Dr Mujahid Tegas Tolak Judi Ketika Jadi Menteri Agama

Dr Mujahid Tegas Tolak Judi Ketika Jadi Menteri Agama

 

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) itu berkata, sebuah syarikat perjudian terkenal pernah meminta supaya dilanjutkan tempoh lesen mereka.

Tampil membidas pihak tertentu yang galak menuduh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu tidak membela Islam, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menceritakan pengalamannya didatangi tauke judi.

Walau bagaimanapun, Mujahid memberitahu beliau menolak kerana berpendirian kerajaan PH ketika itu tidak mahu bergantung pendapatan dengan aktiviti perjudian.

“Ketika menjadi Menteri Agama, saya pernah didatangi oleh operator judi terbesar di negara ini.

“Dia minta berjumpa dengan saya dalam pertemuan tidak rasmi untuk berbincang.

“Mereka minta supaya lesen mereka dilanjutkan tempoh daripada dua tahun kepada lima tahun.

“Saya kata minta maaf. Hari ini kerajaan (PH ketika itu) tidak mahu bergantung pendapatan pada judi.

“Malah, kami merasakan kerosakan judi dalam masyarakat lebih buruk berbanding hasil yang kita akan dapat,” dedahnya dalam Bicara Bersama Dr Mujahid menerusi FB Live malam tadi.

Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH itu berkata, operator judi tersebut malah menawarkan sumbangan dalam jumlah yang besar kepada kerajaan PH pada masa itu jika tempoh lesennya dilanjutkan.

“Kita mahu kurang, tapi dia mahu panjangkan tempoh lesen lagi untuk menjana untung lebih besar.

“Katanya, dia akan menyumbang kepada kerajaan. Tidak usah cakaplah berapa bilion. Kalau dia boleh untung, bayar cukai RM150 juta, kita boleh bayanglah untung dia berapa.

“Dia cuba meyakinkan saya boleh beri sumbangan untuk sukan dan sebagainya.

“Saya kata beginilah. Saya seorang Muslim. Apa saja yang saya kata kepada anda sudah tentu dipandu oleh kesedaran nurani dan tanggungjawab saya.

“Dia tahu kalau Menteri Agama waktu itu kata ‘okey’, sudah tentu Kabinet tiada masalah untuk meluluskan permohonannya,” ceritanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar turut menyatakan pendiriannya yang menolak permintaan untuK lanjutan tempoh lesen operator judi itu dalam mesyuarat Kabinet.

“Ketika dibawa ke Kabinet, hal ini dibangkitkan. Kita tahu dia bukan sekadar jumpa saya sebagai Menteri Agama, mungkin dia jumpa banyak menteri lain.

“Saya tidak payah bersyarah panjang. Saya terus menyatakan adakah kita dengan memanjangkan tempoh perlesenan ini, kita dapat duit tetapi rosak masyarakat?

“Saya bertanya dengan jujur. Adakah kita mahu itu? Sedangkan PH mahu bina institusi keluarga dan masyarakat berteraskan nilai Rahmatan Lil Alamin,” jelasnya.

Dalam masa sama, Mujahid mengingatkan perlunya Malaysia mempunyai polisi pada masa depan yang semakin kurangkan pergantungan pendapatan kepada cukai dosa seperti judi, arak dan sebagainya.

“Jadi, kalau orang kata kita (PH) tidak bela Islam, padahal (kerajaan) hari ini sampai (tambah kekerapan cabutan khas judi) 22 kali setahun, saya tak tahulah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyelar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai kuasa untuk menentukan hala tuju masyarakat menerusi dasar-dasar pencukaian yang lebih bersifat Rahmatan Lil Alamin.

“Jangan kita sampai tahap tidak dapat membezakan antara mana yang baik dengan tidak baik dan menuduh kerajaan PH dulu tidak bela Islam atau Islam terancam kononnya.

“Sekarang dengan 22 kali cabutan, orang Islam antara yang pergi ke kedai judi ini.

“Siapa yang mengancam kesejahteraan umat Islam bahkan orang bukan Islam hari ini?” kata Mujahid

Sumber : https://malaysiadateline.com/ph-tidak-bela-islam-mujahid-dedah-pernah-didatangi-tauke-judi/

COMMENTS