Gempar! Ramai MP ikut serah usul undi tidak percaya kepada PM

Gempar! Ramai MP ikut serah usul undi tidak percaya kepada PM

Anggota parlimen Amanah dijangka akan memfailkan usul tidak pecaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin seperti dilakukan kem bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Salah seorang yang mengesahkan akan berbuat demikian ialah naib presidennya, Mahfuz Omar yang akan menghantar usul tersebut hari ini.

Hari ini merupakan hari terakhir untuk usul itu dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Harun.

“Ya. Saya akan hantar hari ini. Hari ni hari akhir. Lepas (solat) Jumaat sekejap lagi,” kata ahli Parlimen Pokok Sena itu kepada Malaysiakini.

Menurut seorang lagi Naib Presiden Amanah, Hasanuddin Bin Mohd Yunus, kesemua 11 Anggota Parlimen Amanah digalakkan berbuat demikian.

“Kami sedang menyiapkan dokumen-dokumen tersebut, dan tidaklah status wajib untuk menghantar.

“(Tapi) Kita menggalakkan semua 11 orang itu untuk menghantar surat hari ini,” katanya yang juga anggota parlimen Hulu Langat.

Hasanuddin berkata, ia bagi menzahirkan bahawa ahli-ahli parlimen sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin, lebih-lebih lagi setelah PN dilihat bertelingkah sesama sendiri.

“Bagi saya, yang penting kerajaan yang stabil. Memang kami nak (ambil) balik kerajaan, tapi kami lebih mengutamakan kestabilan kerajaan dan ekonomi.

“Tapi bila dah bergaduh sesama mereka antara PN dan sekutu, menyerang secara terbuka, jadi dengan sendirinya kerajaan ini bagi saya sudah tak stabil. Jadi perlu untuk menukar perdana menteri dan kerajaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Dr Mahathir dan kesemua ahli parlimen dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memfailkan usul tidak percaya terbaru terhadap Muhyiddin hari ini.

Menurut Ketua Penerangan Penaja Pejuang, Maszlee Malik, keputusan itu diambil kerana kegagalan perdana menteri mentadbir kerajaan sewaktu wabak Covid-19 dan juga keraguan terhadap bilangan majoriti yang diperolehinya.

Usul undi tidak percaya tersebut difailkan oleh Mahathir (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Langkah itu dilakukan ketika keretakan mulai melanda kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila Umno mengancam untuk menarik sokongan daripada gabungan itu.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/546781

COMMENTS