Bossku cuti pegang jawatan, usaha bersih nama di mahkamah

Bossku cuti pegang jawatan, usaha bersih nama di mahkamah

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata dia tidak akan menerima sebarang jawatan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), mahupun mana-mana kerajaan baru, selagi namannya tidak dibersihkan di mahkamah.

Mengulas panjang mengenai situasi politik yang turut melibatkan Umno, Najib yang dahulunya menjadi presiden parti itu berkata dia yakin bahawa dirinya tidak bersalah dan telah menjadi mangsa pentadbiran PH di bawah Dr Mahathir Mohamad.

“Saya yakin dan pasti dapat membersihkan nama dan didapati tidak bersalah termasuk di mahkamah rayuan jika sistem perundangan adil dan bebas dari pencaturan Tun Mahathir dan kerajaan PH dahulu untuk memangsakan saya.

“Saya tidak mahu menerima apa-apa jawatan menteri biarpun dalam kerajaan PN ataupun apa-apa kerajaan baru selama kes-kes saya belum selesai dan nama saya belum dibersihkan,” katanya yang merupakan pengerusi Lembaga Penasihat BN dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada Julai lalu, Najib disabit bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib dibebaskan daripada hukuman dengan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai. Prosiding rayuannya dijadual bermula 15 Februari depan.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memberitahu bahawa pendiriannya tentang isu semasa yang disuarakan sebelum ini tiada kena-mengena dengan kes mahkamahnya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Bagaimanapun, nasihat saya pada Umno dan kerajaan PN secara am ialah pemulihan ekonomi, pengawalan Covid serta kebajikan rakyat adalah keutamaan dan apa-apa langkah politik yang dilakukan tidak boleh dibenarkan untuk menjejaskannya.

“Menteri-menteri dari Umno dan BN dalam kerajaan PN sekarang perlu sentiasa menumpukan fokus sepenuhnya kepada keutamaan ini pada ketika ini,” katanya.

Isu kemungkinan penubuhan kerajaan baru tercetus selepas Anwar Ibrahim mendakwa dia kini memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Semalam, Anwar mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan dokumen berkenaan perkara itu.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong telah memanggil beberapa pemimpin parti politik. Bagaimanapun sesi mengadap tersebut ditangguhkan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Selangor dan Kuala Lumpur.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/546557

COMMENTS