Kantoi !!! Najib, Zahid Sokong Kerajaan Anwar

Kantoi !!! Najib, Zahid Sokong Kerajaan Anwar

atu pendedahan mengejutkan tentang apa sebenarnya berlaku menjelang pertemuan Presiden PKR Anwar Ibrahim dengan Yang di Pertuan Agong pada Selasa, menunjukkan bagaimana dua pemimpin Umno “terpalit rasuah” memainkan peranan bagi menyokong rancangan presiden PKR itu untuk menumbangkan kerajaan persekutuan.

MalaysiaNow difahamkan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalannya Ahmad Zahid Hamidi, yang didakwa dengan jumlah keseluruhan 79 pertuduhan rasuah, menulis surat secara bersama kepada Agong bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar.

Pendedahan itu mengesahkan spekulasi mengenai mereka bertiga, yang sebelum ini berada dalam kem sama ketika bersama Umno pada tahun 1990-an, bekerjasama untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Nasional (PN).

Namun, sumber peringkat tertinggi Umno yang mendedahkan isi kandungan surat itu kepada MalaysiaNow berkata, Najib dan Zahid “masih samar-samar seperti Anwar” dalam menyatakan sokongan kepada presiden PKR itu untuk membentuk kerajaan baru.

Dalam surat yang bertarikh 11 Oktober ditujukan kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mereka berdua dan “sejumlah ahli Parlimen Umno” mengatakan menyokong Anwar.

“Tiada nama ahli Parlimen Umno lain yang disebutkan melainkan nama mereka berdua,” kata sumber itu kepada MalaysiaNow, dengan syarat tidak dinamakan.

MalaysiaNow dapat mengesahkan dakwaan itu dengan beberapa pihak yang biasa dengan rundingan antara Anwar dan Najib.

Pendedahan itu dibuat tiga hari selepas Anwar mendapat perkenan selama 25 minit bersama Sultan Abdullah, yang kemudiannya Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan memalukan tiga jam kemudian, memberitahu supaya pemimpin PKR itu mengikut proses undang-undang.

Istana Negara juga menafikan dakwaan Anwar memberikan “dokumen sahih”, dengan menyatakan pemimpin PKR itu gagal memberikan senarai nama ahli Parlimen yang didakwa dimilikinya untuk menumbangkan Muhyiddin Yassin.

Anwar hari ini mengesahkan beliau tidak pernah mengemukakan senarai nama ahli Parlimen itu kepada Agong.

“Jangan masukkan perkataan itu ke dalam mulut saya. Dalam kenyataan saya, jika anda ingat, saya katakan saya menunjukkan surat dan dokumen,” katanya kepada pemberita selepas selesai direkodkan keterangan oleh polis Bukit Aman berkenaan dengan dakwaan senarai palsu sokongan ahli Parlimen.

Surat ‘memandai-mandai’ Anwar kepada Agong

MalaysiaNow turut difahamkan surat Anwar kepada Agong dalam percubaan merampas kuasa juga keseluruhannya “samar-samar dan memandai-mandai”.

Dalam surat tiga muka itu, Anwar berkata beliau mempunyai sokongan ahli Parlimen, terdiri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Umno dan “beberapa individu”.

“Beliau kemudian terus berkata, dalam surat itu, lain-lain dari Malaysia Timur akan turut serta untuk menambahkan meningkatkan lagi sokongannya,” kata sumber tentang kandungan surat Anwar.

Seorang ahli Parlimen GPS, ketika diberitahu mengenai dakwaan Anwar, menggambarkannya sebagai satu penghinaan terhadap wakil rakyat Malaysia Timur.

“Bukan sahaja ia satu sindiran terhadap dakwaan majoriti ‘kukuh dan meyakinkan’, malah ia juga secara keseluruhannya samar-samar dan memandai-mandai, dan satu penghinaan kepada ahli Parlimen Sabah dan Sarawak,” kata ahli Parlimen itu.

MalaysiaNow juga akan mendedahkan secara berasingan mengenai ahli Parlimen “individu” yang menandatangani akuan berkanun untuk menyokong Anwar.

Pendedahan: Najib, Zahid tulis surat ke Istana untuk sokong Anwar

COMMENTS