun-daun kering yang kebasahan disiram oleh embun malam kelihatan jelas melekat di bahagian tepi terompah kayu yang digunakannya.
Baju melayu cekak musang berwarna kuning mula sedikit demi sedikit kotor kerana berlaga dengan ranting dan kedaunan yang basah yang melekat pada ranting pohon yang rendang di sekelilinya.
Sehinggalah apabila beberapa minit kemudian, dari kejauhan datuk Min terdengar bunyi lolongan dua ekor anjing yang merintih bersahutan.
Datuk Min kenal benar dengan suara anjing tersebut. Kedua anjing itulah yang selalu menemani ‘Si Nibong’, hantu tinggi peliharaan datuk Min.
Datuk Min cuma mengikuti bunyi suara lolongan rintihan kedua anjing tadi walapupun sepertinya masih agak jauh lagi untuk masuk ke dalam hutan.
Tetapi semua itu tidak menjadi masalah bagi datuk Min kerana datuk Min ingin secepat mungkin sampai ke rumah keluarga yang berhajat kepadanya di kampung seberang sungai itu tadi.
Setelah beberapa ketika ahirnya datuk Min ternampak dari kejauhan Si Nibong, hantu tinggi peliharaannya tadi. Tetapi pada ketika itu hantu tinggi itu masih lagi duduk sambil memandang ke langit sambil tangannya memegang dan mulutnya pula sedang mengunyah sesuatu.
Datuk Min tersenyum. Dia tau hantu tinggi peliharaannya itu sedang menikmati makan malamnya. Patutulah Si Nibong ini sedikit lewat pada malam itu sehingga datuk Min terpaksa mencarinya jauh ke dalam hutan.
Di tangan Si Nibong pada ketika itu kelihatan seperti paha seekor lembu. Darah merah yang segar masin lagi mengalir dari celah kulit dan daging lembu yang dilahap rakus oleh SI Nibong tadi.
Dia melahapnya dengan gelojoh sehingga jelas terdengar bunyi tulang paha lembu tu hancur dikunyah bersama daging paha lembu yang dimakannya tadi.
Tidak seperti kebiasaannya kerana biasanya hantu tingginya itu akan berdiri mendongak langit sambil menunggu arahan dari datuk Min untuk membawanya ke mana-mana sambil sesekali hantu tinggi nya itu akan menggerak-gerakkan sedikit kedua belah kakinya yang dipenuhi dengan bulu kakinya yang tajam dan keras seperti duri batang nibong.
“Kat sini rupanya kau Nibong. Dah puas aku cari engkau. Lekas. Makan cepat. Kita nak ke seberang lagi lepas ni. Aku tak nak lambat sampai ke sana. Aku tak nak orang tunggu kita.”
Si Nibong sepertinya memahami apa yang ditakakan oleh tuannya iaitu datuk Min. Lalu dengan lahapnya dia menelan sisa-sisa daging dan tulang di dalam mulutnya. Datuk Min cuma memerhati sahaja hantu tinggi peliharaannya menghabiskan sisa makanannya sambil mencekak pinggang.
Datuk Min langsung tidak merasa takut. Bahkan dia tersenyum gembira melihat Si Nibong sedang menikmati juadah malamnya. Datuk Min juga sempat memerhati Si Nibong cua meraba-raba pada tanah untuk mencari sisa-sisa daging lembu yang belum lagi dimakannnya.
“Cepat Nibong. Lekas. Habiskan sisa makananmu. Aku tunggu. Kau jangan risau ya. Dari manalah kau dapat daging lembu ni Nibong. Lembu siapalah yang kau curi tadi. Entah-entah esok ada orang kampung yang minak aku carikan lembu mereka yang hilang yang kau makan tu. macamanalah aku naka jawab nanti. Hahahahaha..”
Si Nibong cuma menganguk sekali dua. Sepertinya ia juga memahami apa yang dikatakan oleh datuk Min. Lalu dengan pantas hantu tinggi peliharaan datuk Min meraba dan mengambil sisa- sisa daging di sebelahnya lau diangkat tinggi-tinggi sebelum dimasukkan ke dalam mulutnya.
Dan pada ketika itu jugalah datuk Min terkejut. Sangat-sangat terkejut sehingga runtuh keseluruhan jiwa pemberaninya selama ini. Ternyata apa yang dilihat melalu mata kepalanya sendiri itu bukanlah daging lembu yang entah dari mana datangnya.
Tetapi apa yang dilihatnya itu ternyata adalah separuh dari badan manusia yang telah terputus dua. Segala darah segar, isi perut dan tulang temulang juga kelihatan jelas masih utuh melekat dan menyatu bersama kulit dan daging serta sisa isi daging dan darah-darah tadi mula jatuh membasahi bumi.
Dan kepala manusia itu masih lagi melekat pada badannya. Di hadapan mata datuk Min sendiri hantu tinggi itu memegang pada bahagian kaki dan badan lalu memutusnya menjadi dua bahagian. Lalu darah sedar dari sosok tubuh manusia itu tadi terpercik dan terkena pada wajah datuk Min.
Setelah melahap pada bahagian kaki, hantu tinggi itu kemudiannya cuba untuk menikmati pula bahagian badan dan kepala manusia itu. Datuk Min sempat melihat pada wajah yang terpampang pada kepala manusia yang menjadi samtapan malam hantu tinggi itu tadi.
Kepala manusia itu seolah-olan memandang ke arah datuk Min seolah-olah dia masih lagi hidup. Dari pandangan wajahnya dia sepertinya ingin meminta datuk Min melepaskannya dari siksaan yang tidak tertanggung peritnya itu.
Dan sekali lagi datuk Min sangat-sangat terkejut kerana dia benar-benar kenal dengan lelaki itu. Lelaki itulah adalah guru kepada datuk Min. Dia jugalah yang menyerahkan hantu tinggi kepunyaannya itu untuk dijaga oleh datuk Min.
Tetapi apa yang berlaku di depan matanya benar-benr meluluh lantakkan jiwa lelakinya selama ini. Semuanya rapuh dan hilang serta merta. Datuk Min sempat membayangkan apa yang bakal terjadi kepadanya suatu hari nanti.
Kalaulah gurunya sendiri diperlakukan sedemikian rupa oleh hantu tinggi yang dijaga dan dibelainya saban hari, inikan pula datuk Min yang cuma memanfaatkan kekuatan dan kelebihan hantu tinggi warisan gurunya sendiri kepadanya untuk kepentingannya sendiri.
Semuanya terbayang di fikiran datuk Min. Bagaimana dia juga akan diperlakukan seperti itu suatu hari nanti. Dia juga akan mati setragis itu. Bahkan mungkin lebih teruk lagi keadaannya.
Semuanya itu berlaku dalam sekelip mata sahaja. Kini rasa ketakutan mula menguasai diri datuk Min. tidak pernah lagi dia merasakan seperti itu sepanjang hidupnya. Keseluruhan badannya menggigil.
Sekarang datuk Min mula hilang pertimbangan akal warasnya. Ketakutan mula menguasai jiwanya. Tiba-tiba sahaja hantu peliharaannya berhenti mengunyah dan dengan perlahan dia memandang ke arah datuk Min.
BERSAMBUNG
p/s:
Alhamdulillah. Berkesempatan jugak untuk berjumpa dengan salah seorang pengkritik tulisan cerita saya selama ini iaitu Colnagoc Mohd atau Abang Z. Banyak ilmu yang saya dapat dari Abang Z. Semoga Allah merahmati Abang Z.
Juga sebelum terlupa, saya nak meminta izin dari Kak Nani Izzati untuk menggunakan pic Sungai Kemena Bintulu dari fb beliau https://www.facebook.com/NurInnaniIzzatiuntuk tatapan kawan-kawan semua. Semoga Allah juga merahmati Kak Nani Izzati sekeluarga. Amin.

COMMENTS